Saya ditanyakan satu soalan oleh seorang sahabat yang saya hormati, saya cuba mengupasnya dengan bersahaja supaya mudah difahami oleh pembaca.

Boleh tolong huraikan tentang syura dan demokrasi? Ada yang kata,"Siapa jamin keputusan syura orang mana-mana entah yang dibuat lebih baik dari suara majoriti rakyat?" Mohon penjelasan, fikiran sangat bercelaru.

Pertamanya saya ucapkan terima kasih kerana sudi bertanya kepada diri yang terlalu faqir ini. Secara peribadi memang tiada jaminan keputusan syura yang dibuat oleh 'orang mana-mana entah' keputusannya lebih baik daripada suara majoriti rakyat. Tiada siapa yang mampu memberikan jaminan kerana jika 'orang mana-mana entah' itu tidak diketahui nilai ilmu yang ada padanya. Bersyura ini wajib orang yang berilmu dalam menentukan perkara yang mungkin mendatangkan maslahat atau mudarat kepada masyarakat.

Dalam konteks sesebuah negara, pasti terdapat pelbagai golongan rakyat dalam negara itu seperti sekular, sosialis, liberal, plural, islamik, dan banyak lagi. Apabila dalam sesuatu perkara yang kita sepakati seperti keadilan, ketelusan, kesamarataan maka bolehlah kita mendengar suara rakyat secara total kerana majoriti (semua golongan ini) akan bersatu tetapi timbul masalah apabila sampai kepada menjalankan perintah Allah yakni negara yang menjalankan dasar Islam.

Abraham Lincorn mentakrifkan demokrasi sebagai, "it is a government of the people, by the people and for the people," dan Daniel Webster pula mentakrifkan, "the people government made for the people, made by the people and answerable to the people".

Saya percaya pentadbiran sesebuah negara bukan hanya untuk rakyat tetapi adalah untuk Allah mutlaknya. Maka apabila kita hendak mentadbir sesebuah negara berlandaskan syariat Allah ianya memerlukan syura kerana dalam usaha ini pasti akan mendapat tentangan daripada golongan yang bukan Islamik; sekular, sosialis, liberal, plural, islamik, dan banyak lagi.

Saidina Ali pernah bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah! Jika kami menemui perkara yang tidak mempunyai sesuatu perintah tertentu daripada tuan, untuk melakukannya atau pun tidak, apakah yang tuan katakan berkenaan kami ini?" Baginda bersabda, "Apabila berlaku perkara itu, mintalah pandangan (bermesyuarat) dengan mereka yang mempunyai fahaman yang baik terhadap agama dan ahli ibadat yang kuat, dan janganlah membuat keputusan di atas pendapat individu" HR at-Tabarani, Majmi' al Zawaid.

Dalam sistem demokrasi kontemperori sudah wujud majlis syura yakni dewan parlimen. Di mana, wakil daripada setiap parlimen yang dipilih oleh rakyat sendiri akan hadir dengan membawa kata-kata (suara) rakyat ke dalam dewan parlimen. Wakil rakyat ini, apabila berhujah mesti memikirkan nasib rakyat bukan nasib atau kepentingan diri sendiri.

Maka di sini timbul pula tugas untuk memilih pemimpin yang akan menjadi wakil dan pembawa panji suara rakyak untuk diperdendangkan. Olehyangdemikian, wajibnya kita memilih pemimpin yang benar-benar berilmu, jujur, amanah dalam melaksanakan kerjanya. Juga orang yang faqih dalam bidang urusan undang-undang dan kerakyatan.

Ini boleh dilihat di negara Mesir yang berjaya menumbangkan kerajaan Hosni Mubarak, kejatuhan ini bukan kerana inginkan negara Islam tetapi kerana terlalu benci kepada Hosni Mubarak. Jadi apabila Morsi (Ikhwan al-Muslimin) naik dan mahu melaksanakan dasar Islam sedikit demi sedikit ianya akan ditentang oleh rakyat yang tidak menyokong Islam. Di sini peranan yang memerlukan majlis syura (parlimen).

Majlis syura ini akan mengambilkira semua hal-hal rakyat yang datang daripada pelbagai golongan dan kemudian membuat keputusan. Kemudian menerangkan mengapa dasar seperti itu dilaksanakan. Itu sewajarnya, supaya tidak berlaku huru hara dan ketidakfahaman dalam kalangan rakyat.

Dalam sebuah pasukan bola sepak, perlu mempunyai seorang ketua pasukan yang memimpin pasukannya. Ketua pasukan itu tidak boleh suka-suka marah anak pasukannya dan begitu juga sebaliknya. Tetapi ketua pasukan itu juga pasti akan melakukan kesilapan maka wajib anak pasukan itu menegur dan ‘memarahinya’. Ketua pasukan tidak boleh main berseorangan tanpa anak pasukan yang lain kerana faktor bilangan dan kudratnya. Begitu juga dengan anak pasukan, mesti mempunyai ketua. Jika tiada ketua pasukan itu akan menjadi tidak tentu arah dengan pelbagai kepala yang ingin memimpinnya mengikut cara tersendiri.

Itulah yang berlaku dalam sesebuah negara, jika rakyat berkuasa melebihi penguasa maka ianya akan membawa negara kepada arah yang tidak tentu arah dengan mengikut fahaman sekular, plural, liberal, sosialis masing-masing. Tetapi dengan berpandukan syura (orang yang benar-benar berilmu bukan entah siapa) insyaAllah akan mendatangkan berkat kepada manusia. Ini sudah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran dalam surah al-Syura ayat 38:

Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Terakhir sekali saya percaya suara rakyat sangat berguna apabila majlis syura (parlimen) tidak lagi didiami oleh orang yang tidak berilmu dan berkepentingan sendiri! Maka, tika ini janganlah anda berdiam diri dan taat patuh membuta tuli melainkan berjuang untuk menegakkan keadilan dan hak rakyat.

Wallahualam.




Lebih seratus tahun dahulu isu keperluan pendidikan tinggi telah dibincangkan oleh ilmuan di Malaysia yang ketika itu masih lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Mesyuarat Majlis Raja-raja pada tahun 1903 pernah membincangkan kepentingan ilmu ditanam menjadi darah daging anak bangsa. Pada tahun 1917, Za’ba telah membangkitkan isu ini dalam akhbar Lembaga Melayu. Begitu juga seorang tokoh pendidik tanah air, A. Kadir Adabi yang telah menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan Kelantan pada tahun 1923. Semua ini adalah usaha untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan memberikan sumbangan kepada tanah air tercinta.

Setengah abad selepas semboyan perjuangan pendidikan tinggi dibunyikan, sinar keilmuan menjadi pasakan dalam jiwa sanubari masyarakat seakan semakin mampu dimahkotai. Empat tahun selepas kemerdekaan yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman iaitu pada tahun 1961, institusi pendidikan tinggi negara yang pertama di Malaysia (masih Tanah Melayu ketika itu) telah berjaya ditubuhkan. Universiti Malaya (1961), Universiti Sains Malaysia (1969), Kolej Tunku Abdul Rahman (1969) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970) adalah merupakan antara institusi pendidikan tinggi negara yang terawal berjaya ditubuhkan.

