Beberapa hari yang lepas saya ke Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) iaitu salah sebuah kolej kediaman di Universiti Putra Malaysia. Saya pernah menginap di sini selama empat tahun semasa menyempurnakan pengajian sarjana muda dahulu. Lebih kurang jam 2.30 pagi, dalam perjalanan mahu pulang ke rumah sewa, saya singgah di salah sebuah bilik rakan. Baru sahaja masuk bilik, beberapa rakan yang sedang melepak menarik saya dan berkata mahu menanyakan satu soalan.

Apakah definisi matang?

Saya dengan acuh tak acuh menjawab bahawa matang adalah seseorang itu mampu untuk membezakan perkara yang benar dan salah. Mereka mengatakan bahawa definisi itu terlalu biasa dan semua orang boleh jawab. Ternyata saya terlalu mengambil mudah soalan yang ditanyakan kerana sebelum ini mereka jarang bertanya dalam keadaan yang bersungguh.

Mendengar respon mereka membuatkan saya terdiam sejenak dan mula berfikir apakah erti sebenar matang. Dalam benak fikiran, saya menyatakan ini adalah satu perbahasan tentang falsafah dan jiwa mulai rasa keghairahan akan perbincangan ini. Lalu, saya cuba untuk memberikan respon yang lebih baik kepada persoalan yang dibincangkan.

Mendefinisikan matang hanya dalam kerangka salah dan benar atau hitam dan putih adalah sesuatu tindakan yang terlalu mudah kerana mengikut pengertian ini akan wujud situasi seseorang yang dianggap matang berada dalam keadaan yang tidak matang. Contohnya, apabila seseorang yang dianggap matang mencuri, dia sebenarnya telah melakukan tindakan yang tidak matang dan ini telah meletakkan dirinya dalam keadaan yang tidak matang. 

Tanpa menafikan peri pentingnya perlu ada pembatasan makna atau definisi yang jelas supaya mudah digunakan untuk penulisan atau apa-apa penggunaan harian, saya melihat maksud yang disampaikan oleh definisi tadi masih kabur dan terlalu sempit.  

Saya klasifikasikan matang kepada tiga jenis iaitu biologi, pemikiran dan tingkah laku. Secara asas seseorang itu mencapai tahap matang biologi adalah apabila pertama kali bagi seseorang wanita datang bulan dan lelaki mengeluarkan air mani. Dimana jika mereka melakukan hubungan seks mampu untuk “mencipta” anak. Bahagian yang lebih penting adalah matang pemikiran dan tingkah laku, yang mana merupakan tujuan utama penulisan ini dilakukan.

Disebabkan saya tidak mampu memberikan definisi yang ringkas dan tepat maka saya menganggapkan bahawa matang pemikiran dan tingkah laku adalah bulatan yang difahami dalam konsep geometri dan aplikasi penggunaan terbatas dalam kejuruteraan.

Dalam pembinaan sesebuah bangunan, jurutera menganggap bahawa permukaaan tanah adalah rata seperti garisan lurus yang dilukis dalam pelan pembinaan. Bagaimanapun, itu adalah dalam kerangka yang kecil tetapi jika dilihat dalam kerangka yang lebih luas, sebenarnya permukaan tanah tadi tidaklah lurus tetapi ia adalah satu garisan lengkung yang membentuk bulatan. Permukaan tanah rata atau garis lurus sebenarnya tidak benar untuk digunakan oleh ruang secara keseluruhan.

Ini bermaksud dalam kerangka yang terbatas perlu ada maksud atau definisi yang jelas tetapi dalam kerangka yang lebih luas ianya tidaklah menjadi satu kemestian bahawa matang adalah “satu garisan lurus”.
Maka, matang pemikiran dan tingkahlaku perlu dikaitkan dengan tiga perkara iaitu pengalaman seseorang, keadaan semasa yang berlaku, dan tujuan pada masa hadapan.

Seseorang individu mendapat pengalaman daripada perkara yang dilihat dan dengar samada melalui diri sendiri atau orang lain. Hasil daripada pemahaman pengalaman itu seseorang akan menggunakannya untuk respon kepada keadaan semasa yang berlaku di sekelilingnya.  Kemudian, pengalaman dan respon keadaan semasa (telah bertukar menjadi pengalaman) akan digunakan untuk tujuan pada masa hadapan.  

Apabila seorang individu pergi menghadiri temuduga untuk mendapatkan pekerjaan, dia diberitahu bahawa perlu memakai pakaian yang kemas. Maka, berdasarkan maklumat tadi itu adalah pengalaman dia. Kemudian, semasa temuduga dia hadir dengan pakaian yang kemas dan itu adalah respon keadaan semasa hasil daripada pengalamannya. Dengan harapan bahawa dia akan diterima bekerja di syarikat tersebut. Jika tidak berjaya maka pengalaman yang ada akan digunakan untuk temuduga yang lain.  

Saya tidak akan mencipta satu definisi “matang” untuk pembaca kerana ianya seperti satu nilai yang sudah tercipta secara semulajadi bersama kewujudan manusia.

Contohnya, di Amerika Syarikat ketika perhambaan masih dibenarkan, majikan boleh memaksa hamba melakukan seks (merogol) dan tiada siapa akan ambil peduli. Apabila perubahan zaman berlaku, masyarakat belajar bahawa merogol itu tindakan yang tidak matang dan perlu dihapuskan serta maruah wanita perlu dijaga. Pada saya, ini bukanlah satu nilai yang baru wujud tetapi baru sahaja disedari akan kepentingannya. 
Jadi menyedari pengalaman setiap individu adalah berbeza maka tidak adil untuk menghukum orang lain berdasarkan pengalaman saya secara membuta-tuli. Saya kembalikan kepada pembaca untuk membuat keputusan apakah yang dimaksudkan dengan matang.

Akhirnya, ingin saya tambah bahawa mereka yang tidak matang pemikiran atau tingkahlaku tidak akan memberi kesan kepada matang biologi tetapi tidak matang biologi mungkin memberi kesan kepada matang pemikiran dan tingkahlaku. Beerti juga tidak semestinya mereka yang tidak matang biologi tidak boleh menjadi matang pemikiran dan tingkahlaku.

Sehingga sekarang saya masih terus merasa ghairah!


Semasa menghadiri temuduga sebagai penunjuk ajar kokurikulum di Universiti Sains Islam Malaysia pada 2012, Dr Hishomuddin Ahmad yang ketika itu pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (2011-Mac 2013) menyatakan pusat ini bertindak sebagai kilang bagi menyediakan mahasiswa yang lengkap bersedia untuk terjun ke dalam medan pekerjaan sebaik saja tamat universiti.

Secara falsafah semata-mata tidaklah mampu untuk saya bersetuju. Bagaimanapun jika diteliti dan difahami keadaan dan keperluaan semasa mahu tidak mahu sememangnya tujuan melahirkan mahasiswa ke arah memenuhi kriteria majikan bagi mendapatkan pekerjaan perlu dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Johan Mahmood Merican menyatakan kebolehpasaran siszawah penting dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Bukanlah mutlak bagi mencapai status negara maju pada 2020, lalu, mahasiswa perlu menjalani pengilangan tetapi saya meletakkan ianya sebagai salah satu sifat daripada pelbagai sifat yang menerajui masyarakat ke arah kemajuan.

Konotasi kilang itu tidak mempunyai roh dan nilai sehingga boleh menyebabkan hasilnya seperti tidak berperikemanusiaan. Kerana ingin memudahkan pembaca memahami saya nyatakan yang dianggap kilang tadi adalah antara sifat bagi melahirkan mahasiswa mempunyai kebolehpasaran.

Melihat kepada kebolehpasaran, golongan yang paling terkesan kepada perkara ini adalah graduan daripada ijazah sarjana muda pendidikan (GISMP). Sudah menjadi kebiasaan selepas tamat pengajian mereka akan bekerja sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di mana akan ditempatkan di sekolah kerajaan sekitar tanah air.

Pada 11 Ogos 2014 yang lepas satu himpunan aman dan penyerahan memorandum diadakan di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia oleh Gerakan Calon Simpanan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bagi menuntut penempatan disegerakan. Seramai 1,595 orang calon yang masih tidak diberikan penempatan walaupun sudah berstatus lulus temuduga yang dijalankan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pada Mei 2013, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata tiada jaminan penempatan untuk graduan institut perguruan (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (ISMP). Selepas itu pada November 2013, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching turut menyatakan tiada jaminan penempatan kepada graduan ijazah sarjana muda pendidikan kecuali mereka yang mendapat biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dasar ini sebenarnya sangat membantu mahasiswa ISMP dan IPG menghala ke arah kebolehpasaran yang berkualiti. Mentaliti sebelum ini, graduan bagi ISMP dan IPG merasakan mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari kerja kerana sudah dijanjikan pekerjaan selepas daripada tamat pengajian.

