Handai;

Aku mengenali-mu; dasar perjuangan kita,
Lantas aku mendatangi-mu, aku mendakati-mu,

Khali;

Aku terdengar momokan-momokan yang pincang,
Mayoritas sibuk berkata; “Pasti ada sesuatu,”
Helai-tawa, gelak-gembira; sibuk berbicara,
Fakta atau auta; persetankan!

Ku-bermonolog;

Semut hitam, batu hitam, gelap-gelita,
Mata-mu-kah yang buta atau hati-mu?!
Ingin sekali ku-berargumentasi!
Tuntas paca hina berfikir; manusia atau Sang Pencipta?
Tadi teriakan, lani; ku-kendurkan,

Handai;

Semut hitam, batu hitam, gelap-gelita!
Ini tujuan-ku.
Bukan…Bukan…Bukan;  “Pasti ada sesuatu,”
Biarkan…Biarkan mayoritas berbicara,
Celik mereka hitam, buta mereka putih!

Handai;

Perjuangan masih enggan selesai,
Doa-ku, moga Tuhan menjaga-mu…

mudarristarmizi
(1/12/2012)








~ Kerakusan nafsu,
   merampas hak kemanusiaan,
   tanpa timbang fikir,
   bergegar bumi Gaza,
   dihembusan nafas panas Zionis.
~ Tangisan,   
    menjadi lautan merah,   
    membasahi tanah kecil,   
    melenyapkan,   
    hak-hak kehidupan,   
    anak-anak yang masih belum,   
    menggapai pelangi.

    Nukilan: Nina e.z              29/11/12    






Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang Khalifah. Berkata mereka (Malaikat) : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah : 30)

Dan telah diajarkanNya kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian Dia kemukakan semua kepada Malaikat, lalu Dia berkata : beritakanlah kepadaKu nama-nama itu semua, jika adalah kamu makhluk-makhluk yang benar. (Al-Baqarah : 31)

Mereka menjawab : Maha Suci Engkau! Tidak ada pengetahuan bagi kami kecuali yang Engkau ajarkan kepada kami.  Karena sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Tahu, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah : 32)

Berkata Dia : Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya! Maka tatkala telah diberitahukannya kepada mereka nama-nama itu semua, berfirmanlah Dia : bukankah telah Aku katakan kepada kamu, bahawa sesungguhnya Aku lebih mengetahui rahsia semua langit dan bumi, dan lebih aku ketahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan. (Al-Baqarah : 33)

                Potongan ayat di atas menceritakan tentang suatu peristiwa besar yang telah berlaku di mana sekiranya peristiwa ini tidak terjadi maka tiadalah kita pada hari ini. Satu peristiwa yang menjadi sejarah dunia apabila manusia diciptakan dan ditugaskan menjadi pemimpin di muka bumi. Maka bermulalah sejarah ketamadunan ilmu apabila Adam diciptakan. Penulis ingin membawa pembaca berfikir tentang falsafah kepada peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran melalui kaedah dialog. Dialog ini memberikan nilai yang tersendiri apabila berlaku soal jawab antara Allah, Malaikat, dan Adam. Allah sebagai Khaliq, Malaikat dan Adam adalah sebagai makhluk ciptaan Allah.

                Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb mengatakan ayat ini adalah berkaitan pentadbiran. Pentadbiran adalah sesuatu sistem yang besar dimana merangkumi politik. Maka kita lihat apabila wujudnya Adam maka secara tidak langsung bermulalah sistem politik di dunia ini kerana Adam dicipta untuk menjadi pemimpin kepada sekalian makhluk. Untuk menjadi pemimpin dan memimpin perlu ada ilmu politik. Bagaimana mungkin manusia mampu mentadbir alam sekiranya tidak punyai ilmu politik. Mengatur, mengurus dan memastikan alam berada dalam keadaan yang baik iaitu tugas Bani Adam memberikan gambaran manusia perlu berfikir bagaimana untuk melakukannya. Justeru, itulah hikmah ilmu politik dipelajari.

                Dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka pula ada menerangkan sedikit berkaitan penerimaan beberapa ulama di manakah dialog ini diperkatakan. Terdapat dua golongan iaitu Salaf dan Khalaf. Secara mudahnya kita memahami Salaf adalah golongan yang hidup pada zaman Rasulullah dan sahabat, tabi’in (anak murid sahabat) dan tabi’ tabiin (anak murid tabi’in). Manakala Khalaf adalah golongan yang hidup selepas daripada ketiga-tiga zaman yang disebutkan tadi.

Salaf menerima ayat ini dengan tidak bertanya-tanya mahupun bersoal kerana beranggapan Allah telah berkenan untuk menceritakan perkara ghaib kepada kita tetapi dengan kemampuan fikiran manusia tetapi tidaklah pula kita mampu untuk masuk ke dalam yang ghaib itu. Berbeza pula dengan penerimaan Khalaf, mereka menggunakan kaedah mantik atau logik akal manusia untuk membuat pentafsiran tetapi dalam lingkungan bilik luas yang mempunyai dinding dan bumbung. Maka tidaklah mereka dibasahi hujan dan badai dalam membuat pentafsiran melainkan yang dibenarkan syariat.