Dengan tertubuhnya institusi pendidikan tinggi negara maka diharapkan akan lahirlah individu-individu yang mampu membentuk sebuah masyarakat yang bertunjangkan ilmu pengetahuan. Namun, setelah mencapai usia 52 tahun, institusi pendidikan tinggi negara tampaknya kurang subur dalam melahirkan ilmuan yang berani menyuarakan pandangan supaya mampu mengubah paradigma masyarakat ke arah bertunjangkan ilmu pengetahuan. Sebaliknya kejayaan yang paling besar adalah melahirkan ilmuan dan masyarakat yang takutkan perubahan, taat membabi-buta, bersifat perkauman yang tinggi, dan kehakisan sifat mencintai ilmu.

Penulis cuba menggunakan susunan ayat yang sesuai dengan golongan akedamik supaya diri ini tidak terlebih bicara dan terkasar bahasa. Niat di hati; yang tua dihormati kerana kematangannya dalam berfikir menegakkan kebenaran dan yang muda disayangi kerana keikhlasannya dalam berjuang membenamkan kebatilan. Penulis cuba memberi tasawwur (gambaran) secara jelas terhadap fenomena kelesuan golongan ini. Hakikat fenomena kelesuan yang melanda akedamia perlu diambil serius kerana golongan inilah yang bertindak sebagai pendidik, guru dan idola kepada mahasiswa dan anak muda di sesebuah negara sewajarnya. Artikel ini memfokuskan kepada sosok tubuh yang bergelar pensyarah di institusi pengajian tinggi dalam negara supaya penerangan dan penjelasan dapat dilakukan dengan lebih ilmiah dan jelas serta tidak tersimpang daripada landasan ilmu.


Prof Aziz Bari berkata, “Mereka yang pergi ke Amsterdam atau Geneva untuk dianugerahkan pingat emas, menginap di hotel lima bintang. Selepas itu, mereka pergi ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan lanjutan (kontrak mereka) untuk menjadi naib canselor atau timbalan naib canselor. Ini yang berlaku”. Situasi yang sama berlaku dalam kalangan akedamia yang berjawatan kontrak sebagai pengetua kolej kediaman. Saling berlumba-lumba untuk mengipas timbalan naib canselor universiti supaya dikekalkan jawatan yang disandang. Autoriti yang pada asalnya dicipta untuk membimbing mahasiswa supaya terkehadapan dalam hal-hal kemasyarakatan kini tidak lagi digunakan sebaik mungkin sebaliknya digunakan untuk membawa kroni-kroni bersatu di bawah bumbung kolej.

Memberikan projek kepada saudara mara terdekat dan mendahulukan pembayaran saudara mara berbanding projek yang telah diselesaikan sebelumnya adalah sesuatu perbuatan yang tidak berintegriti. Sanggup mendengar arahan timbalan naib canselor supaya membuang pelajar yang menunjukkan pendirian yang berbeza dengan pihak universiti daripada kolej kediaman demi menjaga kepentingan jawatan sungguh memalukan. Integriti seorang akedamia telah menjadi buah mulut mahasiswa, adakah mereka mampu menjadi contoh kepada mahasiswa dan anak muda walaupun mempunyai kelulusan ijazah falsafah kedoktoran undang-undang sekalipun? Isu yang dibangkitkan oleh penulis adalah isu dalaman dan merupakan realiti tingkahtanduk segelintir akedamia negara ini.

Seorang kakitangan kerajaan dilarang untuk melakukan kerja sambilan atau perniagaan persendirian dalam waktu bekerja. Hari ini terdapat akedamia yang terlalu inginkan kekayaan sehingga mereka sanggup menggunakan waktu bekerja untuk urusan perniagaan persendirian yang sepatutnya mereka penuhi dengan penyelidikan dan tugasan rasmi sebagai pensyarah. Ketika mahasiswa ingin membuat temujanji dengannya maka beliau berjanji untuk berjumpa tetapi tiba pada waktu temujanji rupanya beliau tiada dan minta tunda pada waktu lain atas dasar ada urusan di luar. Sedangkan keutamaan ketika itu adalah tugasan rasminya bukan berjumpa Dato’ atau Tan Sri untuk mendapatkan projek. Apabila mahasiswa itu gagal melaksanakan tugasan dengan baik maka dikatakan mahasiswa itu pemalas dan sebagainya. Walhal, akedamia itu sendiri sibuk dengan urusan perniagaannya.

Pendoktrinisasian terhadap mahasiswa yang mengatakan perlu bersyukur dengan apa yang kerajaan telah sediakan tanpa membincangkan konteks hak mahasiswa dan rakyat dengan lebih meluas dan terperinci adalah salah satu pembunuhan kosmologi pemikiran mahasiswa. Penulis ketika menuntut di peringkat ijazah pertama dan pernah menjadi timbalan presiden kolej kediaman selalu disuapkan dengan kata-kata “Jangan menggigit jari tangan yang menyuap kita makan”. Penulis yang juga merupakan pemegang Biasiswa Kementerian Belia dan Sukan ketika itu pernah dinasihatkan supaya jangan melawan kerajaan kerana anda adalah anak kerajaan yang bermaksud dibiayai oleh kerajaan. Kosmologi pemikiran akedamia seperti ini telah membuatkan mahasiswa takut untuk menyuarakan suara mereka. Mahasiswa tidak mampu mencari akedamia yang boleh dijadikan contoh untuk terkehadapan dalam isu kemanusiaan yang melibatkan pentadbiran negara.

Penulis dengan rendah diri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beberapa akedamia yang desawarsa ini; Prof. Madya Dr. Asri , Dr. Maslee Maleek, Prof. Madya Dr. Abu Hassan, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, dan beberapa lagi yang sudah berani membicarakan soal kosmologi pemikiran mahasiswa secara terbuka dan ilmiah. Sedikit sebanyak hujah-hujah mereka yang bertaraf ‘Dr’ ini boleh dijadikan senjata buat mahasiswa untuk bangkit memperjuangkan kebebasan akedamik. Walaupun begitu, penulis mendapati bilangan akedamia yang mahu berjuang bersama rakyat ini perlu berkembang, tidak boleh statik dan selesa dengan jumlah yang sedia ada. Mahasiswa memerlukan sokongan moral yang lebih kuat daripada golongan akedamia bukan bermakna tidak mahu berusaha sendiri tetapi ini adalah tanggungjawab bersama dalam membentuk sebuah tamadun yang masyarakatnya cintakan ilmu dan bersih daripada anasir-anasir korupsi.

Kehebatan sesebuah tamadun diukur berdasarkan buku-buku (ilmu) hasil karangan ilmuwan dalam tamadun tersebut. Kosmologi pemikiran ilmuwan dalam tamadun itu akan membentuk masyarakat ke arah pembaharuan dari segi kosmologi pemikiran itu sendiri dan membentuk tingkahlaku ke arah yang lebih baik. Mahasiswa hari ini memerlukan akedamia yang mahu membawa negara kepada perubahan ke arah yang lebih baik, bukan akedamia yang sibuk hendak membuat jurnal berwasit supaya boleh mendapat jawatan pengetua kolej, ketua jabatan, timbalan naib canselor, naib canselor, Profesor Madya, Profesor, atau Profesor Emeritus. Berdasarkan jawatan yang diperolehi maka akedamia boleh mendapatkan wang yang banyak apabila dipanggil memberikan ceramah tentang ilmu yang ada pada dirinya tetapi sebaliknya akedamia itulah yang perlu berkorban dengan menyumbangkan tenaga dan ilmunya tanpa mengharapkan pangkat, wang atau balasan oleh masyarakat atau rakyat. Menjadi akedamia ini hidupnya adalah untuk masyarakat bukan kepentingan peribadi, maka berbaktilah kepada masyarakat.