Tetapi apabila tidak dijanjikan penempatan atau penempatan yang terhad maka mereka yang terbaik dan paling berkualiti sahaja akan terpilih menjadi guru. Calon akan berusaha sehabis baik untuk menyediakan diri sebagai yang paling berkualiti semasa temuduga. Bagaimanapun masih lagi tertakhluk kepada kekosongan berdasarkan mata pelajaran yang ada di sekolah kerajaan.

Kerajaan sewajarnya bukan hanya melaksanakan dasar ini kepada graduan ISMP dan IPG sahaja tetapi perlu juga dilakukan kepada mana-mana laluan yang akan menjadi pesaing kepada graduan ISMP dan IPG seperti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah Guru Sandaran Tidak Terlatih (DPLI GSTT).

Jika DPLI GSTT ini di bawah tajaan kerajaan, menjadi persoalan mengapa diadakan laluan ini sedangkan masih terdapat graduan ISMP yang tidak diberikan penempatan. Sekiranya mahu juga dilaksanakan atas faktor mahu membantu GSTT yang terlalu lama hanya menjadi guru ganti sewajarnya peluang untuk mendapat penempatan di sekolah perlulah saksama dan tidak boleh mana-mana pihak dijadikan sebagai anak emas atau anak angkat.

Kebolehpasaran graduan ISMP boleh ditingkatkan sekiranya mereka diberi pilihan untuk melakukan latihan mengajar atau praktikal selain daripada sekolah. Sama ada praktikal boleh dilakukan di sektor swasta atau kerajaan yang mempunyai kaitan dengan kandungan kursus yang dijalankan universiti. Atau melakukan sekurang-kurangnya 2 kali praktikal di mana pertama wajib melakukan latihan mengajar di sekolah dan praktikal boleh dilakukan di mana-mana sektor swasta atau kerajaan yang berkaitan dengan kursus calon. Pengalaman praktikal khususnya akan memberi nilai tambah kepada graduan untuk memohon kerja selain daripada bidang perguruan.

Dasar ini, sebenarnya mengajar graduan untuk tidak terus bergantung kepada kerajaan. Tidak sewajarnya mahasiswa yang tamat pengajian terus berharap kepada kerajaan memberikan ihsan selama berpuluh tahun mendatang. Sekiranya guru adalah kerjaya pilihan, sekolah swasta sebenarnya terlalu luas tetapi barangkali tidaklah mendapat keistimewaan seperti bekerja dengan kerajaan. Tetapi tidak kurang juga sekolah swasta memberikan bayaran yang tinggi kepada gurunya.

Bagaimanapun pihak kerajaan perlu menunjukkan kepada rakyat dasar ini memberi kesan yang baik kepada pencapaian akademik dan ekonomi negara. Pencapaian ranking Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) perlu dijadikan ukuran untuk melihat sejauh mana keberkesanan di peringkat antarabangsa dasar ini dijalankan. Sekiranya kerajaan mahu menjimatkan kos belanja membiayai gaji guru yang tidak memberikan kesan secara efisien kepada pencapaian pendidikan negara sewajarnya kerajaan juga menunjukkan contoh yang sebaiknya dalam pengurusan kewangan kementerian.

Bidang pendidikan bukan bidang yang hanya boleh diaplikasikan sekiranya graduan ISMP atau IPG itu menjadi guru di sekolah tetapi kemahiran mendidik itu boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang lain seperti penyelidikan, penulisan, latihan, usahawan, pengurusan dan pentadbiran. Graduan ISMP dan IPG sewajarnya menunjukkan kepada sektor swasta akan kebolehpasaran anda dalam mendepani pasaran yang lebih bebas dan tidak hanya berfokus kepada bidang keguruan semata-mata.

Lalu, langkah pertama adalah menyediakan mentaliti yang tidak berharap kepada kerajaan untuk menyediakan kerja selepas tamat pengajian.
 
Artikel ini telah disiarkan di TheMalaysianInsider pada 10 September 2014.


Bercakap soal kebebasan ianya tidak wujud secara vakum atau tiba-tiba. Ianya melalui satu proses yang panjang dan penuh dengan cabaran serta pengorbanan. A. C. Grayling dalam bukunya bertajuk Towards the Light: The Story of the Struggle for Liberty and Rights That Made the Modern West mencatatkan bagaimana proses yang dilalui oleh masyarakat barat sejak awal abad ke-16 sehingga Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948 diwujudkan.

Buku tersebut menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tempoh perjuangan masyarakat barat memperjuangkan kebebasan berfikir, melawan totalitarian, dan menuntut pembebasan hamba, pekerja dan wanita. Tidak dinafikan perjuangan ini adalah respon terhadap pengalaman hitam yang dilalui oleh masyarakat eropah terhadap penguasaan gereja. Grayling menyifatkan kebebasan berfikir adalah merupakan intipati siasatan dan penyiasatan bebas yang menghasilkan konsep alam semesta yang sama sekali berbeza dari apa-apa yang difikirkan dunia ini hanya dijadikan sebagai teater untuk takdir moral dan rohani manusia oleh tuhan antroposentik¹.

Mungkin disebabkan oleh kekhuatiran sejarah cengkaman institusi keagamaan kepada masyarakat eropah berlaku pula di negara ini, 25 orang Melayu ternama telah menulis satu surat kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak. Mereka terdiri daripada bekas penjawat awam yang pernah menjawat antara jawatan tinggi dalam pentadbiran negara.

Surat itu menerangkan perlunya ada penyelesaian berkaitan pertikaian yang berterusan mengenai kedudukan dan pelaksanaan perundangan Islam di negara ini. Mereka juga menyatakan kerisauan bahawa kewujudan ekstremis agama yang sekiranya dibiarkan berlarutan akan menjejaskan komitmen Malaysia kepada prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, sikap tidak bertoleransi kaum dan ketaksuban, dan telah meningkatkan kebimbangan terhadap kedamaian dan kestabilan negara.

Kenyataan ini telah disokong oleh 93 pertubuhan bukan kerajaan, 22 aktivis Muslim muda dan golongan profesional yang percaya bahawa dialog adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku ketika ini. Saya merupakan salah seorang daripada 22 aktivis Muslim muda dan bercakap bagi pihak Suara Rakyat Malaysia (Suaram) iaitu salah satu daripada 93 pertubuhan kerajaan semasa sidang media tempoh hari percaya bahawa dalam negara demokrasi yang majmuk seperti Malaysia perlu mengambil kira suara rakyat daripada pelbagai kaum dan mentafsirkan undang-undang Islam menerusi kaedah maqasid syariah dan bukan secara literal atau harfiah teks semata-mata.

Berdasarkan kaedah fekah; “hukum itu berlegar atas perkara yang diberi nama, bukan pada nama” sangat penting diberikan perhatian. Kegagalan kita melihat “substance over form” lebih penting daripada “form over substance” akan menyebabkan masyarakat bukan Islam memandang sinis kepada agama dan juga akan mewujudkan sekelompok yang melampau-lampau dalam kelakuan beragama. Jasser Auda menyatakan kita (Islam) membezakan dengan pembezaan yang jelas antara dosa-dosa antara hamba dengan Tuhannya dan antara jenayah-jenayah yang berlaku bawah hukuman undang-undang². Persoalan inilah yang perlu difahami oleh masyarakat supaya mampu membezakan kesalahan yang bersifat antara manusia dengan tuhannya yang tidak perlu dijadikan undang-undang dan kesalahan sesama manusia yang boleh dan perlu dijadikan undang-undang.

Walaupun negara ini dari sudut perlembagaan tercatat bahawa Islam merupakan agama rasmi negara tetapi bukanlah satu tiket untuk segolongan umat Islam memaksa apa yang dipercayainya perlu diterima dan dipercayai oleh seluruh umat Islam dan masyarakat di negara ini. Tindakan yang menganggap apa sahaja boleh dilakukan atas nama “tuan tanah” kepada “pendatang” secara paksaan sebenarnya tidak menggambarkan langsung tujuan agama itu sendiri. Bahkan, tidak berbeza dengan tindakan gereja di eropah pada abad ke-16 dahulu yang memaksa masyarakat menerima apa sahaja tafsiran tentang agama Kristian tanpa boleh mempersoalkan apa-apa.  