                Diperhalusi dialog antara Allah dengan Malaikat ini dapatilah kita sebenarnya lebih dekatlah pendekatan Khalaf kerana Allah sendiri menunjukkan bukti kepada Malaikat tentang sebab tindakan-Nya. Maka ketahuilah kita sebenarnya manusia sememangnya memerlukan mantik dalam menerima sesuatu peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka. Tetapi sebenarnya Allah mahu juga menguji keimanan hamba-Nya, maka dibuatkan peristiwa yang bertentangan dengan hukum mantik atau logik akal manusia.

                 Diberitakan juga dalam Al-Quran berkaitan peristiwa Ibrahim dibakar dalam rumpunan kayu api yang marak tetapi baginda tidak tercedera sedikitpun. Waras akal api pastilah membakar dan air pastilah membasah. Juga peristiwa Mariam mengandung dan melahirkan Isa tanpa seorang lelaki melakukan persetubuhan dengannya. Sainstis hari ini tidak mahu menerima peristiwa tersebut kerana sperma perlu bergabung dengan ovum di tiub fallopio dan barulah boleh terciptanya kandungan. Dijawab oleh Al-Ghazali di sinilah peranan iman dimainkan apabila bertindak menerima perkara ghaib yang diceritakan Allah.

                Sebab itu seorang seorang ahli falsafah moden; Emmanuel Kant berkata, “Betapapun kemajuan saya dalam berfikir, namun saya tetap mengosongkan sesudut dari jiwa buat saya percaya.” Maklumlah kita sebenarnya mantik dan iman itu sepatutnya bergerak seiring supaya tidak pula layang-layang terputus talinya kerana layang-layang itu ibarat mantik manakala tali ibarat iman yang memandunya. Jika terputus tali itu maka jatuhlah layang-layang dan jika tidak bertali tidaklah pula ianya mampu terbang. Perlulah kita percaya bahawa manusia yang diagungkan bisa juga melakukan kesilapan, maka perlu juga dikosongkan sedikit jiwa agar kita tidak membabi-buta menyokong yang salah.

                Berbalik kepada dialog, Malaikat dikhabarkan oleh Allah ingin mencipta sejenis makhluk yang menjadi khalifah di muka bumi. Kemudian Malaikat bertanya kepada Allah mengapa ingin mencipta makhluk yang akan merusakkan bumi sedangkan bumi ini sudah aman dan Malaikat pula sentiasa bertasbih dan memuji-Nya. Dalam dialog ini ada satu perkara yang jarang kita bahaskan iaitu demokrasinya Allah. Malaikat telah mempersoalkan tindakan yang akan Allah lakukan tetapi tidak pula Allah memarahi Malaikat melainkan menjawabnya dengan mantik.

                Dalam Tafsir Al Maraghiy karangan Ahmad Musthafa al-Maraghi, beliau mengatakan Allah bersabar dengan pertanyaan Malaikat. Di sini kita melihat Allah memberikan ruang kepada Malaikat untuk mengajukan soalan dan mengkritik tindakan-Nya. Hari ini kita melihat rakyat tidak boleh mempersoalkan tindakan kerajaan kerana apabila mempersoalkan akan dianggap penentang kepada kerajaan dan tidak bersyukur. Sedangkan rakyat berhak bertanya demi kepentingan mereka. Begitu juga segelintir pensyarah yang dipersoalkan tindakan mereka oleh pelajarnya maka diberikan markah yang rendah. Sungguh tidak demokratik!

                Allah juga sebenarnya mengajar kepada kita supaya lebih berfikiran kritikal iaitu dengan mempersoalkan sesuatu tindakan sekiranya ia tampak tidak berfaedah. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak mendatangkan manfaat kepada manusia maka ianya tidak perlu dilaksanakan. Rakyat perlu diberikan ruang untuk mengkritik dan mempersoal setiap tindakan kerajaan supaya rakyat lebih kritikal dan mampu memberikan faedah kepada negara. Bukan ditangkap dan didakwa sedangkan mereka yang merasuah dan menipu dibiarkan terbahak. Tujuan manusia dicipta di bumi adalah untuk menjadi pemimpin kepada umat manusia bukan menjadi perosak seperti yang dikatakan oleh Malaikat.

                Di dalam dialog ini juga diajarkan kepada Adam tentang nama-nama kesemuanya yang dianggap mantik manusia. Kemudian ditunjukkan kepada Malaikat tentang nama-nama kesemuanya dan ditanyakan akan namanya. Malaikat tidak mampu menjawab dan berkata Allah-lah yang lebih mengetahui. Di sini kita melihat Adam mempunyai kelebihan dan Malaikat merendahkan diri dengan mengakui kekurangan dirinya. Apabila Allah memerintahkan Adam mengkhabarkan nama-nama itu maka barulah Malaikat ketahui akan kelebihan makhluk yang ingin diciptakan oleh Allah yang dikatakannya perosak bumi.

