Oleh : Siddiq Fadzil

Firaun

Watak lain yang memperlihatkan pola fikir dan mentaliti yang sama ialah Firaun. Raja Mesir yang bermaharajalela dengan kuasa dan kekayaan itu merasa tergugat dengan kemunculan Musa a.s sebagai pemimpin yang kian popular di kalangan kaumnya. Untuk membendung arus sokongan rakyat dari terus berpihak kepada Musa a.s, Firaun bertindak dengan mengeksploitasi kebodohan rakyat, mengabui mata mereka dengan mempamerkan kehebatannya sebagai pemilik kerajaan dan bumi Mesir dengan segala sungai-sungainya. Sementara itu Nabi Musa a.s dihinanya sebagai orang yang tidak punya apa-apa, malah berbicara pun tidak petah (al-Zukhruf:51-56)

Rakyat yang berfikiran singkat dan telah rosak jiwa dan mindanya memang mudah terpedaya dengan propaganda gaya Firaun itu. Apa lagi Firaun memang selamanya menggunakan kuasa dan kekayaannya untuk melaksana dan membiayai program-program menyesatkan rakyat. Memperbodoh dan mengelirukan rakyat massa memang menjadi amalan lumrah kalangan penguasa diktator zalim di mana-mana. Ini mereka lakukan dengan cara menguasai media dan menutup semua saluran maklumat sehingga mereka tidak mengetahui fakta-fakta yang sebenar dan tidak berminat untuk mencarinya, cukup menelan apa sahaja yang disogokkan. Dengan demikian mudahlah mereka dibuli dan diperalat, dikerah dan diarah mengikut telunjuk para penguasa.

Tidak cukup dengan mengongkong pemikiran rakyat massa, Firaun berusaha untuk menguasai dan memperalat golongan ‘cendekiawan’ yang terdiri dari kalangan ahli-ahli sihir. Ini dilakukan dengan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada mereka yang sedia memberikan khidmat memperkukuh kekuasaan Firaun. Dengan motif merebut ganjaran lumayan itulah mereka menyanggupi tugas melawan mukjizat Nabi Musa a.s. Tetapi setelah kalah dalam perlawanan itu mereka membuka mata, menginsafi bahawa mereka berhadapan dengan kebenaran dan kuasa Tuhan yang sebenarnya, lalu mengambil keputusan untuk menerima hakikat tersebut. Mereka beriman dengan Nabi Musa a.s dan bersedia menghadapi risikonya iaitu kemurkaan dan penganiayaan Firaun.

Seperti yang memang telah diduga, Firaun menjadi berang apabila mereka mengambil keputusan memihak kepada Musa a.s. tanpa terlebih dahulu mendapatkan izinnya. Tetapi siksaan kejamnya tidak juga dapat mengubah pendirian ahli-ahli sihirnya itu (al-A’raf:113-126). Rupa-rupanya masih ada kelompok yang tidak dapat diperbodoh kerana memang mereka tidak bodoh. Meskipun tadinya mereka berhasrat mencari untung, tetapi apabila berhadapan dengan isu hak dan batil, benar dan salah, mereka tidak sanggup mengkhianati suaru nurani sendiri. Mereka masih setia kepada etika keilmuan bahawa kebenaran tidak harus ditundukkan kepada kemahuan politik (penguasa).

Demikianlah kuasa sebesar manapun dan harta sebanyak manapun tidak dapat memuaskan nafsu seorang Firaun. Setelah tidak puas menjadi raja, Firaun seperti Namrudm bernafsu menjadi tuhan. Ia mahu agar rakyat tidak hanya merajakannyam tetapi mempertuhankannya. Kepada para pendukungnya selalu berkata, “aku tidak nampak ada tuhan lain bagi kamu selain aku!” (al-Qasas:38). Para pengampunya yang mengamalkan politik ‘asal bapak senang’ memang tidak pernah keberatan memberikan sokongan, malah tepukan gemuruh kepada kata-kata seperti itu meskipun tidak masuk akal.

Selama masa yang barangkali cukup lama Firaun bermaharajalela sehingga Nabi Musa a.s yang banyak menderita akibat angkaranya, pada suatu ketika mengadu kepada Tuhan, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah berikan segala macam perhiasan dan kekayaan kepad Firaun dan orang-orangnya, ya Tuhan kami, mereka (telah menyalahgunakan anugerah-Mu) untuk menyesatkan (dan menyelewengkan orang) dari jalan (petunjuk)-Mu” (Yunus:88). Kesempatan yang diberikan kepada Firaun untuk merajalela tidak bererti Tuhan merestuinya. Sebaik-baik sahaja kezalimannya mencecah tahap yang ditentunkan, TUhan merentapnya tanpa sebarang amaran lagi. Tiba-tiba dalam sekelip mata Firaun hilang tenggelam di perut laut. Kisahnya diabadikan dalam al-Quran sebagai tugu suatu puncak kezaliman dalam sejarah kemanusiaan, untuk dijadikan ikhtibar buat generasi zaman mendatang.


Ads 468x60px

Featured Posts