Tindakan Ibrahim Ali pada Januari 2013 yang mengancam akan membakar Bible milik agama Kristian hanya kerana terdapat kalimah Allah di dalamnya tidak menunjukkan praktikal agama Islam yang sebenar. Bahkan, respon Jabatan Peguam Negara mengatakan bahawa ancaman tersebut adalah hasrat Ibrahim Ali mempertahankan kesucian agama Islam adalah hujah yang tidak logik dan juga bertentangan dengan tujuan Islam yang mengajak kepada keharmonian dan menghormati antara sesama agama.

Surat terbuka 25 Melayu ternama itu juga adalah merupakan respon kepada kenyataan Datuk Seri Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2014 berkaitan dengan pengekalan Akta Hasutan. Imej Datuk Seri Najib yang dianggap sederhana sebelum ini telah tercalar kerana tidak menepati janjinya pada tahun 2012 untuk memansuhkan akta drakonian tersebut. Dengan masih wujudnya akta hasutan ini, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10³ dalam Perlembagaan Malaysia tidak dapat dijalankan dengan baik. Bahkan, ianya akan terus mewujudkan situasi prejudis terhadap kaum dan agama lain apabila akta hasutan ini digunakan hanya untuk pihak yang dianggap tidak bersama dengan kerajaan.

Berkaitan isu kebebasan bersuara Maszlee Malik mendefinisikan suasana yang memungkinkan seseorang individu ataupun kumpulan untuk menyuarakan pendapat mereka ataupun tidak menyuarakan pendapat mereka dengan rela hati tanpa dipaksa atau tanpa campur tangan pihak lain dan berlaku tanpa sebarang halangan. Kebebasan tersebut pula hendaklah tidak melampaui batas syarak dan tidak pula mencabuli hak pihak yang lain⁴. Tindakan Ibrahim Ali telah melampaui batas syarak dan mencabuli hak pihak lain bagaimanapun tiada apa-apa tindakan diambil kepadanya.

Bukanlah bermaksud saya supaya Ibrahim Ali dikenakan akta hasutan. Saya secara konsisten menolak sebarang dakwaan di bawah akta hasutan kerana saya percaya kepada hak kebebasan bersuara walaupun kepada mereka yang tidak sependapat dengan saya. Dakwaan seperti ini perlu dihentikan segera dengan digantikan dengan proses dialog yang lebih terbuka. Saya berpendapat bahawa perkara-perkara yang kononnya sebelum ini dianggap sensitif seperti hak keistimewaan bumiputera dan agama perlulah dibincangkan secara terbuka dan matang di ruang awam tanpa sebarang prejudis.

Seperti yang kita ketahui bahawa perlembagaan dan sosial kontrak bukanlah sesuatu yang statik sifatnya tetapi bersifat dinamik iaitu boleh diubah atau dipinda mengikut kesesuaian semasa. Orang Melayu sewajarnya tidak perlu takut akan ancaman bahawa kuasa politik mereka akan hilang tetapi sudah perlu bergerak ke arah yang lebih matang iaitu berkongsi kuasa politik secara saksama. Bukan lagi memandang bahawa kaum lain sebagai pesaing atau musuh politik tetapi sebagai sahabat dan saudara dalam membina sebuah negara yang maju dan harmoni.

Harmoni bukanlah bermaksud tidak langsung mempunyai perbezaan pandangan dan konflik antara kaum dan agama tetapi bagaimana ianya mampu diuruskan dengan baik tanpa melahirkan perasaan prejudis dan kebencian kepada kaum dan agama lain serta situasi ketegangan yang tidak berterusan. Bagaimanapun apabila kaum dan agama dikaitkan dengan kuasa politik ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diuruskan. Peristiwa perebutan kuasa khalifah oleh Muhajirin, Ansar dan Bani Hashim sejurus kewafatan Rasulullah di Saqifah Bani Saadah⁵ membuktikan bahawa mereka yang menggunakan alasan kaum (ataupun golongan) dan agama sebagai asas perjuangan tidak lari daripada melakukan kesilapan dan keinginan untuk berkuasa melebihi orang lain.

Dalam sebuah negara demokrasi sekiranya tidak mempunyai apa-apa konflik di dalamnya maka ianya bukanlah demokrasi yang sihat. Demokrasi yang sihat adalah penghuninya berbeza pendapat dan berani memperbaharui pandangan lama yang dianggap tidak bersesuaian dengan keadaan semasa. Tidak menjadikan kuasa sebagai senjata untuk menutup mulut dan membunuh idea pihak lawan yang berbeza pendapat. Juga menjadikan dialog sebagai asas perdebatan idea dalam menuju ke arah masyarakat yang lebih bertamadun.

Rujukan:

  1. A. C. Grayling, Towards the Light: The Story of the Struggle for Liberty and Rights That Made the Modern West (London, 2007), hal. 59.
  2. Jasser Auda (ter: Marwan Bukhari), Mudah Maqasid Syariah (PTS, 2014), hal. 170.
  3. Rujuk Perlembagaan Malaysia Perkara 10 (1) (a).
  4. Maszlee Malik, Menuju Sejahtera Meraih Bahagia (Karangkraf, 2014), hal. 227.
  5. Khalid Jaafar, Metafizik dan Kosmopolitan (IKD, 2009), hal. 62-91. 


Apabila wahyu pertama diturunkan, Iqra’ (bacalah), ia menjadi satu falsafah perjuangan yang relevan selagi mana wujudnya penindasan, penipuan dan segala kebobrokan di muka bumi ini. Daripada kegelapan kepada pencerahan. Itulah reformasi yang perlu dilakukan dan akan terus dilakukan oleh para pecinta yang asyik dengan kebenaran.

Dua peristiwa yang berlaku baru-baru ini, iaitu demonstrasi untuk mempertahankan kebebasan akademik setelah Prof Madya Dr Azmi Sharom didakwa di bawah Akta Hasutan dan acara pidato umum “Anwar Ibrahim: 40 Tahun, Dari UM ke Penjara” mengingatkan saya kepada pengalaman beberapa tahun yang lepas – perjuangan menegakkan nilai yang sama tetapi peristiwanya berbeza.

Kebebasan akademik adalah perjuangan yang sekiranya tidak diperjuangkan maka tidak akan relevanlah mana-mana gerakan atau kumpulan mahasiswa itu.

Tanggal 23 Februari 2011 adalah antara hari bersejarah buat saya yang tidak mungkin dilupakan. Ketika itu saya memegang jawatan Timbalan Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa, Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia (KTDI, UPM). Kejadian pecah pintu di Universiti Putra Malaysia telah menjadi satu berita hangat selama seminggu di dada-dada akhbar dan berita perdana dalam negara.

Kejadian tersebut adalah reaksi mahasiswa kerana 11 calon Pro-Mahasiswa yang menang pilihanraya kampus dibatalkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (ketika itu Prof. Dr. Fauzi Ramlan) atas alasan yang tidak munasabah, iaitu berkempen di media sosial. Saya yang ketika itu baru sahaja berjinak-jinak dengan gerakan mahasiswa mula menyedari bagaimana mereka yang berpendidikan tinggi digunakan dan menggunakan autoriti di kampus untuk menyekat kebebasan mahasiswa.

Tahun yang sama pada 21 Oktober 2011, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah diadakan satu demonstrasi membela Dr. Aziz Bari yang digantung daripada perkhidmatan oleh pentadbiran universiti atas alasan memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti. Kenyataan berlandaskan akademik yang dikeluarkan oleh Dr. Aziz Bari mengkritik titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya telah dianggap sebagai bertentangan dengan kepentingan universiti.

Sekali lagi kebebasan akademik dirampas oleh golongan yang sewajarnya memperjuangkan dan berpegang dengan prinsip kebebasan akademik. Ternyata pendidikan bertahap doktor falsafah atau memegang gelaran profesor bukanlah satu kepastian bahawa seseorang itu tidak akan dipengaruhi oleh kepentingan kuasa dan politik peribadi. 

Saya telah menulis satu artikel bertajuk; “Kelesuan para akademia Malaysia” pada Januari 2013 yang disiarkan di beberapa portal internet berkaitan betapa lesunya golongan akademia daripada bersetiakawan bersama-sama mahasiswa dalam isu kebebasan akademik. Namun, demonstari membela kebebasan akademik untuk Azmi Sharom yang diadakan di Universiti Malaya tempoh hari telah menunjukkan bahawa sebenarnya golongan akademia juga mampu dan telah mula untuk berdiri sebaris bersama mahasiswa dalam isu ini.