                Ketika ini tahulah kita bahawasanya manusia dan Malaikat mengetahui sesuatu ilmu atau perkara atas kehendak Allah. Pasti ada kekurangan ilmu dalam kalangan manusia mahupun Malaikat. Kita lihat bagaimana rendah diri Malaikat menerima ilmu Adam kerana Malaikat tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang nama-nama itu dan tidak pula sombong tidak mahu mempelajarinya. Segelintir jemaah yang 'sombong' berkata kita tidak memerlukan orang luar untuk memberikan tarbiyah kerana kita mempunyai manhaj tarbiyah yang tersendiri. Ini sangat bertentangan kerana Malaikat mengakui dan belajar daripada Adam. Kita pula yang lebih sombong!

                Kesimpulannya kita perlu membuat semakan terhadap diri sendiri adakah kita ini orang yang demokratik kerana Allah tidak memarahami Malaikat apabila Malaikat mengkritik tindakan Allah bahkan Allah menggunakan kaedah mantik dengan menunjukkan nama-nama kepada Malaikat dan ditanyakan namanya. Apabila Malaikat tidak mampu menjawab diperintahkan Adam untuk mengkhabarkan nama-nama itu. Maka barulah Malaikat percaya bahawasanya mahkluk diciptakan Allah ini mempunyai kelebihan. Malaikat mengakui kelemahan dan belajar daripada Adam, jadi adakah kita mahu mengakui kelemahan kita dan menerima kritikan dan mempelajari daripada orang lain? Adakah kita masih sombong dengan ilmu yang ada pada kita semata-mata? Jika kita masih begitu maka ingatlah Allah sudah demokratik!
               
               
               





Sekilas pandang lagu ini bertemakan cinta semata-mata. Tidak dinafikan lagu ini mempunyai unsur cinta tetapi saya melihat lagu ini turut mempunyai unsur nasihat. Antaranya ialah :

1) Setiap manusia adalah pendosa dan sebaik-baik pendosa adalah yang bertaubat” Riwayat, Ahmad dan Ibnu Majah. Memberitahu manusia itu sebenarnya tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.

2) "Aku sepertimu, ada waktu diburu oleh dosa-dosa yang lalu", memberitahu bahawa satu ketika pasti kita akan mengenang dan menyesali dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Sebenarnya apabila kita mengingati dosa-dosa itu maka datanglah satu keinginan iaitu untuk bertaubat.

3) Mengajar untuk menerima siapakah pasangan hidup kita. Pengalaman yang lepas bukanlah satu alasan yang boleh digunakan untuk mencaci dan menolak insan yang telah bertaubat. Apabila seseorang itu menyesali dan ingin bertaubat maka berikan peluang kepadanya.

4) Pesanan buat remaja di luar sana, jagalah dirimu sebaik-baiknya dengan memenuhi aktiviti yang berfaedah. Zaman remaja ini hanya sekali dan tidak akan kembali apabila dia pergi. Maka hargainya dengan perlakuan yang tidak akan kau kesali.

Saya lebih selesa melihat sesuatu itu bukan berdasarkan dua titik (garis lurus). Ataupun tiga titik (satah). Tetapi sesuatu yang boleh mencerminkan tiga dimensi iaitu dimensi yang lain daripada apa yang boleh dilihat oleh mata hati.

Pengalaman yang lalu kadang-kadang membuatkan kita terasa bingung dan bodoh tetapi percayalah dengan pengalamanlah manusia itu boleh bergelar insan yang budiman.






Saya percaya rata-rata umat Islam marah apabila Nabi Muhammad dipersenda sebegitu rupa dalam; 'Innocence of Muslims'. Saya juga turut mempunyai perasaan sebegitu rupa. Cuma saya berpendirian kita perlu lebih berhikmah dalam menangani masalah ini. 

Soal penghinaan sejak dari zaman Rasulullah sendiri sudah ramai yang mempersendakannya, hatta nabi-nabi terdahulu juga tidak terlepas daripada penghinaan umatnya ketika itu. Ada beberapa perkara yang boleh kita semak semula supaya perkara ini dapat ditangani secara hikmah :

1) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa melihat bangsa dan kaum sendiri yang menghina Islam dengan menolak hukum Islam.

2) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa melihat individu yang memeluk Islam itu sendiri gagal mencerminkan akhlak Islam yang sebenar kepada penganut agama lain.

3) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa pemimpin negara kita sendiri tidak kita mencerminkan sistem keIslaman yang sebenar-benarnya kepada negara bukan Islam yang lain.

4) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita telah menyekat usaha-usaha pendakwah di negara ini ingin berdakwah kepada umat di negara ini samada Islam mahupun bukan Islam; Fiqh Ummah 2012.

5) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi di negara kita sendiri dihidangkan dengan hiburan yang melupakan dan menjauhkan kita daripada agama. Hatta pemimpin negara sanggup menari dan menyanyi bersama anak muda atas alasan ingin menarik hati anak muda.

Saya tidak menolak inisiatif segelintir umat yang ingin turun berdemonstrasi berkaitan isu ini. Bahkan saya juga bersetuju akan usaha ini, cuma persoalannya mereka yang turut dalam demonstrasi ini adakah mereka benar-benar ingin menentang penghinaan terhadap Islam atau sekadar ingin mendapatkan popularitas sempena pilihanraya yang bakal diadakan.

Saya mencadangkan agar jika benar mereka ingin menentang setiap penghinaan terhadap Islam mahupun Nabi Muhammad; Rasul Agung, maka pastikan penghinaan dari dalaman dibersihkan terlebih dahulu. Jangan bertindak atas kepentingan popularitas politik semata tetapi pada masa yang sama pimpinan tertinggi dalam parti masih 'menghina' hukum-hakam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Firman Allah dalam al Quran; "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan". (as-saff 2-3).




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Segala pujian bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Yang menguasai hari pembalasan. Kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkau sahaja kami mohon pertolongan. Tunjuki-lah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat. Bukan jalan-jalan orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat. Alhamdulillah, terasa lega dan bersyukur kepada-Nya, di atas kurnia dan limpah rahmatnya, aku telah diberikan kemudahan untuk menyelesaikan pengajian ijazah sarjana muda-ku di Universiti Putra Malaysia.


Perjuangan mencari ilmu tidak akan berhenti di sini. Aku akan teruskan usaha dan menambah fokus pada pengajian seterusnya. Aku terlalu banyak alpa dalam pengajian sebelum ini. Mungkin disebabkan tidak bersependapat dengan pensyarah membuatkan aku muak dengan diriku sendiri. Tidak dinafikan terlalu banyak jasa yang telah diberikan oleh pensyarah kepada aku, tetapi itu tidak bermakna aku perlu mengikuti segala arahannya. Bagaimanapun mereka tetap aku hormati walaupun tingkah laku-ku nampak terlalu sombong. Karena aku punyai pendirian sendiri.

Ucapan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Pengajian Sukan, Univerisiti Putra Malaysia yang telah banyak membantu-ku selama berada di jabatan. Kamu ibarat keluarga-ku. Moga Allah mengampunkan segala dosa dan merahmati kalian. InsyaAllah diri ini tidak akan pernah melupai segala jasa yang telah diberikan kepada-ku. Insya-allah ini bukanlah penghabisan buat diri ini untuk terus melanjutkan pelajaran. Telah mendapat tawaran untuk sambung belajar di Institut Penyelidikan Matematik dalam bidang pengajian Master Sains Falsafah Matematik dan Etnomatematik.



Pernah suatu masa aku berjanji dengan ibu-ku; "Mak doakan orang, insyaAllah orang janji akan habiskan pengajian pada tarikh yang sepatutnya". Biasalah sepak terajang dalam pengajian, karena aku tidak seperti pelajar yang lain, di mana boleh aku katakan mereka lebih berdisplin berbanding aku. Apa-apapun terima kasih aku ucapkan kepada semua sekali lagi kerana telah memberikan peluang untuk belajar di Jabatan Pengajian Sukan. Ilmu yang dipelajari di sana mungkin tidak hari ini tetapi aku akan pastikan suatu hari nanti ianya digunakan dalam kehidupan-ku. Mohon doa buat diri ini yang akan berhijrah mencari ilmu di tempat lain;

Pesanan seorang mak cik kepada seorang pemuda; "Selagi berpeluang carilah ilmu". Pemuda itu bermonolog sendirian; "InsyaAllah, perjuangan mencari ilmu akan kuteruskan sehingga hujung hayatku".





Sudah menjadi satu kewajipan bagi sesebuah negara yang telah merdeka daripada genggaman penjajah pasti ada sejarah yang dinukirkan supaya menjadi tatapan dan pengajaran buat rakyat dikendian hari. Kebiasaannya sejarah akan ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan manakala golongan yang mengalami kekalahan dalam peperangan hanya akan menulis syair, puisi, ataupun sajak di helaian-helaian kertas. Inilah hakikat bagaimana sejarah ditulis oleh golongan yang tidak jujur dengan ilmu. 

Sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan sudah tentu akan menceritakan perkara yang baik-baik sahaja berkaitan mereka. Bahkan, apabila bercerita berkenaan musuhnya sudah tentu tiada satupun yang baik dan ditambah-tambah pula ceritanya agar rakyat merasa benci kepada musuhnya. Tidak cukup dengan penerapan kebencian rakyat yang sedia ada kepada musuhnya, difikirkan pula bagaimana hendak menerapkan perasaan kebencian itu kepada generasi akan datang.