Penulis mengunjurkan kepada diri sendiri dan golongan akedamia supaya membebaskan diri daripada belenggu rantaian kelesuan yang menjaga periuk nasi sendiri tetapi membiarkan masyarakat dalam negara ini mengalami kemarau yang membutuhkan ilmu. Suatu masa dahulu penulis dimomokkan dengan istilah mahasiswa lesu, hari ini secara jujurnya prestasi akedamia dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan masih diperingkat memerlukan rawatan segera kerana tidak ramai yang berani tampil ke hadapan bersuara memberikan pandangan tentang isu-isu semasa. Penulis yakin setiap manusia itu mempunyai tahap keupayaannya yang tersendiri tetapi penulis tinggalkan satu persoalan kepada sosok tubuh bergelar akedamia, bertanya kepada diri sendiri di mana sumbangan anda terhadap masyarakat? Semoga dengan persoalan itu mampu mengubah negara Malaysia menjadi negara yang lebih baik dan kosmologi pemikiran rakyatnya mampu mencipta sebuah tamadun yang hebat.









Sangkakala berderu jiwaku tergetar,
hancur luruh dimamah lava,
merah pekat membara mengarangi alam.
kala Israfil mengaluni lunak siulan.
Masa; memandang ke belakang,
saat manusia mula berbondong ke dataran,
memori dilayar di hadapan mata,
Sesaat-pun tidak terkurang atau terlebih.
kiri menghulur disorok, dibebel,
kanan menghulur dicanang, diwarta.
Dihempapkan gunung buat yang;
angkuh, ingkar, dan loba kepada kehidupan pertama.
Sinar kurnia bercahaya buat yang;
luhur, zuhud, dan cintakan kehidupan kedua.
Silang kehidupan dacing pembalasan.
Tersentak; lamunan, angan, dan khayalanku;
bicara hati (monolog) insan seorang lelaki,
jujur, luhur lalu berbisik manja, jiwa dan akalnya;
kiri, kanan, gunung dan cahaya?
Tatkala berdiri menghadap dacing pembalasan.

Mudarristarmizi
20/1/2013
4.11 am.



Dalam cerita Sang Pencerah terdapat satu peristiwa Kyai Ahmad Dahlan (Muhammad Darwis asalnya) mengumpulkan kyai-kyai di sekitar Yogyakarta untuk membetulkan arah kiblat masjid yang rata-ratanya menghala ke arah Barat dan berdasarkan kiraan ianya salah.

Semasa Kyai Ahmad Dahlan menunjukkan atlas atau peta dunia yang dilukis di atas sebuah kertas maka beliau dikatakan sesat kerana peta itu dibuat oleh orang bukan Islam dan sesiapa yang menggunakan alatan dicipta oleh orang bukan Islam maka orang itu juga sudah terkeluar daripada Islam.


Dalam peristiwa ini terdapat dua intipati yang menarik untuk diketengahkan iaitu yang pertama peta yang dibuat itu memang dibuat oleh orang bukan Islam tetapi asal ilmu itu dijumpai oleh Al-Biruni iaitu ilmuwan Islam yang terkenal dengan ilmu falak dan Al-Biruni jugalah orang pertama yang mencipta glob dunia.

Maka asal ilmu ini bukan daripada bukan Islam tetapi daripada Islam-lah lahirnya. Cuma ilmuwan Eropah yang tidak jujur ketika itu mengatakan itu adalah ilmu milik mereka. Sedangkan mereka hanyalah menyambung legasi ilmuwan Islam. Di mana jika tidak wujud tamadun Islam maka tidak wujudlah pencapaian mereka.

Keduanya dalam tesis PhD Prof. Madya Dr Baharuddin Zainal, ada mengatakan para ahli astronomi atau falak menekankan bahawa kaedah hitungan falak yang digunakan adalah salah satu langkah ijtihad yang boleh diamalkan, sesuai dengan justifikasi hukum syarak.

Berbalik kepada peristiwa di atas semasa diajukan soalan oleh Penghulu Besar Masjid jika arah kiblat sekarang salah apakah yang menyebabkan kita percaya kepada alat Ahmad Dahlan ini. Kyai Ahmad Dahlan menjawab kebenaran itu hanya pada Allah dan kita hanya berusaha.

Berdasarkan dialog ini dapatilah kita bahawasanya kaedah matematik yang digunakan dalam ilmu falak salah satu daripada ijtihad yang boleh digunakan untuk mencapai kebenaran. Bermaksud manusia berusaha ke arah kebenaran menggunakan matematik dan sains sebagai pengantara. Ini pengamiran ilmu!



Inilah yang berada dalam pemikiranku sejak berlakunya penentangan terhadap Mursi di Mesir. Ramai yang mengutuk tindakan Wan Ji yang sememangnya cara beliau agak 'celupar' berbanding 'orang muda' yang lain. Aku khuatir tindakan Mursi akan mendatangkan kesan yang buruk kepada gerakan Islam di negara yang lain. Mungkin tindakan Mursi melakukan perkara begitu adalah sesuai di Mesir namum Mursi perlu memikirkan impak/implikasi keputusannya terhadap gerakan Islam di negara lain.

Khususnya Malaysia yang bakal berlaku pilihanraya umum tidak lama lagi. Di Malaysia kita membenci sekularisme kerana telah merosakkan rakyat kononnya. Pernah atau tidak kita menyelusuri sejarah berlakunya sekularisme di Eropah yang berlaku pada kurun ke-18 atau ke-19. Ini adalah disebabkan peristiwa Galileo yang dipanggil oleh Mahkamah Gereja sebanyak 2 kali dan diminta untuk mengaku bersalah atau dibunuh kerana hasil kajian sainsnya bertentangan dengan Kitab Suci. Begitu juga Bruno yang dibakar hidup-hidup kerana mengeluarkan hasil kajian yang dianggap bertentangan dengan Kitab Suci.

Maka sainstis di Barat berusaha untuk memisahkan kuasa Gereja daripada mendominasi sains. Akhirnya usaha mereka berjaya apabila Gereja tidak masuk campur urusan sainstis dan begitu juga sainstis tidak masuk campur urusan Gereja. Ketika ini berlakunya revolusi besar dalam ilmu sains di Eropah. Samada dapatan kajian mereka selari atau bertentangan dengan Kitab Suci tidak lagi diapikkan. Peristiwa ini penting dan sesuai untuk masyarat di Eropah pada ketika itu supaya ilmu sains dapat dikaji dengan lebih meluas dan mendalam. Persoalannya mengapa masyarakat timur khususnya juga mengambil sekularisme ini sebagai model untuk dimasukkan ke dalam sistem di negara mereka?

Politik di Mesir mungkin tidak sama dengan situasi politik di Malaysia. Mursi sepatutnya memikirkan implikasi yang bakal dihadapi oleh negara-negara yang menuju ke arah revolusi pemerintahan secara demokrasi 'sihat' seperti di Malaysia. Cuma malangnya beberapa 'orang muda' terlalu obses dengan Mursi memarahi dan memaki hamun Wan Ji 'celupar'. Dikatakan 'fikih tidak semestinya fakih', 'bodoh', 'Ustaz Liberal sesat', 'sila beradab!'. Ungkapan ini semua menunjukkan mereka sendiri yang tidak beradab! Paku dulang paku sepih, kata orang dia yang lebih. Penulisan ini bukan kerana ingin menyokong tindakan Wan Ji 'celupar' tetapi ini adalah hakikat. Kebenaran itu memang pahit.