Risiko yang diambil oleh Pro-Mahasiswa UPM pada tahun 2011 dengan merempuh pintu Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga pecah memberikan kesan apabila pada tahun-tahun selepasnya tidak lagi timbul masalah berhubung pilihanraya kampus seperti sebelumnya, iaitu ketika dua tahun berturut-turut calon Pro-Mahasiswa dibatalkan dengan alasan yang tidak munasabah. Mungkin kesan seakannya juga yang akan berlaku kepada Universiti Malaya selepas rempuhan pagar oleh mahasiswa. Mahasiswa selepas ini akan terus memberikan tekanan dan mengasak pihak pentadbiran universiti supaya akur pada tuntutan mahasiswa, khususnya kebebasan akademik.

Saya percaya gerakan mahasiswa bukanlah hanya pandai berdemonstrasi semata-mata tetapi gerakan mahasiswa juga telah banyak melahirkan individu yang cakna dengan isu sosial dalam negara. Rempuhan yang berlaku di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2011 dan Universiti Malaya baru-baru ini adalah disebabkan pintu rundingan bersama pihak pentadbiran telah menjumpai jalan buntu dan keintelektualan disekat tanpa sebab yang munasabah.

Rempuhan di Universiti Putra Malaysia tidak akan berlaku sekiranya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar turun bertemu dengan mahasiswa bagi menjelaskan dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan. Rempuhan di Universiti Malaya tidak akan berlaku sekiranya pihak universiti bersikap seimbang dan adil kepada pihak kerajaan mahupun pembangkang, selari dengan prinsip kebebasan akademik.

Mahasiswa perlu sedar bahawa perjuangan ini penuh cabaran. Tetapi ingatlah, Giordano Bruno dibakar hidup-hidup oleh gereja kerana berpendirian bahawa bumi yang mengelilingi matahari dan bukan matahari yang mengelilingi bumi; Galileo Galilei pula dihukum penjara seumur hidup di rumahnya kerana berpendirian sama seperti mana Bruno. Kedua-dua sosok ini memperjuangkan kebebasan akademik dalam kerangka zaman dan cara mereka yang tersendiri.

Mahasiswa pada hari ini bertanggungjawab mengambil peranan yang sama untuk merealisasikan kebebasan akademik dalam mengikut acuan yang sesuai dengan zaman kontemporari.

Kita melihat kini mahasiswa sedang menghampiri ambang perubahan. Seperti disebut tadi, mereka bukan hanya tahu berdemonstrasi. Buktinya, di merata-rata kampus, hampir di seluruh negara, kini telah muncul pelbagai ‘grup diskusi’ yang bergerak di luar kampus. Lalu kita mendengar nama seperti “Buku Jalanan” dan “Universiti Terbuka Anak Muda”. 

Sambil menuntut kebebasan daripada universiti dan membela kebebasan akademik, mahasiswa mula sedar bahawa ada ruang untuk mereka bergiat, menimba ilmu, dan mengasah kemahiran di luar kampus. Dengan kesedaran ini, kita seharusnya yakin bahawa perubahan telah semakin hampir.

Artikel ini telah diterbitkan di Roketkini bercetak keluaran November 2014.


Sistem pendidikan mestilah memainkan peranan yang penting disamping sistem-sistem negara yang lain. Sistem pendidikan bukan saja mengajar ilmu pengetahuan tetapi mestilah juga menciptakan keadaan mental yang bersesuaian dengan masyarakat negara ini. Ianya hendaklah menuju ke arah membentuk satu ‘Bangsa’ di mana setiap seorang dapat melepaskan diri daripada belenggu dan pergeseran akibat tuntutan-tuntutan kaum¹.” Mahmod Kitom

Pada tahun 1968, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) telah menganjurkan Simposium Dasar Pelajaran Kebangsaan. Di sini beberapa kertas kerja telah dibentangkan dan akibat daripadanya telah banyak hasil perbincangan simposium tersebut yang memberi kesan kepada pembangunan pendidikan dalam negara. Pendidikan merupakan sesuatu yang luhur kerana ia (pendidikan) bisa menjadi agen perpaduan pelbagai kaum khususnya di Malaysia tanpa pemaksaan bahkan dengan rela hati. 

Antara kertas kerja yang penting adalah ‘Pendidekan dan Pembangunan Negara’ oleh Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Awang Had Salleh. Beliau meletakkan asas sesebuah negara adalah tanah dan orang². Lanjutnya, Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang pengenalan tanah-nya mendahului pengenalan orang-nya. Dimana Malaysia telah mencapai kemerdekaan tetapi masih dalam proses pembinaan sebuah negara ‘Bangsa’.  Terdapat juga negara yang mencapai tahap pengenalan orang mendahului pengenalan tanah seperti Israel dan yang mencapai pengenalan tanah dan orang secara bersama seperti Indonesia.

Malaysia dalam fasa pembinaan orang bagi membina sebuah negara bangsa memerlukan sistem pendidikan yang bersifat merentasi kaum dalam pelbagai aspek. Awang Had Salleh menyarankan pendidikan perlu digerakkan ke arah pembentukan peribadi kanak-kanak perseorangan sesuai dengan masyarakat demokrasi, pembentukan satu bangsa yang terdiri daripada berbagai kaum yang masing-masing dapat melepaskan diri daripada belenggu prasangka pergeseran kaum, dan pembekalan tenaga manusia untuk kemajuan ekonomi negara³.

Saya berpendapat bahawa setelah 46 tahun simposium ini dan Seminar Pendidikan di Malaysia 1968 diadakan, 58 tahun Penyata Razak 1956 diwujudkan dan 54 tahun Penyata Rahman Talib dipersetujui, rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga golongan jenis masyarakat. Yang pertama tidak peduli akan perihal yang berlaku di persekitarannya dan hanya sibuk dengan dirinya sendiri. Kedua adalah golongan yang sederhana sifatnya dimana boleh berkongsi dan bertolak ansur antara kaum. Ketiga adalah ekstremis atau pelampau yang suka mengambil kesempatan apabila timbul isu melibatkan perselisihan kaum dan agama.

Saya menulis Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Seminar Pendidikan di Malaysia 1968 dan Simposium Dasar Pelajaran Kebangsaan 1968 kerana keempat-empat perkara ini adalah merupakan antara usaha terawal untuk membangunkan sistem pendidikan di Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan. Keempat-empat ini jugalah yang telah melahirkan tiga jenis golongan masyarakat seperti saya nyatakan tadi. Dimana golongan yang pertama dan ketiga adalah reaksi negatif dan golongan kedua adalah reaksi positif daripada tujuan asal sistem pendidikan yang dibina.

Bagi golongan pertama mereka biasanya adalah individu yang lebih cenderung untuk menguruskan hal-hal peribadi dan keluarga tanpa berminat untuk berpartisipasi dengan masyarakat dan negara. Mereka hanya berminat melakukan rutin harian dan hanya akan tergadah apabila sesuatu perkara terkena kepada diri sendiri atau keluarga. Golongan ini tidaklah berbahaya berbanding golongan ketiga iaitu ekstremis kerana golongan ini tidak sibuk mencari masalah dengan pihak lain.

Prof. Dr. Yusuf Qardawi menggariskan enam ciri-ciri ekstremis iaitu fanatik pada suatu pendapat dan tidak mengakui pendapat orang lain, mewajibkan sesuatu kepada menusia sesuatu yang tidak diwajibkan Allah kepada mereka, memperberatkan yang tidak kena pada tempatnya, sikap kasar dan keras, buruk sangka terhadap manusia dan terjerumus ke dalam jurang pengkafiran⁴. Kebiasaannya di Malaysia pada hari ini kita boleh lihat bagaimana ciri-ciri di atas secara jelas berlaku di sekeliling kita.

Timbul persoalan adakah mereka yang berpegang secara kuat dan serius kepada kepercayaan mereka adalah seorang ekstremis. Selagi mereka berpegang kepada kepercayaan sendiri tanpa memaksa orang lain menerima dan meninggalkan kepercayaan tersebut tidaklah boleh dianggap sebagai ekstremis. Melainkan dia merasakan selain daripada dia (atau gurunya) adalah salah dan semua perlu mengikuti pandangannya maka itu adalah ekstremis.

Golongan yang kedua adalah golongan yang diidam-idamkan oleh sistem pendidikan yang sebenarnya. Tanpa mengira kaum, setiap individu cuba membina sebuah masyarakat dan negara yang penuh dengan keharmonian dan kesaksamaan. Saya perlu bersetuju apabila Mahmod Kitom menyatakan bahawa sistem pendidikan perlulah membentuk satu ‘Bangsa’ di mana setiap seorang dapat melepaskan diri daripada belenggu dan pergeseran akibat tuntutan-tuntutan kaum. Bahkan saya menambah perlu adanya hak sama rata antara rakyat khususnya dari sudut kewarganegaraan.