Usaha memasukkan fakta sejarah ke dalam sistem pendidikan negara telah dilakukan untuk memastikan rakyat terus menerus menyanyangi mereka agar mereka boleh terus untuk berkuasa, manakala musuhnya tidak diberikan peluang sedikitpun untuk membela diri. Sedari kecil pelajar di sekolah rendah telah dihidangkan dengan hidangan yang tidak boleh dipersoalkan dari mana datangnya dan bagaimana cara membuatnya. Rentetan ini terus menerus berlaku sehinggalah pelajar itu bergelar mahasiswa.

Sedari kecil sehinggalah dewasa, rakyat tidak dibenarkan mempertikai mengapakah sejarah negara kita begini atau begitu, dan jika dipertikaikan ianya menjadi satu kesalahan kepada individu yang mempertikaikan; pengkhianat negara, memecah perpaduan negara dan menggugat negara. Ini dibuktikan apabila salah seorang tokoh politik yang datang daripada pembangkang mengatakan bahawa Mat Indera adalah pejuang negara. Maka, tanpa diselidik dan diteliti dahulu dikatanya tokoh itu penyokong komunis.

Tidak cukup dengan tuduhan yang melulu, tindakan seterusnya ialah melaporkan kepada pihak berkuasa dengan mengatakan bahawa tokoh tersebut cuba menghasut rakyat untuk memberontak dan menukarkan negara kepada corak pemerintahan komunis. Setelah itu, lahirlah pula golongan yang kecewa kerana seakan-akan perjuangan mereka selama ini tidak dihargai. Jerit perih dalam perjuangan menentang komunis dipandang enteng oleh tokoh politik itu kononnya.

Walaupun pada akhirnya tiada tindakan undang-undang yang diambil terhadap tokoh politik tersebut kerana beliau berjaya membuktikan apa yang diperkatakannya adalah benar berdasarkan fakta; fakta beraliran kiri. Rakyat secara umumnya terkejut kerana apa yang diperkatakan oleh tokoh politik tersebut bukanlah satu kebiasaan di negara yang rakyatnya menjadi kuih kepada acuan kerajaannya. Jika kuih itu berlainan daripada acuannya maka kuih itu akan dibuang dan tidak akan digunakan untuk perniagaan.

Sudah tiba pada masanya, rakyat bukan lagi menerima bulat-bulat fakta sejarah yang ditulis oleh golongan yang memenangi peperangan tetapi sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada golongan yang mengalami kekalahan dalam peperangan untuk membela diri. Kini bukan masa lagi, rakyat berpuas hati dengan penjelasan daripada sebelah pihak sahaja tetapi rakyat sewajarnya mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak agar pisang tidak berbuah dua kali.

Dalam bidang penulisan sudah menjadi lumrah fakta yang ditulis kadang-kadang tidak benar atau kurang tepat. Ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kekeliruan maklumat, kekurangan maklumat, dan demi menjaga kepentingan segelintir kelompok. Jika perkara seperti ini berlaku, sewajarnya rakyat yang berada dalam arus kemodenan haruslah lebih terbuka menerima kritikan dan penyemakan semula penulisan tersebut agar keadilan ilmu tertegak.

Al Hafidz Ibnu Kathir dalam kitabnya Al Hidayah Wan Nihayah terdapat beberapa isi sejarah yang tersalah faktanya tetapi kemudiannya telah dilakukan pembetulan oleh Imam ath-Thabari dalam kitabnya Tarikh ath-Thabari. Contohnya Ibnu Kathir mengatakan Thulailah mempunyai seorang anak yang bernama Hibal. Apabila diselidiki dengan lebih mendalam oleh ath-Thabari rupanya Hibal bukanlah anak kepada Thulailah tetapi adalah anak saudara kepada Thulailah.

Rakyat sewajarnya menyemak semula setiap sejarah yang telah kita pelajari selama ini. Menyemak semula sejarah bukanlah bermaksud kita ingin menggugat kesejahteraan tanah air tetapi sebenarnya memberikan kita ruang dan peluang untuk mencintai tanah air dengan lebih mendalam. Tak kenal maka tak cinta; begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada tanah air kita. Bagaimana mungkin kita mampu untuk mencintai tanah air sendiri sekiranya kita tidak menghadami asal usul sejarah terlebih dahulu.

Lebih dibimbangi sekiranya kita mencintai seseorang berdasarkan bukan perwatakannya yang sebenar. Takut-takut perasaan yang tadinya luhur dan suci boleh bertukar kepada marah kebencian yang teramat. Kesimpulannya, selidik dan telitilah sejarah tanah air agar kita mampu memerdekakan diri dengan sebenar-benar merdeka. Sesungguhnya fakta tidak semestinya benar tetapi kebenaran tetap berada dalam kebenaran. Sehebat manapun penipuan dilakukan tidaklah dia mampu mengalahkan kebenaran.