Resolusi; Pas khususnya perlu mencari jalan agar tidak melakukan perkara yang sama sepertimana yang dilakukan oleh Mursi agar mereka dianggap relevan oleh orang bukan Islam dan supaya UMNO dan BN tidak menggunakan contoh Mursi sebagai modal untuk menjatuhkan Pas. 'Orang muda' usahlah terlalu cepat melatah, dibuatnya poster dan kutukan kepada Wan Ji. Begitu juga Wan Ji beliau juga perlu memikirkan sensitiviti 'orang muda' khususnya untuk memberikan pandangan. Jika beliau tidak bersetuju mungkin 'keceluparannya' perlu dikurangkan sedikit kerana beliau juga bercakap soal persepsi kepada Mursi. Maka beliau perlu juga pandai dalam menguruskan persepsi 'orang muda' yang menganggap Mursi 'dewa' mereka. Jika Wan Ji juga gagal memainkan peranan tersebut maka tidak guna beliau bercakap soal persepsi.

Di bawah adalah surat Wan Ji :

 POLITIK ISLAM MESIR – MALAYSIA

“Itu Ikhwan sudah menang memang diktator. Dulu cakap, mahu buat demokrasi”, satu ungkapan dari seorang rakan berbangsa cina dan tidak beragama Islam yang menyebabkan aku berfikir panjang. Ia diungkapkan selepas berlaku kebangkitan rakyat mesir buat kali kedua yang tidak setuju dengan deklarasi mursi, Presiden Mesir dari mazhab Ikhwan muslimun.

Aku berusaha mencari
 
maklumat lagi. Membaca dan bertanya kepada rakan-rakan yang selalu memberikan analisa yang tepat. Kalau tidak tepat pun, ia hampir-hampir tepat. Berbagai ungkapan mereka. Cuma ayat yang paling terkesan padaku, “habisla PAS. PAS agung-agungkan sangat ikhwan. Kononnya tarbiah ikhwan. Demokrasi sebelum memerintah, tapi diktator selepas memerintah. Kalau Ikhwan boleh buat, takkan anak buah ikhwan (iaitu) PAS tak boleh buat?”.

Aku mula berfikir, bahawa kekuatan PAS kini, mendapat kepercayaan penuh dari non Muslim yang melihat PAS berdemokrasi. Cuba bayangkan, jika kepercayaan ini hilang terhadap PAS? Otakku bergerak kuat memikirkan hal ini.

Aku mula memikirkan bahawa penolakan terhadap sesuatu perkara bermula dari prejudis. Perkara ini diakui sendiri oleh al-Quran. Apabila orang mula prejudis dengan PAS, ini memberi gambaran negatif terhadap PAS dalam PRU akan datang. Aku dapati, followers FB aku yang terdiri rakan-rakan yang tidak beragama islam juga ramai. Rata-rata mereka selalu bertanyakan aku tentang PAS, walaupun aku tidak mempunyai sebarang jawatan dalam PAS.
 

Aku tidak mewakili PAS, tetapi persepsi mereka melihat aku seperti PAS juga menjadi masalah bagi diri aku. Dengan keadaan begini, aku mula bimbang jika mereka prejudis dengan PAS ekoran kejadian di Mesir ini. makanya aku perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan dari terlahirnya prejudis buruk ini. aku mula mengutuk terhadap tindakan mursi yang dilihat seperti diktator tersebut.
 

Aku berfikir, memang tindakan aku itu akan mencalarkan peribadi aku di mata-mata pro mursi, tetapi ia berjaya menyelamatkan persepsi rakan-rakanku dari kalangan non Muslim yang sedang berjinak-jinak dengan PAS. Padaku, orang Malaysia yang pro mursi, tidak akan meninggalkan PAS, tetapi rakan-rakanku dari non Muslim, memungkinkan akan tidak menyokong PAS di masa akan datang. Aku bertindak, melakukan mudharat kecil untuk mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Juga melakukan tindakan yang boleh hilangkan mudharat yang pasti dengan melakukan tindakan yang melahirkan mudharat yang zann sahaja.

PERSEPSI

Umar bin al-Khattab pernah meminta izin dari Nabi untuk membunuh Abdullah bin Ubai ekoran kejahatannya. Tetapi, ia tidak diizinkan oleh Nabi SAW kerana bimbang persepsi umum menyatakan bahawa muhammad membunuh sahabatnya sendiri. Ini gambaran bahawa Nabi SAW amat pentingkan persepsi.
 

Isu politik, adalah isu persepsi. Meninggalkan persepsi, akan menatijahkan keburukan dalam politik. Itulah hakikat politik sejak dahulu, lebih-lebih lagi di era langit terbuka ini.
 

Tindakan Mursi itu, walaupun dilihat benar oleh sebilangan manusia, tetapi sedikit sebanyak, ia memberikan persepsi yang cukup bahaya. Ia bukan kepada Ikhwan sahaja, tetapi terhadap gerakan-gerakan Islam di negara lain yang menjadikan ikhwan sebagai ummu al-Qura dan juga rujukan utama dalam gerakan mereka. Gerakan Islam di dunia yang menjadikan ikhwan sebagai kiblat tarbiah, sudah pasti akan terpalit dengan kesilapan ikhwan.
 

Apabila mursi ambil sikap “seperti diktator”, walhal sebelum naiknya sebagai presiden, ikhwan banyak kali ungkap demokrasi, ia akan memberi persepsi yang buruk kepada gerakan Islam lain yang menggunakan demokrasi yang mereka belum memerintah. PAS di Malaysia, sudah pasti akan terpalit sama dalam persepsi ini jika gagal diurus dengan baik.

REVOLUSI

Sekadar pembacaan aku terhadap politik mesir. Apa yang aku tahu, asal revolusi ini berlaku ekoran dari sebilangan besar rakyat mesir yang tidak mengundi pada tahun 2010. Dikatakan, hanya 40 juta dari 80 juta rakyat mesir yang keluar mengundi, sedangkan yang berbaki tidak keluar mengundi. Dikatakan, sikap yang diambil oleh rakyat mesir ketika itu adalah disebabkan mereka meluat dengan politik.
 

Tindakan itu dilihat serius oleh seorang tokoh ternama juga di mesir bernama muhammad al-Baradie. Beliau dikenali sebagai orang yang mendapat anugerah nobel keamanan. Keadaan di mesir itu, menyebabkan beliau telah melakukan kritikan terhadap pemerintahan Mubarak dengan bermula dari facebook sahaja, sehinggakan follower Fbnya begitu ramai dan mula membicarakan tentang keburukan pemerintahan Mubarak sehinggakan membawa ke medan tahrir.

Keadaan bertambah semakin hangat, apabila berlaku satu kes terbunuhnya seorang budak lelaki bernama Khalid Said di iskandariah. Dikatakan bahawa beliau terbunuh dalam tahanan polis ekoran tuduhan dadah. Perkara ini dihangatkan dalam FB oleh seorang pemuda yang mempunyai pendidikan agak tinggi di Mesir bernama Wael al-Ghanaim.
 

Semasa mereka berhimpun di tahrir, mereka menuntut mubarak menyelesaikan empat perkara dasar, iaitu kemiskinan ketara, rasuah yang bermaharaja lela, pengangguran yang semakin teruk dan menyelesaikan maslaah inflasi dan gaji rendah di kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Tuntutan mereka diabaikan oleh mubarak.