Dr. Jasser Auda semasa memberikan ucapan peluncuran buku terjemahan Mudahnya Maqasid Syariah di UNITEN pada 30 Mei 2014 tempoh hari menyatakan bahawa isu kalimah Allah di Malaysia ini hanya isu yang terpencil dari mata pandangannya. Banyak isu yang lebih besar perlu diberikan perhatian seperti kemiskinan, kesihatan awam dan kewarganegaraan.  Dalam isu kewarganegaraan tidak perlu lagi ada warganegara kelas pertama atau kelas kedua tetapi semuanya perlu sama rata. Dalam konteks Malaysia samada Melayu, Cina, India atau apa sahaja kaum, yang lahir dan hidup berpuluh tahun bersama, sewajarnya perlu diberikan hak yang sama rata tanpa perlu ada mana-mana kaum berada di atas kaum yang lain.  

Dasar pendidikan yang dijalankan di Malaysia ini masih memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Kualiti pendidikan yang diidamkan masih belum mampu untuk dicapai. Kondisi demokrasi dan perhubungan kaum masih boleh dipersoalkan akan kemurniannya. Kita memerlukan lebih ramai orang dalam tanah Malaysia ini terus berfikir secara rasional dan bersangka baik antara satu sama lain. Melihat bahawa dasar-dasar yang pernah dilaksanakan sebelum ini sebagai sesuatu yang fleksibel dan bukan statik (tetap) melalui konsep demokrasi yang luhur.

[1] Mahmod Kitom dalam pendahuluan buku Dasar Pendidekan Di-Malaysia: Apa PBMUM dan PKPIM Persoalkan (1969).

[2] Kertas kerja Awang Had Salleh bertajuk Pendidekan dan Pembangunan Negara (1968). Disusun dalam buku Dasar Pendidekan Di-Malaysia: Apa PBMUM dan PKPIM Persoalkan (1969), hal. 17.

[3] Ibid., hal. 19. 


[4] Yusuf Qardawi, Islam ‘Ekstrem’ Suatu Analisis dan Cabaran Terhadap Kebangkitan Islam (2002). Percetakan Putrajaya Sdn. Bhd., hal. 13-28.

* Penulisan ini telah diterbitkan di surat khabar Roketkini bagi bulan September 2014. 


The Lost Manuscrip
Djamal Tukimin,
Yishun, Republik Singapura,
12 Februari 2007.
Ini gelaran yang diberikan sasterawan Singapura Djamal Tukimin kepada karya Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka) yang bertajuk Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor.
Buku ini telah diterbitkan pertama kalinya oleh Persatuan Muhammadiyyah Singapura pada tahun 1958. Disebabkan karya ini hanya diterbitkan di Singapura, maka ia tidak diketahui banyak orang di rantau ini. Setelah sekitar lima puluh tahun diharta-karunkan, akhirnya buku tersebut dicetak semula dan ditransliterasikan kepada tulisan Rumi oleh Djamal Tukimin.
Karya ini terhasil daripada semangat intelektual dan beradab Buya Hamka dalam menangkis dan menjawab pertuduhan daripada as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad. Sayyid Alwi yang merupakan Mufti Johor ketika itu telah memberikan pandangan dan kritikan dalam majalah Semenanjung (Bil. 109) bertarikh 26 Zulhijjah 1377 berkaitan kitab Ibadat Rasulullah karangan Ustaz Abu Bakar Asyaari, ulama kaum muda dari Perlis.
Kritikan dan pandangan Sayyid Alwi yang bertajuk Tiada Guna Kerana Mengelirukan Orang Ramai Kaum Muda Menyebabkan 30 Juta Jadi Komunis telah menyebabkan Hamka bangkit mempertahankan kaum muda dan secara tidak langsung mempertahankan Ustaz Hassan Bandung yang dituduh menolak beberapa tiang agama dalam ulasan tersebut.
As-Sayyid Alwi menyatakan bahawa kewujudan kaum muda telah menyebabkan beberapa peristiwa berlaku di Indonesia. Antaranya ialah orang Kristian menyebarkan agamanya, 10 juta rakyat Indonesia menjadi Kristian dan 30 juta rakyat Indonesia menjadi komunis. Sayyid Alwi juga menyamakan kaum muda Indonesia dengan kaum muda Turki dan fatwa yang digunakan oleh kaum muda diambil oleh Qadiani.
Hamka ketika itu adalah Pegawai Tinggi Agama Indonesia. Namun, beliau tidak menggunakan pengaruh atau kuasanya untuk menyuruh kerajaan Indonesia mengharamkan apa sahaja berkaitan dengan Mufti Johor, sebaliknya beliau bersusah payah selama lima hari mengasah pena.
Pada permulaan buku ini Hamka mengutip pepatah Arab;
Pahlawan di medan perang ada juga yang tergelincir kaki kudanya.
Pepatah itu untuk mengingatkan pembaca beliau bahawa setiap manusia di muka bumi ini tidak lari daripada kesilapan dan setinggi mana sekali pun ilmu seseorang itu tidak menjadikannya sakral daripada kesilapan.
Semua tuduhan yang dihamparkan kepada kaum muda dan Ustaz Hassan Bandung, Hamka jawab dengan penuh tertib dan konkrit. Hamka mendatangkan hasil kajian sejarah dan kontemporari-berdata (oleh Kementerian Agama Republik Indonesia) yang menunjukkan bahawa Islam adalah sebuah agama yang teliti dan berhati-hati dalam memberikan tuduhan kepada seseorang ataupun kumpulan.
Seterusnya, Hamka menerangkan tentang perihal berijtihad. Ada guru yang menyatakan bahawa kamu tidak boleh berbicara soal ini kerana kamu masih belum cukup ilmu tentangnya. Satu guru lain pula mengatakan, pelajarilah segala ilmu itu agar dapat kamu berbicara. Dalam bab ini ditekankan soal akal dan taklid.
Hamka menjelaskan bahawa akal perlu memandu manusia dalam mendalami ilmu secara rasional dan logik tanpa bertaklid keterlaluan dan bahawa keutamaan untuk kita ialah kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai sumber asas ijtihad.
Walaupun 56 tahun telah berlalu sejak buku ini diterbitkan pada pertama kalinya, namun isinya masih sesuai dengan keadaan kontemporari, di Malaysia khususnya. Isu label-melabel – liberal, plural, Wahabi, Syiah, Khawarij dan banyak lagi – masih tidak selesai.
Dalam kes Muhammad Abu Zaid (pengarang Hadyur-Rasul) yang digolongkan oleh Mufti Johor ke dalam kelompok Qadiani, secara kiasan Hamka menyatakan orang Yahudi berkhatan dan orang Islam juga berkhatan, tetapi Islam bukanlah Yahudi. Juga orang Nasrani mempunyai ajaran cinta sesama manusia dan orang Islam turut dituntut mencintai saudara seIslam tetapi bukanlah Islam itu Nasrani.
Permasalah ini mendalam. Sedar tidak sedar ia adalah wabak yang makin parah dalam masyarakat di Malaysia. Di zaman kita sekarang, Aminah Wadud yang bukanlah berpegang kepada faham liberal diserumpunkan dengan liberal. Setiap keganasan dan kekerasan dianggap Wahabi, sedangkan Wahabi itu adalah tidak lain daripada penganut mazhab Hanbali yang berusaha mempertahankan sunnah Rasulullah.
Bashar al-Assad yang menganuti Syiah belum tentu mewakili kesemua golongan Syiah. Tindakannya membunuh umat Islam-Sunni tidaklah boleh dipandang dari sudut perbezaan agama semata-mata tetapi perlu juga dikaji dari sudut politik.
Berbeza pandangan bukanlah bermakna anda sesat dan saya benar atau sebaliknya tetapi kita bersama dalam mencari kebenaran. Kebenaran mutlak adalah hak Allah!
Hamka menekankan bahawa kita adalah sama dan bersama. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 92:
Ini semuanya adalah umatmu, umat yang satu. Dan aku adalah Tuhanmu, sembahlah aku.
Setiap penulisan adalah tanggungjawab secara seluruh kepada si penulis. Begitu jugalah sedikit sebanyak bentuk penulisan adalah gambaran kepada akhlak penulis itu sendiri. Hamka dalam ketegasannya membela kaum muda dan Ustaz Hassan Bandung tidaklah menghalang pembacanya untuk menghormati Sayyid Alwi sebagai seorang alim yang salih, sebagai orang yang lebih berusia dan ahlul bait.
Tulisan ini hanya percubaan untuk memberi sedikit gambaran kepada “The Lost Manuscript” Hamka dan terlalu ringkas untuk membahas secara keseluruhan karya tersebut. Semoga akan ada penulisan yang seterusnya mengkaji dan menggali dengan lebih dalam akan karya ini.
Penulisan ini telah diterbitkan oleh Roketkini pada 5 April 2014.