Aku sisipkan lontaran sasterawan;
menongkah badai telaah ilmu.


Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali.
Tanpa himpunan ilmu di qalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di qalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu;
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fikir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur qalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah.
Kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

A Samad Said
17 Mac 2004

Rujukan : A. Samad Said, Mandala Sukma, A. Samad Said, M.S 432. (2005)


Melihat cermin yang memancarkan wajahku; khali dan berfikir. Merenung dengan lebih mendalam aku ternampak bentuk badanku secara fizikal. Kemudian aku memejamkan mata sambil menyentuh permukaan cermin, seolah aku berada dalam badanku sedang melihat peredaran darah atau sistem badanku. Aku meletakkan diri aku dalam kapilari darah yang membawa aku mengembara ke seluruh anggota badanku. Kini kuselami lautan darah lalu aku ternampak akan seekor berudu yang berjuang mendahului yang lain. 


Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
 (Surah Al-Alaq ayat 1-5)


Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?". 
(Surah Al-An'am ayat 50)


"Aku melihat cermin lalu ternampak aku, kemudian aku lihat aku lalu ternampak Dia."
"Dalam cermin ada aku, dalam aku ada Dia, dalam Dia ada kita dan ada semua"


Kadang-kadang apa yang kita nampak daripada luarannya tidaklah sama dengan isi dalamannya. Mungkin kita nampak di luarnya hanyalah kepah buruk tetapi rupanya di dalam tersorok mutiara yang tak ternilai harganya.


Seperti biasa Langit akan menunjukkan kebesaran dirinya, bermegah-megah dengan kelebihnnya kepada Bumi;



(Langit) Hei, Bumi tahukah engkau bahawasanya aku lebih mulia dan tinggi darjat daripadamu? Engkau terlalu rendah jika hendak dibanding dengan kemulianku. Kedudukan engkau yang berada di bawahku itupun sudah cukup menunjukkan aku lebih mulia dan tinggi daripadamu. Mana ada mereka yang mulia duduk di bawah, yang mulia semuanya berada di atas; arasy Allah, Malaikat, dan syurga semuanya berada di atas aku. Apakah yang ada pada engkau bumi? Engkau kotor, di dalamnya terlalu banyak manusia yang melakukan dosa dan maksiat. Engkau terlalu banyak pencemaran, masakan mampu menandingi aku?, 

(Bumi) Wahai Langit, memang benarlah apa yang diperkatakan oleh engkau bahawasanya aku ini adalah makhluk yang hina dan rendah martabatnya. Engkau lebih tinggi dan mulia daripada aku. Tidak mungkinlah aku mampu menandingimu dengan kehebatan; arasy Allah, Malaikat, dan syurga. Tetapi ingat wahai Langit ada sesuatu perkara yang sampai bila-bila pun engkau tidak akan dapat, hanya aku sahaja yang mampu memilikinya. 

(Langit) Apa dia Bumi? Katakan kepada aku, mana mungkin engkau mempunyai kemuliaan melebihi daripadaku!

(Bumi) Ingatlah wahai Langit, walaupun aku tidak mempunyai arasy Allah, Malaikat dan syurga tetapi aku mempunyai jasad Nabi Muhammad s.a.w. yang sampai bila-bila pun engkau tidak mampu memilikinya.

Akhirnya Langit menangis merugu-rugu kerana kelebihan yang ada pada Bumi. 

Imam Al-'Arif billah Al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as Sakandari dalam kitab Hikam ada memperkatakan; "Maksiat atau dosa yang menimbulkan rasa rendah diri diikuti dengan taubat dan memerlukan rahmat Allah adalah lebih baik daripada ketaatan kepada Allah yang menimbulkan kesombongan dalam diri; ujub".

Apabila kita melihat kisah mengapa Musa pergi mencari Khidir adalah kerana Musa ditegur oleh tuhannya kerana Musa telah bercakap besar di hadapan rakyatnya yang menanyakan siapakah yang lebih 'alim daripadamu Musa dan baginda menjawab; akulah yang paling 'alim. Tuhan menegur tingkahlaku Musa yang bercakap besar dan mengkhabarkan berita berkenaan Khidir yang lebih 'alim daripadanya. (Rujuk Surah Al-Kahfi)

Begitu juga kepada Muhammad memalingkan muka daripada seorang lelaki buta bernama Abdullah bin Umu Maktum apabila ditanyakan soalan; "Ya Rasulullah, alimni mimmaa 'allamaka Allahu" yang bermaksud Wahai Rasulullah ajarkan kepadaku apa yang diajarkan Allah kepadamu. Seketika itu sebenarnya Muhammad sedang duduk berbincang bersama dengan pembesar kafir Quraisy iaitu Utbah, Syaibah, Rabi'ah, Abu Jahal bin Hisyam, Al-Abbas bin Abdil Muttalib, Umayyah bin Khalaf dan Al-Walid Al-Mughirah. Maka Muhammad masam dan memalingkan muka daripada si buta tadi, maka Allah telah menegur Muhammad dengan mengatakan; "Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat al Quran adalah pengajaran dan peringatan". (Rujuk Surah Al-Abasa)