Apabila mubarak tidak layan tuntutan tersebut, ia mengundang kemarahan sehinggakan kedengaran khabar angin mengatakan bahawa mubarak bakal meletakkan jawatannya, lalu mahu digantikan dengan anak lelaki mubarak untuk memegang jawatan presiden. Berita angin ini mengundang marah di kalangan rakyat yang sudah sedia berhimpun di medan tahrir sehinggalah terjadinya revolusi.

IKHWAN

Seperti yang diketahui umum, ikhwan tidak mempunyai keputusan semasa revolusi sedang berlaku. Semasa mubarak belum lagi jatuh, ikhwan tidak menghalang ahli-ahlinya untuk terlibat dengan revolusi, tetapi ikhwan sendiri menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dengan revolusi. Di pihak salafi pula, mereka agak ketara kerana mereka mengharamkan terus keterlibatan dalam revolusi terbabit.

Namun begitu, selepas kejatuhan mubarak, ikhwan pandai mengambil kesempatan, sehinggakan banyak kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihanraya selepas kejatuhan mubarak. Disamping ikhwan yang tidak terlibat dengan revolusi, geng salafi yang asalnya mengharamkan revolusi juga menjadi teman akrab ikhwan selepas kejayaan Ikhwan dalam pilihanraya.

DEKLARASI

Sebelum berlaku deklarasi, kita mendengar kenyataan erdogan yang mencadangkan sekular sebagai pemerintahan di mesir, tetapi ia ditolak oleh ikhwan. Ternyata ikhwan hendak membuat pemerintahan mereka sendiri. Tanpa berbincang dengan rakan-rakan yang sama-sama menjatuhkan mubarak, seperti al-Baradei mereka membuat deklarasi mereka dengan mencadangkan Islam sebagai asas negara, disamping menjadikan al-Azhar sebagai rujukan dalam perkara syariat di mesir. Ia ditambah lagi dengan satu dekri yang seiras-iras dengan dekri suharto pada tahun 1966 yang meletakkan kuasa presiden bersifat mutlak, sehingga tidak boleh digugat oleh sesiapa pun, hatta mahkamah.
 

Tidak dinafikan, memang tujuan menetapkan kuasa presiden bersifat mutlak itu untuk menghalang tindakan sabotaj dari pihak mubarak, tetapi tindakan mereka mengenepikan al-Baradei juga merupakan satu kesan yang agak buruk yang bakal berlaku. Makanya, geng al-Baradie ini bangkit untuk melawan mursi, dan diambil kesempatan oleh geng-geng pro mubarak seperti amru musa.

PAS 1999

Keadaan ini, hampir sama seperti apa yang berlaku pada PAS pada tahun 1999 yang lalu. Ketika itu, PAS berjaya menguasai terengganu dalam Pilihanraya dengan isu Anwar Ibrahim, iaitu apabila beliau dipecat dari jawatan Timbalan PM dan beliau telah diaibkan, dipukul dan dipenjarakan.
 

Apabila PAS mendapat tampuk pemerintahan, PAS telah melakukan kempen negara Islam, juga menggubal rang undang-undang hudud terengganu, tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan Barisan Alternatif (BA), seperti PKR dan DAP. Keadaan itu melahirkan kemarahan dari DAP sehinggakan DAP telah keluar dari BA. Kesan dari keadaan buruk itu, menyebabkan PAS dan PKR kalah teruk dalam PRU tahun 2004.
 

KEBIMBANGAN

Kalau kita melihat seni politik Rasulullah SAW, kita akan dapati sejurus sahaja Nabi SAW mengambil tampuk pemerintahan Madinah, antara tindakan yang Nabi SAW ambil adalah mengurangkan musuh, disamping meramaikan kawan. Ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW melakukan perjanjian persahabatan dengan kaum yahudi di Madinah dengan menubuhkan satu perjanjian bersama bernama piagam madinah. Jika diperhatikan kepada kandungan piagam, kita akan dapati bagaimana unsur persahabatan itu wujud, seperti saling bantu membantu dalam memajukan madinah, penjagaan nyawa antara satu dengan yang lain dan sebagainya.

Seni politik ini diamalkan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan di awal beliau memerintah di Kelantan, iaitu dengan tidak meramaikan musuh, tetapi meramaikan kawan. Keadaan ini berbeda dengan terengganu di kala pemerintahan PAS. Ini kerana, pihak JIM dan ABIM yang mempunyai fikrah islam pun boleh dianggap musuh, tetapi keadaan ini tidak berlaku dalam pemerintahan PAS di Kelantan. Makanya tidak hairan, walaupun kelantan pemerintahan PAS penuh dengan berbagai-bagai kelemahan, tetapi berjaya mempertahankan kuasa lebih 20 tahun.

Keadaan ini tidak sama berlaku pada pemerintahan Ikhwan di mesir yang dipimpinan oleh Mursi. Ini kerana, tindakan mursi adalah seperti meramaikan musuh berbanding meramaikan kawan dalam politik. Terutama, musuh-musuh yang diciptakan itu adalah dari kalangan orang yang mula-mula sekali mencetuskan revolusi di mesir. Apabila ini berlaku, mereka tidak akan duduk diam. Sudah pasti, mereka akan memulakan gerakan sekadar yang mampu untuk melakukan gugat terhadap pemerintahan mursi dalam jangka setahun atau dua tahun ini.

RAMAI DALAM HIMPUNAN

Ramai berhimpun mempertahankan mursi di awal pemerintahan tidak boleh menjadi kayu ukur kekuatan pemerintahan mursi. Ini kerana, bagi mereka yang berada dalam kerangka politik pada tahun 1999 sehingga 2004, kita akan dapati bagaimana usrah-usrah PAS ketika itu amat bersemangat. Ceramah-ceramah PAS memang terlalu boleh dibanggakan ekoran kehadiran manusia yang begitu ramai. Walaupun PAS berhadapan dengan DAP dalam isu negara Islam dan hudud, tetapi bilangan orang yang hadir dalam ceramah-ceramah PAS tetap ramai.

Namun begitu, dalam keadaan kehadiran orang ramai mendengar ceramah PAS, pada pilihanraya 2004, ia merupakan pilihanraya yang amat malang bagi PAS. Kerana, ia mengakibatkan kejatuan PAS di terengganu, dan hampir jatuh di kelantan.
 

KEKUATAN AL-BARADIE

Seorang kawan aku bekerja sebagai pemandu lori. Beliau pernah menyatakan kepadaku bahawa sesuatu yang tidak berat, perlu diangkat dengan tenaga. Tetapi sesuatu yang berat, ia perlu diangkat dengan otak.

Dia menjelaskan lagi contohnya dengan menyatakan bahawa dia telah ke terangganu untuk menghantar tiang-tiang besi yang berat. Sesampai di sana, dia dapati mesin untuk mengangkat tiang-tiang besar yang berat itu tiada. Disamping, pekerja di sana untuk diminta tolong juga tiada. Dia berfikir, bagaimana hendak menurunkan besi-besi yang berat, sedangkan dia tak ada kemampuan dan kuatan untuk menurunkan besi-besi itu dari lorinya. Makanya, dia telah membuka semua pagar-pagar belakang lori, dan dia gostan lorinya laju-laju dan memberhentikannya secara mengejut. Tindakannya itu menyebabkan semua besi-besi yang berat itu boleh diturunkan juga.

Secara teorinya, sesuatu yang terlalu berat itu boleh diturunkan dengan menggunakan akal, walaupun tidak mampu diturunkan dengan tenaga. Teori ini kita dapat lihat dilakukan oleh Israel yang asalnya tidak mempunyai negara.

