Oleh : Siddiq Fadzil
Sejarah : Perspektif Agama
Al-Quran memberikan pemerian tentang Namrud sebagai raja yang sezaman dengan Nabi Ibrahim a.s. Kerana terlalu lama berkuasa ia menjadi lupa diri. Nafsu besarnya menyebabkan ia tidak puas sekadar menjadi raja. Ia mahu menjadi tuhan, lalu meminta rakyat mengakui dan menyembahnya sebagai tuhan mereka. Tanpa malu-malu Namrud mendakwa mampu melakukan sesuatu (menghidup dan mematikan) yang pada hakikatnya hanya Tuhan yang sebenar mampu melakukannya.
Dalam dialognya dengan Namrud, Nabi Ibrahim a.s mengatakan bahawa Tuhannya adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa menghidupkan dan mematikan. Namrud yang ingin menjadi tuhan merasa perlu memiliki cirri ketuhanan yang sama. Nafsu ingin menandingi Tuhan Ibrahim a.s itulah yang mendorongnya mendakwa, “aku juga mampu menghidupkan dan mematikan” (ana uhyi wa umit). Untuk membuktikannya ia menghadirkan dua orang pesalah yang telah dijauthi hukuman mati; yang seorang dibebaskan, manakala yang seorang lagi diperintahkan menjalani hukuman (mati). Itulah yang ia tahu tentang erti menghidupkan dan mematikan. Dengan sangkaan ia sudah menang, ia berkhayal menjadi “tuhan”. Pada hakikatnya yang terserlah dari cara berhujah dan pembuktian sedemikian itu bukan kuasa ‘ketuhan’nya, tetapi kuasa ‘kediktatoran’nya, berbuat semahunya, bertindak ke atas seseorang sesuka hati untuk kepentingan diri.
Mungkin kerana merasa tidak ada gunanya berdebat tentang erti sebenar ‘menghidup dan mematikan’ dengan orang tolol, maka Nabi Ibrahim mengubah cara berhujahnya dengan mengatakan, “Tuhanku menerbitkan matahari dari sebelah timur, cuba anda terbitkannya dari sebelah barat pula!” (al-Baqarah:258). Kali ini Namrud tidak dapat menjawab, ia kebingungan, terpinga-pinga bercampur marah. Selama ini tiada siapa pun berani berkutik di hadapannya, sekarang ia dibantah dan dicabar secara point-blank. Namrud terjerat dalam kesombongan dan ketololannya sendiri.
Home »
Catat Ulasan