Berdasarkan daripada beberapa kisah yang diceritakan dalam Al-Quran dan kata-kata hikmah daripada Al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as Sakandari maka boleh disimpulkan sebenarnya jika kita rasa diri kita mulia cepat-cepatlah kita beristighfar mohon keampunan kepada Tuhan. Tiada yang lebih mulia dan tinggi darjatnya melainkan daripada orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Saya juga ingin kaitkan ini dengan satu keadaan di mana ianya antara pelajar dan pensyarahnya. Tidak semua yang diperkatakan oleh pensyarah itu adalah sesuai bagi pelajar itu. Mungkin sesuai untuk diri pensyarah itu sendiri tetapi tidak sesuai untuk pelajar itu. Jangan pula sebagai seorang pelajar menganggap apa yang diperkatakan oleh pensyarah itu adalah ibarat wahyu daripada Tuhan yang tidak boleh diingkari atau tidak diikuti. Benar kita hormat pada pensyarah kerana dia adalah guru kita tetapi tidak bermakna semua tingkahlaku kita perlu mengikut telunjuk pensyarah itu. 

Berbeza pendapat itu tidak sama dengan melawan guru, berbeza pendapat di kala kita tidak sama pemikiran tetapi masih mampu untuk berhubung sebagai manusia biasa. Manakala pensyarah itu juga tidak boleh mengatakan bahawasanya pelajar ini kurang ajar dan tidak hormat kepadanya, sebaliknya sebagai seorang pendidik wajarlah dia meraikan pendapat tersebut melainkan pendapat itu secara terang-terangan bersalahan dengan syariat Islam. Tetapi jika pensyarah itu tidak mahu untuk meraikan maka sebagai pelajar anda juga perlu berpegang kepada prinsip yang diyakini benar itu. Tetapi pada masa yang sama harus berpegang bahawa bukanlah kita adalah yang terbaik.

Kadang-kadang mereka yang bekerja sebagai penyapu di jalanan lebih mulia dan tinggi ilmunya berbanding mereka yang mempunyai gelaran Dr. Jangan kita terlalu mengagungkan jawatan sementara di dunia ini tetapi kembalilah ke hakikat sebenar mengapa kita diperjalankan di dunia ini.








Apabila Hasan Al Basri pernah berkata salah satu sebab kenapa doa tidak dimakbulkan adalah kerana; "Apabila berdoa manusia itu masih mempunyai perasaan besar diri".

Mana mungkin apabila kita hendak meminta pertolongan kepada seseorang tetapi dengan nada yang sombong. Adakah permintaan kita akan diberikan oleh manusia itu atau permintaan kita tidak dilayan? Kita sedia maklum, jika seseorang itu berkehendakan sesuatu maka pasti dia akan cuba mendapatkannya dengan bersungguh-sungguh. Tidak kira dengan apa cara sekalipun jika perkara itu mampu dilakukannya pasti akan dilakukannya.

Hatta jika kita melihat seseorang lelaki ingin memikat seseorang gadis yang berkenan dihatinya pasti akan dipujuk rayunya supaya gadis itu berkenan pula dengan tingkah laku serta tatabicaranya. Mungkinkah gadis itu akan menerima lelaki yang ingin memikatnya dengan kata-kata yang membesarkan dirinya. Pasti gadis itu tidak memperdulikan pujuk rayu lelaki yang sombong dan bongkak. Bukanlah ingin samakan Tuhan dengan hambaNya tetapi Tuhan telah mengajarkan cara bagaimana manusia ingin memohon doa kepada Dia agar diperkenankan.

Dalam Al Quran telah diceritakan kisah-kisah terdahulu bagaimana manusia yang telah dipilih menjadi pesuruhNya diduga sehingga ada yang hampir berputus asa sebelum kembali tegar dalam jalan dakwah ini. Kita lihat bagaimana pesuruh Tuhan ini memohon doa dengan rendah diri dan tidak merasakan diri ini bongkak dan takabbur;

Nabi Adam dan Hawa telah memohon keampunan kepada Allah di atas kesalahan mereka memakan buah khuldi yang telah dilarang; "Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk dalam orang-orang yang rugi (7:23).


Nabi Yunus yang telah melakukan kesilapan dengan meninggalkan jalan dakwahnya apabila penduduk di Naywana menolak ajaran tauhid. Selepas berlalu daripada Naywana baginda telah menaiki sebuah kapal dan tiba-tiba kapal itu dilanda ribut taufan. Selepas dibuat undian maka Nabi Yunus dipilih untuk dibuang daripada kapal bersama barangan yang berada di atas kapal. Ketika Nabi Yunus terjun ke dalam laut maka baginda telah dimakan oleh Ikan Nun. Disebabkan baginda tahu akan kesalahannya meninggalkan jalan dakwah tanpa dipersutujui oleh Allah maka baginda telah berdoa; "Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim". (21:87)


Nabi Zakaria yang tidak mendapat zuriat sehingga berumur lebih 90 tahun kemudia baginda berdoa; "Ya Tuhanku janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah Ahli waris yang terbaik" (21:89).