Namun, dalam keadaan mereka tidak mempunyai negara, mereka telah memanfaatkan akal mereka untuk menguasai ekonomi, seterusnya rata-rata kita mengakui bahawa ekonomi dunia pada hari ini dikuasai oleh yahudi secara proksi. Juga, dengan kebijakan mereka, mereka telah mendapat penempatan di palestine, walaupun asalnya mereka tidak mempunyai sebarang tempat pun.

Ini yang dibimbangi bakal di lakukan oleh al-Baradie terhadap pemerintahan mursi untuk masa akan datang. Ini kerana, al-Baradie bukan calang-calang manusia. Disamping mempunyai kepakaran dalam atom, beliau juga mempunyai kebijakan politik untuk jangka masa yang panjang. Ini dapat dibuktikan, dengan tindakan beliau di FB menyebabkan berlakunya revolusi di mesir sehingga kejatuhan mubarak.

DENDAM POLITIK

Diberitakan bahawa sejurus selesai revolusi di iran, ramai dari kalangan ulama-ulama sunni yang terlibat sama dengan revolusi menjatuhkan shah iran ditangkap oleh pemerintahan iran pimpinan syiah. Tidak diketahui sejauh mana kebenaran berita ini. namun, berita-berita sebegini amat masyhur di kalangan mereka yang anti-syiah di semua tempat.

Ekoran dari itu, melahirkan dendam dari kalangan orang sunni terhadap syiah di dunia. kesannya adalah, orang sunni amat memusuhi syiah, tidak sepertimana sebelum berlakunya revolusi iran yang dapat dilihat peperangan idea dan takfir antara syiah dan sunni kurang berlaku.
 

Kebimbangan sebegini juga bimbang berlaku di mesir dengan tindakan mursi ini. ia akan melahirkan politik dendam terhadap mursi oleh geng sekular, liberal dan kristian di sana. Kesannya adalah, bimbang kedamaian dalam pemerintahan di mesir tidak akan tercapai. Ia memungkinkan memberi kerosakan yang lebih besar buat masa yang mendatang.

PENUTUP

Secara asasnya, pada pandangan dan pembacaan aku yang lemah ini, aku merasakan suasana politik damai ini wajar dibina di mesir. Aku merasakan, politik di dunia pada hari ini amat sesuai dengan memakai teori think win win atau teori fikir menang-menang yang diungkapkan oleh cowey dalam 7 habitnya.
 

Aku tidak fikir, ikhwan akan berjaya melaksanakan semua apa yang mereka mahukan. Ia sama seperti PAS yang mahu membawa idea negara islam dengan DAP yang membawa fikrah negara sekular. Jika semua pihak bertegang urat mempertahankan idealogi masing-masing, sampai bila-bila pun rasuah, penyelewengan wang rakyat di Malaysia tidak akan berjaya diselesaikan. Makanya, setiap parti perlu hormati idealogi parti kawannya, demi menimbulkan unsur kesamaan antara semua pihak. Yang paling penting, bagaimana semua pihak berjaya memberikan hak kepada rakyat, sama ada hak berbentuk metarial, juga berbentuk hak bersuara dalam menyatakan pandangan dan idealogi.

Mungkin kita suka mursi menyekat suara al-baradei (membuat dasar pemerintahan). Namun, sikap kita mungkin lain sedikit jika al-baradie melakukan tindakan yang sama jika dia berada pada tampuk pemerintahan mesir. Jika kita tidak mahu suara kita disekat, sekali-kali kita tidak boleh menyekat suara orang yang tidak seidealogi dengan kita.

Dalam bernegara, rakyat dibawah mempunyai berbagai-bagai fikrah dan idealogi. Ia sejawarnya diraikan dengan suasana demokrasi yang sihat. Tindakan kita menafikan hak rakyat yang tidak sama idealogi dengan kita dari bersuara, bakal memberikan implikasi yang cukup buruk di masa mendatang. Makanya, ia sewajarnya diurus dengan berhikmah.

Sekian

Wallahu ‘Alam





Handai;

Aku mengenali-mu; dasar perjuangan kita,
Lantas aku mendatangi-mu, aku mendakati-mu,

Khali;

Aku terdengar momokan-momokan yang pincang,
Mayoritas sibuk berkata; “Pasti ada sesuatu,”
Helai-tawa, gelak-gembira; sibuk berbicara,
Fakta atau auta; persetankan!

Ku-bermonolog;

Semut hitam, batu hitam, gelap-gelita,
Mata-mu-kah yang buta atau hati-mu?!
Ingin sekali ku-berargumentasi!
Tuntas paca hina berfikir; manusia atau Sang Pencipta?
Tadi teriakan, lani; ku-kendurkan,

Handai;

Semut hitam, batu hitam, gelap-gelita!
Ini tujuan-ku.
Bukan…Bukan…Bukan;  “Pasti ada sesuatu,”
Biarkan…Biarkan mayoritas berbicara,
Celik mereka hitam, buta mereka putih!

Handai;

Perjuangan masih enggan selesai,
Doa-ku, moga Tuhan menjaga-mu…

mudarristarmizi
(1/12/2012)








~ Kerakusan nafsu,
   merampas hak kemanusiaan,
   tanpa timbang fikir,
   bergegar bumi Gaza,
   dihembusan nafas panas Zionis.
~ Tangisan,   
    menjadi lautan merah,   
    membasahi tanah kecil,   
    melenyapkan,   
    hak-hak kehidupan,   
    anak-anak yang masih belum,   
    menggapai pelangi.

    Nukilan: Nina e.z              29/11/12    






Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang Khalifah. Berkata mereka (Malaikat) : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah : 30)

Dan telah diajarkanNya kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian Dia kemukakan semua kepada Malaikat, lalu Dia berkata : beritakanlah kepadaKu nama-nama itu semua, jika adalah kamu makhluk-makhluk yang benar. (Al-Baqarah : 31)

Mereka menjawab : Maha Suci Engkau! Tidak ada pengetahuan bagi kami kecuali yang Engkau ajarkan kepada kami.  Karena sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Tahu, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah : 32)

Berkata Dia : Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya! Maka tatkala telah diberitahukannya kepada mereka nama-nama itu semua, berfirmanlah Dia : bukankah telah Aku katakan kepada kamu, bahawa sesungguhnya Aku lebih mengetahui rahsia semua langit dan bumi, dan lebih aku ketahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan. (Al-Baqarah : 33)

                Potongan ayat di atas menceritakan tentang suatu peristiwa besar yang telah berlaku di mana sekiranya peristiwa ini tidak terjadi maka tiadalah kita pada hari ini. Satu peristiwa yang menjadi sejarah dunia apabila manusia diciptakan dan ditugaskan menjadi pemimpin di muka bumi. Maka bermulalah sejarah ketamadunan ilmu apabila Adam diciptakan. Penulis ingin membawa pembaca berfikir tentang falsafah kepada peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran melalui kaedah dialog. Dialog ini memberikan nilai yang tersendiri apabila berlaku soal jawab antara Allah, Malaikat, dan Adam. Allah sebagai Khaliq, Malaikat dan Adam adalah sebagai makhluk ciptaan Allah.

                Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb mengatakan ayat ini adalah berkaitan pentadbiran. Pentadbiran adalah sesuatu sistem yang besar dimana merangkumi politik. Maka kita lihat apabila wujudnya Adam maka secara tidak langsung bermulalah sistem politik di dunia ini kerana Adam dicipta untuk menjadi pemimpin kepada sekalian makhluk. Untuk menjadi pemimpin dan memimpin perlu ada ilmu politik. Bagaimana mungkin manusia mampu mentadbir alam sekiranya tidak punyai ilmu politik. Mengatur, mengurus dan memastikan alam berada dalam keadaan yang baik iaitu tugas Bani Adam memberikan gambaran manusia perlu berfikir bagaimana untuk melakukannya. Justeru, itulah hikmah ilmu politik dipelajari.

                Dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka pula ada menerangkan sedikit berkaitan penerimaan beberapa ulama di manakah dialog ini diperkatakan. Terdapat dua golongan iaitu Salaf dan Khalaf. Secara mudahnya kita memahami Salaf adalah golongan yang hidup pada zaman Rasulullah dan sahabat, tabi’in (anak murid sahabat) dan tabi’ tabiin (anak murid tabi’in). Manakala Khalaf adalah golongan yang hidup selepas daripada ketiga-tiga zaman yang disebutkan tadi.

Salaf menerima ayat ini dengan tidak bertanya-tanya mahupun bersoal kerana beranggapan Allah telah berkenan untuk menceritakan perkara ghaib kepada kita tetapi dengan kemampuan fikiran manusia tetapi tidaklah pula kita mampu untuk masuk ke dalam yang ghaib itu. Berbeza pula dengan penerimaan Khalaf, mereka menggunakan kaedah mantik atau logik akal manusia untuk membuat pentafsiran tetapi dalam lingkungan bilik luas yang mempunyai dinding dan bumbung. Maka tidaklah mereka dibasahi hujan dan badai dalam membuat pentafsiran melainkan yang dibenarkan syariat.

                Diperhalusi dialog antara Allah dengan Malaikat ini dapatilah kita sebenarnya lebih dekatlah pendekatan Khalaf kerana Allah sendiri menunjukkan bukti kepada Malaikat tentang sebab tindakan-Nya. Maka ketahuilah kita sebenarnya manusia sememangnya memerlukan mantik dalam menerima sesuatu peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka. Tetapi sebenarnya Allah mahu juga menguji keimanan hamba-Nya, maka dibuatkan peristiwa yang bertentangan dengan hukum mantik atau logik akal manusia.

                 Diberitakan juga dalam Al-Quran berkaitan peristiwa Ibrahim dibakar dalam rumpunan kayu api yang marak tetapi baginda tidak tercedera sedikitpun. Waras akal api pastilah membakar dan air pastilah membasah. Juga peristiwa Mariam mengandung dan melahirkan Isa tanpa seorang lelaki melakukan persetubuhan dengannya. Sainstis hari ini tidak mahu menerima peristiwa tersebut kerana sperma perlu bergabung dengan ovum di tiub fallopio dan barulah boleh terciptanya kandungan. Dijawab oleh Al-Ghazali di sinilah peranan iman dimainkan apabila bertindak menerima perkara ghaib yang diceritakan Allah.

                Sebab itu seorang seorang ahli falsafah moden; Emmanuel Kant berkata, “Betapapun kemajuan saya dalam berfikir, namun saya tetap mengosongkan sesudut dari jiwa buat saya percaya.” Maklumlah kita sebenarnya mantik dan iman itu sepatutnya bergerak seiring supaya tidak pula layang-layang terputus talinya kerana layang-layang itu ibarat mantik manakala tali ibarat iman yang memandunya. Jika terputus tali itu maka jatuhlah layang-layang dan jika tidak bertali tidaklah pula ianya mampu terbang. Perlulah kita percaya bahawa manusia yang diagungkan bisa juga melakukan kesilapan, maka perlu juga dikosongkan sedikit jiwa agar kita tidak membabi-buta menyokong yang salah.

                Berbalik kepada dialog, Malaikat dikhabarkan oleh Allah ingin mencipta sejenis makhluk yang menjadi khalifah di muka bumi. Kemudian Malaikat bertanya kepada Allah mengapa ingin mencipta makhluk yang akan merusakkan bumi sedangkan bumi ini sudah aman dan Malaikat pula sentiasa bertasbih dan memuji-Nya. Dalam dialog ini ada satu perkara yang jarang kita bahaskan iaitu demokrasinya Allah. Malaikat telah mempersoalkan tindakan yang akan Allah lakukan tetapi tidak pula Allah memarahi Malaikat melainkan menjawabnya dengan mantik.

                Dalam Tafsir Al Maraghiy karangan Ahmad Musthafa al-Maraghi, beliau mengatakan Allah bersabar dengan pertanyaan Malaikat. Di sini kita melihat Allah memberikan ruang kepada Malaikat untuk mengajukan soalan dan mengkritik tindakan-Nya. Hari ini kita melihat rakyat tidak boleh mempersoalkan tindakan kerajaan kerana apabila mempersoalkan akan dianggap penentang kepada kerajaan dan tidak bersyukur. Sedangkan rakyat berhak bertanya demi kepentingan mereka. Begitu juga segelintir pensyarah yang dipersoalkan tindakan mereka oleh pelajarnya maka diberikan markah yang rendah. Sungguh tidak demokratik!

                Allah juga sebenarnya mengajar kepada kita supaya lebih berfikiran kritikal iaitu dengan mempersoalkan sesuatu tindakan sekiranya ia tampak tidak berfaedah. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak mendatangkan manfaat kepada manusia maka ianya tidak perlu dilaksanakan. Rakyat perlu diberikan ruang untuk mengkritik dan mempersoal setiap tindakan kerajaan supaya rakyat lebih kritikal dan mampu memberikan faedah kepada negara. Bukan ditangkap dan didakwa sedangkan mereka yang merasuah dan menipu dibiarkan terbahak. Tujuan manusia dicipta di bumi adalah untuk menjadi pemimpin kepada umat manusia bukan menjadi perosak seperti yang dikatakan oleh Malaikat.

                Di dalam dialog ini juga diajarkan kepada Adam tentang nama-nama kesemuanya yang dianggap mantik manusia. Kemudian ditunjukkan kepada Malaikat tentang nama-nama kesemuanya dan ditanyakan akan namanya. Malaikat tidak mampu menjawab dan berkata Allah-lah yang lebih mengetahui. Di sini kita melihat Adam mempunyai kelebihan dan Malaikat merendahkan diri dengan mengakui kekurangan dirinya. Apabila Allah memerintahkan Adam mengkhabarkan nama-nama itu maka barulah Malaikat ketahui akan kelebihan makhluk yang ingin diciptakan oleh Allah yang dikatakannya perosak bumi.

                Ketika ini tahulah kita bahawasanya manusia dan Malaikat mengetahui sesuatu ilmu atau perkara atas kehendak Allah. Pasti ada kekurangan ilmu dalam kalangan manusia mahupun Malaikat. Kita lihat bagaimana rendah diri Malaikat menerima ilmu Adam kerana Malaikat tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang nama-nama itu dan tidak pula sombong tidak mahu mempelajarinya. Segelintir jemaah yang 'sombong' berkata kita tidak memerlukan orang luar untuk memberikan tarbiyah kerana kita mempunyai manhaj tarbiyah yang tersendiri. Ini sangat bertentangan kerana Malaikat mengakui dan belajar daripada Adam. Kita pula yang lebih sombong!

