Oleh : Siddiq Fadzil

Kejatuhan Melaka

Dalam sejarah kita sendiri, tidak sedikit ilmuwan pujangga yang mencatatkan keprihatinannya terhadap gejala penguasa bernafsu besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keserakahannya. Dalam karya agung Sulalat al-Salatin (sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud, yang telah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan raja biasa kerana ia beerti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya “….yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyruuh meminang Puteri Gunung Ledang;...” (A. Samad Ahmad, 1984:213).

Dalam jawapannya terhadap peminangan tersebut Puteri Gunung Ledang meletakkan syarat-syarat yang sangat berat. Katanya, “Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka dating Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu” (A. Samad Ahmad:215).

Soal status kesejarahan peristiwa tersebut tidak menjadi persoalannya. Yang perlu direnung adalah mesej pengarangnya yang merupakan sindiran simbolik tentang nafsu besar sang penguasa yang inign menjadi orang unik dan terunggul sehingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk memeras rakyat dan emmunggah khazanah negara. Penguasa yang sudah bertuhankan nafsu, sanggup mengorbankan apa sahaja, berapa sahaja dan siapa sahaja kecuali satu: kepentingan anak-pinaknya. Itulah sebenarnya yang tersirat di sebalik jawapan Sultan Mahmud, “Semua kehendaknya itu, dapat kita adakan; mengeluarkan darah anak kita itu juga apatah daya; kerana tidak sampai hati kita” (A. Samad Ahmad:215). Selain darah anak sendiri, segala syarat lain disanggupinya walaupun implikasinya adalah derita rakyat dan pembaziran wang negara membiayai projek mega jambatan kembar emas-perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang yang beerti jambatan terpanjang, tertinggi dan termahal di dunia. Mengenai kisah ini Hamka menyimpulkan, “Meskipun Tun Sri Lanang mencantumkan kisah ini dalam sejarah Melayu sebagai suatu dongeng yang disangsikan kebenarannya namun dongeng ini adalah kias yang dalam tentang laku perangai Sultan” (Hamka, 1981:167)

Hamka adalah ilmuwan Melayu yang cukup gigih menekuni bidang persejarahan. Dalam catatannya tentang kejatuhan Melaka pada abad ke-16, beliau menyebut tentang budaya fitnah yang membawa kepada tragedy nasional pembunuhan Bendahara Sri Maharaja. Menjelang saat kejatuhannya Melaka dirajai oleh Sultan yang telah kehilangan wibawa terutama kerana kebejatan perilakunya. Namun demikian Melaka masih bernasib baik kerana “…mempunyai orang kedua yang sangat disegani orang, baik di dalam negeri Melaka sendiri, atau oleh orang luar ngeri, iaitu Bendahara Sri Maharaja” (Hamka:167). Kebijaksanaannya digambarkan oleh Hamka dengan ungkapan, “Tidak ada kusut yang tidak selesai, tiada ada keruh yang tidak jernih bila tangan beliau yang memegang” (Hamka: 167).

Gerakan anti Bendahara itu akhirnya memuncak dengan fitnah kononnya Bendahara mahu merampas kuasa, menumbangkan Sultan dan mengambil alih tempatnya. Fitnah tersebut dapat meyakinkan Sultan lalu baginda bertindak menitahkan agar bendahara dibunuh. Demikianlah Sri Maharaja dibunuh dengan tusukan keris istana. Tragedi ini digambarkan oleh Hamka dengan kata-kata, “Muramlah berkorban kian lama kian hilang dan habis. Yang ada hanyalah buih-buih yang merapung seketika ombak besar! Yang ada hanyalah orang-orang yang menyembah ‘Ampun Tuanku! Segala titah patik jujungi!” (Hamka:168).

Ketika Hamka menulis catatan tersebut pada tahun 1956, beliau ditanya oleh anaknya, apa gunanya sejarah kejatuhan Melaka itu diungkapkan semula. “Apakah ayah percaya akan teori sejarah mengulangi dirinya?”. Hamka menjawab, “Tidak nak! Sejarah tidaklah mengulangi dirinya. Tetapi perangai manusia di segala zaman, baik dalam nama feudalism, atau demokrasi, atau diktaktor adalah sama saja…” (Hamka:169).


Ads 468x60px

Featured Posts