Kita boleh lihat para anbiya ini berdoa dengan merendahkan dan menghina diri di hadapan Sang Penciptanya. Manhaj berdoa ini diceritakan di dalam Al Quran supaya kita yakni manusia mengambilnya sebagai pengajaran dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Kita diberitahu; "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintahKu) dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran". (2:186)

Apabila kita berdoa, sesungguhnya sudah pasti doa itu didengari oleh Allah, cuma perkenannya doa itu adalah hak Allah; lambat, cepat atau tidak dimakbulkan. Berdoalah dengan serendah hati yang mungkin, sesungguhnya Allah mengetahui setiap daripada isi hati hamba-hambaNya. Jangan menjadi manusia yang sombong seperti mana yang diceritakan di dalam surah Al-Kahfi iaitu ada dua orang pekebun.

Seorang yang kufur dengan nikmat kekayaan suburan tanamannya dan bermegah-megah dengan hasilnya. Seorang lagi yang bersyukur dengan nikmat ala kadar yang diberikan oleh Allah. Bagaimana apabila seseorang tadi menunjuk-nunjuk kelebihannya kepada maka Allah telah menurunkan hujan untuk menghapuskan segala tanamannya dan tidak ada yang tinggal sedikitpun boleh dibanggakannya lagi.

Semoga di dalam Ramadhan Al Mubarak (Yang Diberkati) ini dapat kita tadabbur isi Al-Quran dengan lebih mendalam dan menjadikan arah panduan hidup. Ketika diri yang hina ini mengharapkan keredhaanMu maka berdoalah dengan doa Nabi Musa; "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikkan yang Engkau turunkan kepadaku" (28:24).



Hamka pernah menulis yang bermaksud seakan; "Tidaklah sama perjalanan hidup, pengalaman dan pemikiran dua individu yang seakan-akan sama saiz fizikalnya hatta mereka itu kembar sekalipun."

Zahiriahnya mungkin tampak sama, tetapi batiniahnya adakah serupa?
Luarannya tampak garang, tetapi dalamannya adakah cengih?
Mukanya tampak senyuman, tetapi hatinya adakah tenang?

Jika raut wajah hanya menggambarkan perasaan dan emosi seseorang insan; senyum bermaksud gembira dan masam bermaksud sedih, mengapa wujud; senyuman diwajahnya tetapi kesedihan melanda hatinya? Maka, secara hakikat tidak semestinya raut wajah adalah gambaran kepada hati dan perasaan kerana sekiranya perkara ini berlaku maka si insan itu telah melakukan penipuan iaitu menidakkan kesedihan di hati dengan senyuman di bibirnya.

 Hakikat di dunia ini hanya mempunyai dua perkara iaitu benar dan salah. Maka jika sebenarnya seseorang itu bercakap benar maka ia sedang bercakap benar. Jika beliau bercakap bohong maka ianya tetap bohong. Tidak pula boleh beliau bercakap benar tetapi ianya dianggap bohong dan tidak pula jika beliau bercakap bohong ianya dianggap benar. Jika yang benar itu dianggap bohong dan yang bohong itu dianggap benar maka akan berlakulah kecelaruan atau kekeliruan alam.

Berhati-hati dengan keadaan dimana kebohongan diangkat dan disanjung manakala kebenaran dipijak dan dihina. Situasi di Negara kita semakin serius apabila titah Sultan dianggap sebagai tiada yang boleh dikritik dan dianggap sebagai yang tertinggi melebihi kuasa Ilahi. Pemimpin yang melakukan rasuah dianggap sebagai wira Negara apabila ‘memulangkan’ duit rakyat; BR1M.

Dalam memilih sesuatu keputusan kita perlu membuat kajian, penilaian dan sehingga ke prosedur untuk membuat keputusan. Maka dalam proses kajian dan penilai kita perlu berhati-hati kerana sifat kebohongan sedang diangkat melebihi kebenaran. Dalam proses ini juga telah ramai yang tertipu dengan muslihat sosok yang inginkan keduniaan semata. Kita punyai tanggungjawab untuk membebaskan kebenaran daripada belenggu kebohongan. Walaupun kebenaran itu pasti tertegak tetapi Allah s.w.t ada bersabda;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka ” (Ar’rad, 13:11)

Maka bagaimanapun seluruh anggota di sosok manusia punyai tanggungjawab yang akan menjadi penyebab kepada kemenangan kepada kebenaran.


Ads 468x60px

Featured Posts