"Di waktu segala jalan hubungan di bumi ditutup orang, hubungan ke langit lapang terluang", Hamka.

Dalam keresahan saya menyelak lembaran buku Revolusi [2014-cetakan pertama Galeri Ilmu] karangan Pahrol Mohamad Juoi. Bermula pada jam 12.30 am sehingga jam 5.30 am [2/4/2014]. Alhamdulillah, dapat menyelesaikan keseluruhan perkataan yang ditulis dalam buku tersebut walaupun tidak keseluruhannya meresapi dalam jiwa. 

Penulisannya menyebabkan dahi saya berkerut-kerut dek disebabkan beberapa rasa. Adakalanya disebabkan tidak memahami apa yang cuba disampaikan, kadang-kala tidak bersetuju dengan maklumat yang ingin disampaikan dan ada juga kerana dek tertampar oleh apa yang dinukirkan dalam buku tersebut. 

Lebih kurang 5 jam saya cuba membaca dan menghadami buku tersebut saya merasakan bahawa peperangan dalam jiwa antara keresahan, malu, marah, dan pelbagai rencam sedang berlangsung. Masing-masing angkuh tidak mahu berundur dan beralah. Iya, asalnya saya membeli buku ini adalah disebabkan tertarik dengan salah satu monolog oleh Raja Beruk dalam antologi cerpen bertajuk Revolusi;

"Orang revolusi mesti kreatif, berani dan kritis untuk memberi pandangan-pandangan radikal. Jika hanya tukang angguk-angguk, tidak ke mana akhirnya. Bagaimanapun, apa boleh buat. Menteri Beruk adalah orang yang terpandai dalam kalangan rakyatnya. The best among the worst!"

Ini adalah buku kedua yang selesai saya baca selepas buku pertama yang dihadiahkan oleh seorang sahabat bertajuk; Nota Hati Seorang Lelaki, sekitar tahun 2010 barangkali. Penulisan ini bukanlah untuk merungkai kesantaian, keilmiahan ataupun keintipatian [nya] tetapi hanyalah untuk sekadar menyatakan rasa pemberontakan yang tidak difahami dan sukar untuk digambarkan kepada masyarakat mahupun rakan terapat. 

Ia adalah satu perasaan [tidak bergambar] yang tidak dapat dinyatakan secara berbunyi melainkan direnung dan ditadabbur oleh jiwa lara. Sebanyak 15 kisah atau cerpen pendek yang dinukirkan menjadi cabaran kepada pembaca untuk merenung pengalaman sendiri yang selama ini mungkin dianggap tidak penting dalam mencari makna kemurnian hikmah. 

Walaupun luarannya nampak gagah tetapi sebenarnya dalam jiwa penuh dengan kegelisahan yang sentiasa cuba dicari apa sebab dan asbab yang menjauhkan diri daripada keamanan. Iya, ini bukan kegelisahan oleh Ahmad Wahib yang bercita-cita besar mengkoreksi pemahaman dan pemikiran insan tetapi ini hanyalah untuk memurnikan jiwa daripada sepi yang belantara. Sewajarnya ada bunyi-bunyian syahdu tetapi yang didapati hanya kekusutan dan kegusaran.

Seperti dikatakan tadi ini bukan untuk membincangkan apa yang dibincangkan oleh buku itu, cuma mahu menyatakan perasaan pembaca semasa membaca dan selepasnya.

Saya merenung dan terus merenung.....................................

Perlu keluar daripada keadaan yang bergantungan daripada sesama manusia kepada si "Siapa?". Soalnya bagaimana itu perlu diusahakan. Bukan lagi teori sahaja tetapi amalnya. Tulisan ini hanya pemesan kepada si "pembaca" yang masih muda dalam pengertian hikmah. 

Barangkali memang perlu ditembokkan setiap jalan kepada manusia agar penulis sedar akan keluasan langit yang di atas/bawah/kiri/kanan!


Pemakaian purdah di Malaysia yang diimport daripada Arab sudah berubah pemahaman dan penerimaan di Malaysia. 

Di Arab asalnya adalah budaya tetapi di Malaysia sudah menjadi kebiasaan mereka yang berubah memakai purdah sebagai erti jalan mendekat diri dengan Tuhan dan agama.

Apabila timbul kes wanita sekolah agama berpurdah yang bercumbuan dengan teman lelakinya, pertamanya usahlah si masyarakat mencemuh pemakaian purdah dan keduanya wanita berpurdah tidak perlulah terasa seperti teraib sekali.

Ini adalah soal individu yang salah sekiranya kita mengambil contoh atau sample untuk hipotesis bagi golongan yang besar. Kesalahan individu perlulah dibetulkan secara individu dan bukannya secara berkumpulan.

Seperti yang diperkatakan tadi asal kebudayaan daripada Arab ditukarkan kepada pengertian agama di Malaysia telah menyebabkan apabila kegelinciran seseorang itu secara tidak langsung mengheret agamanya sekali.

Juga kepada sesiapa yang mempunyai pandangan skeptip terhadap wanita berpurdah (termasuk saya) tidak perlulah menjadikan kes seperti ini menjadi hipotesis bagi golongan yang besar.

Disebabkan oleh perubahan erti pemakaian purdah saya tidak menolak kemungkinan seseorang yang benar-benar ingin berubah dengan ikhlas memakainya. Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui.

Sudah menjadi lumrah berada di tengah lautan, pasti mempunyai ombak yang bergelora dan mara bahaya. Kadang-kadang dihempap dan dihayutkan, cuma apabila kembali tenang cubalah kembali mengemudi kapal itu ke tujuan perjalanan yang asal.

Sudah tiba masanya kita meneruskan agenda memurnikan masyarakat, bukan lagi menyalahkan dan berprasangka semata-mata. Dengan prasangka buruk terhadap sesuatu tidaklah mengubah manusia menjadi lebih baik. Mara membaiki dan membimbing adalah langkah yang lebih murni dan mulia.


Hamka dalam membahaskan Wihdatul Wujud yang sampai ke alam Malayonesia oleh Hamzah Fanshuri dan anak muridnya; Syamsuddin Sumatrani pada kurun ke-17 bahawa fahaman ini adalah bertentangan dan terlari daripada landasan aqidah Islam (al-Quran, Sunnah dan imam berempat). [1]

Hamka menyimpulkan bahawa Wihdatul Wujud; Iaitu bahawa seluruh yang ada itu hanya satu jua adanya; Dia Allah dan alam ini bayang-bayangnya. Lenyap Allah barulah lenyap alam. [2]

Hamka mempertikaikan kefahaman Wihdatul Wujud ini berdasarkan beberapa antaranya :

1) Berdasarkan kepada sebuah syair al-Hallaj :

رائت ربئ ئوما فئ قلبي (ra aita rabbi yauman fii qalbi)
فقلتو من انت قال انت (faqultu man anta qala anta)

"Pada suatu hari aku lihat Tuhanku dalam hatiku; 
Lalu aku bertanya; "Siapa engkau?" Dia menjawab; "Engkau!" [3]

2) Berdasarkan pangkal perkataan mereka (rujuk kepada faham Wihdatul Wujud) "Al 'aabidu wa ma'buduudu waahidun" (yang menyembah dengan yang disembah adalah satu jua). 

Kemudian secara deduktif (mantik) Hamka cuba membuktikan kefahaman Wihdatul Wujud ini dengan memanjangkan kepada kalimat "La ilaaha illal-lah". Terdapat tingkat yang kedua selepas kalimat ini yakni; "La masyhuuda illal-Lah" (tidak ada yang disaksikan melainkan Allah). Lapisan ketiga; "Laa mahbuuba illal-Lah" (Tidak ada yang dicintai melainkan Allah). Lapisan keempat; "Laa maujuuda illal-Lah" (Tidak ada yang ada, melainkan Allah). Dan lapisan kelima; "Laa anaa illa huwa" (Tidak ada aku, melainkan Dia) [4]. Inilah yang diungkap dengan syair Hallaj di atas.

Ramai tokoh tasawuf yang mempunyai faham seperti ini antaranya Ibnu Arabi, Syeikh Syamsuddin al-Wali, Fariduddin at-Tharr dan Ibnu Tufail. Saya membaca karangan at-Tharr; Mantiq at-Thoir dan Ibnu Tufail; Hayy Ibnu Yaqdzon dan saya berpendapat bahawa bukanlah bermaksud dia ingin menyatakan bahawa dirinya itu Tuhan atau segala-galanya adalah Tuhan. Sebaliknya maksud diri ini adalah bayang-bayang Allah atau apa sahaja adalah Tuhan itu dalam erti kata bahawa lihatlah semua ini; Inilah ciptaan Tuhan, tanpa Tuhan tiadalah kita. Juga memahamilah diri sendiri nescaya akan memahami makna keTuhanan dan kebesarannya. Bahkan diri ini tiada apa-apa melainkan dengan daya upaya Allah.