                Kesimpulannya kita perlu membuat semakan terhadap diri sendiri adakah kita ini orang yang demokratik kerana Allah tidak memarahami Malaikat apabila Malaikat mengkritik tindakan Allah bahkan Allah menggunakan kaedah mantik dengan menunjukkan nama-nama kepada Malaikat dan ditanyakan namanya. Apabila Malaikat tidak mampu menjawab diperintahkan Adam untuk mengkhabarkan nama-nama itu. Maka barulah Malaikat percaya bahawasanya mahkluk diciptakan Allah ini mempunyai kelebihan. Malaikat mengakui kelemahan dan belajar daripada Adam, jadi adakah kita mahu mengakui kelemahan kita dan menerima kritikan dan mempelajari daripada orang lain? Adakah kita masih sombong dengan ilmu yang ada pada kita semata-mata? Jika kita masih begitu maka ingatlah Allah sudah demokratik!
               
               
               





Sekilas pandang lagu ini bertemakan cinta semata-mata. Tidak dinafikan lagu ini mempunyai unsur cinta tetapi saya melihat lagu ini turut mempunyai unsur nasihat. Antaranya ialah :

1) Setiap manusia adalah pendosa dan sebaik-baik pendosa adalah yang bertaubat” Riwayat, Ahmad dan Ibnu Majah. Memberitahu manusia itu sebenarnya tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.

2) "Aku sepertimu, ada waktu diburu oleh dosa-dosa yang lalu", memberitahu bahawa satu ketika pasti kita akan mengenang dan menyesali dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Sebenarnya apabila kita mengingati dosa-dosa itu maka datanglah satu keinginan iaitu untuk bertaubat.

3) Mengajar untuk menerima siapakah pasangan hidup kita. Pengalaman yang lepas bukanlah satu alasan yang boleh digunakan untuk mencaci dan menolak insan yang telah bertaubat. Apabila seseorang itu menyesali dan ingin bertaubat maka berikan peluang kepadanya.

4) Pesanan buat remaja di luar sana, jagalah dirimu sebaik-baiknya dengan memenuhi aktiviti yang berfaedah. Zaman remaja ini hanya sekali dan tidak akan kembali apabila dia pergi. Maka hargainya dengan perlakuan yang tidak akan kau kesali.

Saya lebih selesa melihat sesuatu itu bukan berdasarkan dua titik (garis lurus). Ataupun tiga titik (satah). Tetapi sesuatu yang boleh mencerminkan tiga dimensi iaitu dimensi yang lain daripada apa yang boleh dilihat oleh mata hati.

Pengalaman yang lalu kadang-kadang membuatkan kita terasa bingung dan bodoh tetapi percayalah dengan pengalamanlah manusia itu boleh bergelar insan yang budiman.






Saya percaya rata-rata umat Islam marah apabila Nabi Muhammad dipersenda sebegitu rupa dalam; 'Innocence of Muslims'. Saya juga turut mempunyai perasaan sebegitu rupa. Cuma saya berpendirian kita perlu lebih berhikmah dalam menangani masalah ini. 

Soal penghinaan sejak dari zaman Rasulullah sendiri sudah ramai yang mempersendakannya, hatta nabi-nabi terdahulu juga tidak terlepas daripada penghinaan umatnya ketika itu. Ada beberapa perkara yang boleh kita semak semula supaya perkara ini dapat ditangani secara hikmah :

1) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa melihat bangsa dan kaum sendiri yang menghina Islam dengan menolak hukum Islam.

2) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa melihat individu yang memeluk Islam itu sendiri gagal mencerminkan akhlak Islam yang sebenar kepada penganut agama lain.

3) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita terlupa pemimpin negara kita sendiri tidak kita mencerminkan sistem keIslaman yang sebenar-benarnya kepada negara bukan Islam yang lain.

4) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi kita telah menyekat usaha-usaha pendakwah di negara ini ingin berdakwah kepada umat di negara ini samada Islam mahupun bukan Islam; Fiqh Ummah 2012.

5) Sibuk memarahi individu yang menghina Islam tetapi di negara kita sendiri dihidangkan dengan hiburan yang melupakan dan menjauhkan kita daripada agama. Hatta pemimpin negara sanggup menari dan menyanyi bersama anak muda atas alasan ingin menarik hati anak muda.

Saya tidak menolak inisiatif segelintir umat yang ingin turun berdemonstrasi berkaitan isu ini. Bahkan saya juga bersetuju akan usaha ini, cuma persoalannya mereka yang turut dalam demonstrasi ini adakah mereka benar-benar ingin menentang penghinaan terhadap Islam atau sekadar ingin mendapatkan popularitas sempena pilihanraya yang bakal diadakan.

Saya mencadangkan agar jika benar mereka ingin menentang setiap penghinaan terhadap Islam mahupun Nabi Muhammad; Rasul Agung, maka pastikan penghinaan dari dalaman dibersihkan terlebih dahulu. Jangan bertindak atas kepentingan popularitas politik semata tetapi pada masa yang sama pimpinan tertinggi dalam parti masih 'menghina' hukum-hakam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Firman Allah dalam al Quran; "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan". (as-saff 2-3).




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Segala pujian bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Yang menguasai hari pembalasan. Kepada Engkaulah kami sembah dan kepada Engkau sahaja kami mohon pertolongan. Tunjuki-lah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat. Bukan jalan-jalan orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat. Alhamdulillah, terasa lega dan bersyukur kepada-Nya, di atas kurnia dan limpah rahmatnya, aku telah diberikan kemudahan untuk menyelesaikan pengajian ijazah sarjana muda-ku di Universiti Putra Malaysia.


Perjuangan mencari ilmu tidak akan berhenti di sini. Aku akan teruskan usaha dan menambah fokus pada pengajian seterusnya. Aku terlalu banyak alpa dalam pengajian sebelum ini. Mungkin disebabkan tidak bersependapat dengan pensyarah membuatkan aku muak dengan diriku sendiri. Tidak dinafikan terlalu banyak jasa yang telah diberikan oleh pensyarah kepada aku, tetapi itu tidak bermakna aku perlu mengikuti segala arahannya. Bagaimanapun mereka tetap aku hormati walaupun tingkah laku-ku nampak terlalu sombong. Karena aku punyai pendirian sendiri.

Ucapan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Pengajian Sukan, Univerisiti Putra Malaysia yang telah banyak membantu-ku selama berada di jabatan. Kamu ibarat keluarga-ku. Moga Allah mengampunkan segala dosa dan merahmati kalian. InsyaAllah diri ini tidak akan pernah melupai segala jasa yang telah diberikan kepada-ku. Insya-allah ini bukanlah penghabisan buat diri ini untuk terus melanjutkan pelajaran. Telah mendapat tawaran untuk sambung belajar di Institut Penyelidikan Matematik dalam bidang pengajian Master Sains Falsafah Matematik dan Etnomatematik.



Pernah suatu masa aku berjanji dengan ibu-ku; "Mak doakan orang, insyaAllah orang janji akan habiskan pengajian pada tarikh yang sepatutnya". Biasalah sepak terajang dalam pengajian, karena aku tidak seperti pelajar yang lain, di mana boleh aku katakan mereka lebih berdisplin berbanding aku. Apa-apapun terima kasih aku ucapkan kepada semua sekali lagi kerana telah memberikan peluang untuk belajar di Jabatan Pengajian Sukan. Ilmu yang dipelajari di sana mungkin tidak hari ini tetapi aku akan pastikan suatu hari nanti ianya digunakan dalam kehidupan-ku. Mohon doa buat diri ini yang akan berhijrah mencari ilmu di tempat lain;

Pesanan seorang mak cik kepada seorang pemuda; "Selagi berpeluang carilah ilmu". Pemuda itu bermonolog sendirian; "InsyaAllah, perjuangan mencari ilmu akan kuteruskan sehingga hujung hayatku".




Ads 468x60px

Featured Posts