Sekiranya kita membaca Tasauf Moden atau kajian berkaitan pentakrifan tasawuf oleh Hamka nescaya kita akan faham bahawa Hamka menolak sufi yang berbentuk seperti Wihdatul Wujud dan yang mengasingkan diri daripada masyarakat (politik khususnya). Saya juga menyangkal sufi yang ber-uzlah tetapi saya masih menerima dan cuba mendalami faham Wihdatul Wujud kerana dia memberikan sinar 'nirvana'. Nirvana sememangnya dalam Sikh adalah bersatu dengan Tuhan tetapi yang saya ingin takrifkan bahawa ianya adalah mencapai tahap; duduk bersama dengan Allah tanpa meminta apa-apa (ikhlas).

Duduk itu sendiri bukanlah bermaksud duduk tetapi menggunakan faham pentakwilan yang membawa dalam ruang ruhani ini kembali dan merenungi keEsaan Allah dan kebesaran-Nya. 

Rujukan :

[1] Hamka, Membahas Kemusykilan Agama, Pustaka Dini, (2009), hlm 30.
[2] ibid, hlm 35
[3] ibid, hlm 36
[4] ibid, hlm 35


Ayuh margasatwa,
berkicau bersama Hud-Hud murni,
merentasi tujuh lembah berduri,
kisah mencari Sirmugh;
(mengenal menjiwai hakikat budi).

Pulau Wak-Wak menjadi saksi,
Hayy ibnu Yaqdzon mula berdiri,
syahdu kasih berlari-lari,
berpusing keliling memeluk bumi.

Tujuh langit cahaya bersemi,
berkongsi kasih luhur bakti,
melangit budi demi insani,
menuju cinta suci hakiki.


13/10/2013; 1313 pm.

Sajak ini telah penulis deklamasikan secara bersahaja di Hotel Quality, Shah Alam bersempena dengan Tingkatan 3, Sekolah Politik, anjuran Institut Kajian Dasar pada 13 Oktober 2013 yang lepas. Penulisan ini bermaksud untuk menerangkan serba sedikit intipati dan latar belakang kepada sajak yang penulis tuliskan. 

Secara asasnya penulis menggunakan konsep kalbu dan akal yakni dengan menyatakan perlunya penggabungan kedua-dua ini dalam sanubari manusia. Dengan menggunakan dua karya klasik [turath] sebagai latar belakang penting kepada pembikinan sajak di atas yakni Mantiqu’t-Thair [terjemahan; Musyawarah Burung] hasil karangan Faridu’d-din Attar dan Hayy Ibn Yaqdzon [terjemahan; Hayy bin Yaqdzon, Manusia dalam Asuhan Rusa] hasil karangan Ibnu Tufail.

Dimulakan dengan kisah yang berkaitan dengan kalbu bukanlah bermaksud lebih pentingnya daripada akal dan rangkap seterusnya yang berkaitan dengan akal bukanlah bermaksud kurang pentingnya daripada kalbu tetapi penulis meletakkan asas bahawa perlunya kepada asimilasi kedua-dua sifat ini secara setara dan bersama. Lebihnya salah satu daripada yang satu lagi akan menyebabkan seseorang itu ibarat mempunyai sepasang kaki tetapi sebelah panjang dan sebelah lagi pendek, maka sudah pasti tempang.

Ayuh margasatwa,
berkicau bersama Hud-Hud murni,
merentasi tujuh lembah berduri,
kisah mencari Sirmugh;
(mengenal menjiwai hakikat budi).

Terinspirasi dengan lirik ‘Tanya Sama Itu Hud-Hud’ hasil ciptaan arwah Loloq [Rosli Khamis] membuatkan penulis mula mencari daripada manakah ide ini terhasil. Akhirnya, penulis berjumpa dengan dengan sebuah buku yang diberi nama; Musyawarah Burung. Hasil pembacaan dapatilah penulis bahawa margasatwa merupakan haiwan yang tidak dipelihara, liar dan terbiar. Margasatwa ini telah dikecilkan ertinya kepada kawanan burung [sahaja] yang liar dan terbiar tetapi menisbahkan kepada sekalian manusia [sifat] di muka bumi.

Telah berlaku satu perjumpaan antara burung-burung untuk memilih dalam kalangan mereka siapakah yang paling layak menjadi ‘Raja’. Semasa musyawarah dijalankan terdapat cadangan untuk menjadikan burung Hud-Hud sebagai ‘Raja’. Disebabkan oleh peristiwa dalam al-Quran, surah an-Naml (27:20-44) yang menceritakan dialog antara Hud-Hud dengan Nabi Sulaiman. Hud-Hud pernah menjadi pengutus surat Nabi Sulaiman kepada ratu dari negara Saba’ yang bersama rakyatnya mula-mula menjadi kaum penyembah matahari. Disebabkan keilmuan dan pengalaman yang dipunyai Hud-Hud itulah sekalian burung tadi mahu mengangkatnya menjadi ‘Raja’.

Hud-Hud dengan rendah diri menolak dan menyatakan bahawa dia bukanlah selayaknya menjadi ‘Raja’ tetapi dia mengetahui ‘siapakah’ yang selayaknya menjadi ‘Raja’; Sirmugh. Inilah ciri yang bertepatan dengan manusia berilmu. Insan yang berilmu tidaklah akan berasa bangga dan bongkak apabila mempunyai ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang banyak tetapi merendahkan diri dengan mengakui akan kekurangan diri sendiri. 

Sajak di atas dimulakan dengan; “Ayuh” yang mengajak kepada sekalian burung [manusia] mengembara bersama Hud-Hud atau diertikan mereka yang bijaksana dan berilmu untuk mencari kebenaran. Sebelum mengembara sudah dikhabarkan akan kesusahan dan kepayahan yang bakal dihadapi sepanjang perjalanan mencari Sirmugh agar sekalian burung [manusia] bersedia, itulah dia tujuh lembah perlu direntasi. Perdebatan dan dialog berlaku antara Hud-Hud dengan sekalian burung yang hadir, maka nampaklah mereka yang benar-benar mahu mencari kebenaran dengan yang olok-olok mencari kebenaran [hak dengan batil].

Pengembaraan demi apa, atau mencari apa? Hanyalah demi mencari kebenaran. Bukan mengembara mencari harta, jawatan, pangkat atau segala bentuk kemewahan duniawi tetapi hanya semata-mata duduk mencintainya. Abu Bakr al-Shibli [759-846 M] menyatakan “Tasawuf adalah duduk bersama Allah s.w.t tanpa hasrat”. Itulah hakikat menjiwai budi, mahu mencintai Tuhan tanpa meminta apa-apa. Redha atau rahmat sendiri tidak difikirkan atau diminta lagi melainkan hanya mahu mencintai Allah seikhlas mungkin.

Pulau Wak-Wak menjadi saksi,
Hayy ibnu Yaqdzon mula berdiri,
syahdu kasih berlari-lari,
berpusing keliling memeluk bumi.

Daripada kekuatan kalbu, penulis mengarahkan ke arah kekuatan akal pula. Hayy Ibnu Yaqdzon adalah sebuah karya klasik yang ditulis oleh Ibnu Tufail [1105-1185] atau nama sebenar Muhammad Abu Bakar Muhammad bin Tufail. Karangan ini berkisahkan tentang perjalanan pengetahuan seorang anak manusia [Hayy Ibnu Yaqdzon] yang hidupnya sebatang kara. Selepas dilahirkan, Hayy dihanyutkan oleh ibunya ke laut sehinggalah beliau terdampar di sebuah pulau yang bernama Pulau Wak-Wak.

Di sinilah Hayy mula berdiri. Setibanya peti Hayy sampai di pulau, beliau menangis kerana kelaparan dan telah didengari oleh seekor rusa. Rusa tersebut baru sahaja kematian anaknya yang terjatuh daripada lereng bukit. Tangisan Hayy telah menyebabkan rusa tadi datang kepadanya lalu memberikan susu dan menjaganya.

Kisah Hayy Ibnu Yaqdzon ini telah banyak memberikan inspirasi kepada penulis selepasnya. Sehinggakan dalam buku bertajuk The second Book of the Jungle [1895] karangan Rudyard Kipling dan majalah Tarzan [1912] karangan Edgar Rice Borroughs turut terinspirasi daripada karya klasik Ibnu Tufail ini. Sehinggakan hari ini sudah hampir 900 tahun, penulis juga merupakan salah seorang yang turut terinspirasi.

Di Pulau Wak-Wak inilah Hayy mula berdiri. Kisah hidup beliau terbahagi kepada tujuh fasa dalam hendak mengenali makna akan kehidupan. Hayy tidak pernah mengenali atau diajarkan akan agama tetapi beliau telah menggunakan akalnya untuk mengenal erti penciptaan Tuhan akan Sekalian Alam. Hayy melalui pengalaman dan kekuatan institusi pemikirannya telah cuba melakukan perkara yang dianggapnya sebagai usaha untuk mengenali Tuhan.

Syahdu kasih berlari-lari, berpusing keliling memeluk bumi adalah merupakan perbuatan yang dilakukan oleh Hayy dengan berlari-lari berpusing mengelilingi Pulau Wak-Wak. Hasil daripada pemerhatian terhadap arah putaran benda di langit, Hayy berlari mengikut arah lawan jam [anti-clockwise]. Itulah arah putaran alam semesta. Begitu jugalah arah insan budiman yang menghadapkan jantung di sebelah kiri badannya tawaf mengelilingi kaabah. Di sini, Hayy mengajar penulis betapa peri pentingnya menekuni, mengamati, menghadami dan berani menghadapi sesuatu perkara.

Masyarakat Alam Melayu telah menerima Islam sejak awal kurun ke-13. Tetapi sehingga ke hari ini masih banyak lagi unsur-unsur khurafat yang dijadikan pegangan. Pernah ada satu kisah isteri seorang lelaki ini agak degil, maka dibawanya pergi berjumpa dengan bomoh. Akhirnya si bomoh mengajarkan cara mengubati si isteri dengan memandikan isterinya di bawah kangkang si suami. Si suami mandi dan si isteri duduk di bawah kangkang agar air mandian si suami mengena kepada badan si isteri. 

Kemudian telah dikhabarkan dalam al-Quran perihal berdoa yakni Allah mengatakan bahawa sesungguhnya Aku dekat [rujuk Surah al-Baqarah (2:186)] dan berdoalah nescaya aku kabulkan[rujuk Surah al-Mu’min (40:60)] tetapi masih terdapat masyarakat yang lebih berminat memohon kepada manusia yang telah mati. Pergi sahaja kepada kubur-kubur orang yang dianggap keramat pasti mempunyai bekas atau tanda pemujaan.

Hamka dalam Tafsir al-Azhar menafsirkan ayat (2:186) dengan menyatakan tidak perlu keras-keras atau menjerit memanggil-manggil namaNya kerana sesungguhnya Aku dekat. Juga menyatakan kerana dekatnya Allah dengan manusia, tidak perlulah menggunakan wasilah atau perantara untuk meminta atau berdoa kepadaku. 

Satu ketika semasa penulis mendengar ceramah, seorang ustaz menggunakan analogi; seorang rakyat yang mahu meminta hajat kepada rajanya pastilah dia akan cuba menghubungi orang yang rapat dengan raja seperti laksamana, temenggung, atau bendahara. Pokoknya orang istana. Niatnya tidak lain hanyalah untuk meminta daripada raja tetapi disebabkan raja tidak mengenalinya maka memerlukan orang yang rapat dengan raja agar hajatnya mudah dipenuhi. 

Sedangkan dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa tidak ada daun yang gugur di muka bumi ini tanpa pengetahuanNya [rujuk surah al-An’am (6:59)]. Juga dalam ayat yang sama Allah menyatakan Dia mengetahui apa yang ada di laut dan di bumi. Allah berfirman lagi bahawa amalan samada baik atau buruk yang sebesar zarahpun akan dihitung [rujuk surah al-Zalzalah (99:7-8)] di hadapanNya. Kita lihat bagaimana percanggahan terhadap analogi di atas dengan firman Allah dalam al-Quran. 

Disebabkan itu, penulis menyatakan bahawa selepas Hayy telah melakukan proses kajian, beliau berani untuk mempraktikkan hasil kajiannya. Semua perkara ini masih akan terjadi sekiranya tiada keberanian untuk menegur, menghalang dan mencegah perkara seperti di atas. Hayy juga berani meneruskan kehidupan di Pulau Wak-Wak dengan seorang diri walaupun hanya beliau sahaja memilik sosok tubuh manusia, sedangkan yang lain haiwan dan berpasangan belaka.

Tujuh langit cahaya bersemi,
berkongsi kasih luhur bakti,
melangit budi demi insani,
menuju cinta suci hakiki.

Penulis menggambarkan tujuh langit cahaya bersemi seolah-olah apabila seseorang itu sudah mempunyai banyak ilmu, usahlah mendabik dada tetapi ikutilah resmi padi; berkongsi kasih luhur bakti. Bila berbicara soal tujuh langit, pengkajian astronomi yang dijalankan hari ini walaupun sudah mampu memberikan nama kepada galaksi yang kita duduki; Milky Way tetapi masihlah tidak lepas daripada langit yang pertama. Betapa luasnya ilmu Allah!

Mungkin antara manusia, ada Allah berikan kelebihan kepada seseorang yakni insan yang taat dan kuat beribadat [rujuk Surah al-Kahfi (ayat 62-82)] kepadaNya. Tetapi permasalahan yang berlaku adalah apabila manusia ini tersalah langkah dalam mendukungi nikmat Allah yang diberikan kepadanya itu. Dia tidak lagi merendah diri tetapi membangga diri dengan menyatakan kepada orang ramai bahawa dia mampu melihat dalam mimpi, dia mampu melihat apa yang manusia lain tidak lihat, dan dia mampu menyatakan bahawa apa bakal berlaku masa hadapan tanpa berfikir bahawa boleh menggugat akidah dirinya dan orang lain.

Adakah manusia belajar setinggi mungkin hanya untuk bermegah-megah atau melangit budi demi insani? Penulis ditegur oleh pensyarah yang penulis sangat hormati dan sayangi, beliau menyatakan bahawa; “Ilmu ada sedikit jangan ditunjuk terlalu tinggi. Ilmu kamu sedikit mengapa mahu menulis tentang perkara yang terlalu tinggi. Jangan menjatuhkan martabat ilmu dan permasalahan ramai orang pada hari ini adalah dia meletakkan ilmu sama rendah dengan dirinya. Sila hormat kepada ilmu dan jangan menjadi sombong apabila ada ilmu yang sedikit.”

Sedari awal bicara perihal Hud-Hud, kemudian Hayy Ibnu Yaqdzon, dan kepada menghormati ilmu, tidak lain hanya untuk satu tujuan. Perjalanan Hud-Hud merentasi tujuh lembah yang penuh dengan dugaan dan akhirnya ketemu Sirmugh. Kemudian kisah perjuangan hidup dan pemikiran Hayy yang akhirnya menyatu dengan Dzat Allah. Tidak lain hanyalah disemaikan baktinya kepada masyarakat dan demi menuju cinta suci hakiki; cinta kepada Sang Pencipta.

Fahamlah kita bahawa, kalbu dan akal merupakan unsur penting dalam menjadikan manusia itu insan budiman. Jika terlebih kalbu dan kurangnya akal, manusia akan cenderung untuk mengatakan dialah kasyaf, dialah yang mampu melihat apa yang tidak mampu dilihat oleh manusia lain, dia jugalah mampu mengetahui apa yang bakal berlaku di masa hadapan tanpa segan silu sehingga dia sahaja yang benar dan selain daripadanya adalah sesat. Manakala jika terlebih akal maka dialah yang lebih arif tentang alam semesta ini, tiadalah pencipta, qadim belaka, diri ini sahaja yang paling berilmu dan alim melebihi daripada yang lain.

Mendidik anak bukanlah memasang hajat supaya satu hari nanti sekiranya diri ini sudah tua maka anak-anak boleh menjagai atau selepas mati nanti anak memberikan pahala amalan pula. Mendidik kerana sesuatu tiadalah bezanya dengan orang yang membodek. Pembodek hanya akan membodek orang yang mampu memberikan manfaat kepadanya dan sekiranya dicuba-cuba untuk mendapatkan manfaat itu tetapi tidak dapat maka ditinggal dan dikejilah akan orang itu. Begitu juga dengan si pengamal agama yang kuat beribadat tetapi mengharapkan sesuatu pangkat dan darjat daripada Allah. Maka, yang bakal didapati hanya pangkat dan darjat sahaja tetapi cinta hakiki gagal sama sekali.


Ads 468x60px

Featured Posts