Oleh : Siddiq Fadzil
Firaun
Watak lain yang memperlihatkan pola fikir dan mentaliti yang sama ialah Firaun. Raja Mesir yang bermaharajalela dengan kuasa dan kekayaan itu merasa tergugat dengan kemunculan Musa a.s sebagai pemimpin yang kian popular di kalangan kaumnya. Untuk membendung arus sokongan rakyat dari terus berpihak kepada Musa a.s, Firaun bertindak dengan mengeksploitasi kebodohan rakyat, mengabui mata mereka dengan mempamerkan kehebatannya sebagai pemilik kerajaan dan bumi Mesir dengan segala sungai-sungainya. Sementara itu Nabi Musa a.s dihinanya sebagai orang yang tidak punya apa-apa, malah berbicara pun tidak petah (al-Zukhruf:51-56)
Rakyat yang berfikiran singkat dan telah rosak jiwa dan mindanya memang mudah terpedaya dengan propaganda gaya Firaun itu. Apa lagi Firaun memang selamanya menggunakan kuasa dan kekayaannya untuk melaksana dan membiayai program-program menyesatkan rakyat. Memperbodoh dan mengelirukan rakyat massa memang menjadi amalan lumrah kalangan penguasa diktator zalim di mana-mana. Ini mereka lakukan dengan cara menguasai media dan menutup semua saluran maklumat sehingga mereka tidak mengetahui fakta-fakta yang sebenar dan tidak berminat untuk mencarinya, cukup menelan apa sahaja yang disogokkan. Dengan demikian mudahlah mereka dibuli dan diperalat, dikerah dan diarah mengikut telunjuk para penguasa.
Tidak cukup dengan mengongkong pemikiran rakyat massa, Firaun berusaha untuk menguasai dan memperalat golongan ‘cendekiawan’ yang terdiri dari kalangan ahli-ahli sihir. Ini dilakukan dengan menawarkan ganjaran yang lumayan kepada mereka yang sedia memberikan khidmat memperkukuh kekuasaan Firaun. Dengan motif merebut ganjaran lumayan itulah mereka menyanggupi tugas melawan mukjizat Nabi Musa a.s. Tetapi setelah kalah dalam perlawanan itu mereka membuka mata, menginsafi bahawa mereka berhadapan dengan kebenaran dan kuasa Tuhan yang sebenarnya, lalu mengambil keputusan untuk menerima hakikat tersebut. Mereka beriman dengan Nabi Musa a.s dan bersedia menghadapi risikonya iaitu kemurkaan dan penganiayaan Firaun.
Seperti yang memang telah diduga, Firaun menjadi berang apabila mereka mengambil keputusan memihak kepada Musa a.s. tanpa terlebih dahulu mendapatkan izinnya. Tetapi siksaan kejamnya tidak juga dapat mengubah pendirian ahli-ahli sihirnya itu (al-A’raf:113-126). Rupa-rupanya masih ada kelompok yang tidak dapat diperbodoh kerana memang mereka tidak bodoh. Meskipun tadinya mereka berhasrat mencari untung, tetapi apabila berhadapan dengan isu hak dan batil, benar dan salah, mereka tidak sanggup mengkhianati suaru nurani sendiri. Mereka masih setia kepada etika keilmuan bahawa kebenaran tidak harus ditundukkan kepada kemahuan politik (penguasa).
Demikianlah kuasa sebesar manapun dan harta sebanyak manapun tidak dapat memuaskan nafsu seorang Firaun. Setelah tidak puas menjadi raja, Firaun seperti Namrudm bernafsu menjadi tuhan. Ia mahu agar rakyat tidak hanya merajakannyam tetapi mempertuhankannya. Kepada para pendukungnya selalu berkata, “aku tidak nampak ada tuhan lain bagi kamu selain aku!” (al-Qasas:38). Para pengampunya yang mengamalkan politik ‘asal bapak senang’ memang tidak pernah keberatan memberikan sokongan, malah tepukan gemuruh kepada kata-kata seperti itu meskipun tidak masuk akal.
Selama masa yang barangkali cukup lama Firaun bermaharajalela sehingga Nabi Musa a.s yang banyak menderita akibat angkaranya, pada suatu ketika mengadu kepada Tuhan, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah berikan segala macam perhiasan dan kekayaan kepad Firaun dan orang-orangnya, ya Tuhan kami, mereka (telah menyalahgunakan anugerah-Mu) untuk menyesatkan (dan menyelewengkan orang) dari jalan (petunjuk)-Mu” (Yunus:88). Kesempatan yang diberikan kepada Firaun untuk merajalela tidak bererti Tuhan merestuinya. Sebaik-baik sahaja kezalimannya mencecah tahap yang ditentunkan, TUhan merentapnya tanpa sebarang amaran lagi. Tiba-tiba dalam sekelip mata Firaun hilang tenggelam di perut laut. Kisahnya diabadikan dalam al-Quran sebagai tugu suatu puncak kezaliman dalam sejarah kemanusiaan, untuk dijadikan ikhtibar buat generasi zaman mendatang.
Oleh : Siddiq Fadzil
Sejarah : Perspektif Agama
Al-Quran memberikan pemerian tentang Namrud sebagai raja yang sezaman dengan Nabi Ibrahim a.s. Kerana terlalu lama berkuasa ia menjadi lupa diri. Nafsu besarnya menyebabkan ia tidak puas sekadar menjadi raja. Ia mahu menjadi tuhan, lalu meminta rakyat mengakui dan menyembahnya sebagai tuhan mereka. Tanpa malu-malu Namrud mendakwa mampu melakukan sesuatu (menghidup dan mematikan) yang pada hakikatnya hanya Tuhan yang sebenar mampu melakukannya.
Dalam dialognya dengan Namrud, Nabi Ibrahim a.s mengatakan bahawa Tuhannya adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa menghidupkan dan mematikan. Namrud yang ingin menjadi tuhan merasa perlu memiliki cirri ketuhanan yang sama. Nafsu ingin menandingi Tuhan Ibrahim a.s itulah yang mendorongnya mendakwa, “aku juga mampu menghidupkan dan mematikan” (ana uhyi wa umit). Untuk membuktikannya ia menghadirkan dua orang pesalah yang telah dijauthi hukuman mati; yang seorang dibebaskan, manakala yang seorang lagi diperintahkan menjalani hukuman (mati). Itulah yang ia tahu tentang erti menghidupkan dan mematikan. Dengan sangkaan ia sudah menang, ia berkhayal menjadi “tuhan”. Pada hakikatnya yang terserlah dari cara berhujah dan pembuktian sedemikian itu bukan kuasa ‘ketuhan’nya, tetapi kuasa ‘kediktatoran’nya, berbuat semahunya, bertindak ke atas seseorang sesuka hati untuk kepentingan diri.
Mungkin kerana merasa tidak ada gunanya berdebat tentang erti sebenar ‘menghidup dan mematikan’ dengan orang tolol, maka Nabi Ibrahim mengubah cara berhujahnya dengan mengatakan, “Tuhanku menerbitkan matahari dari sebelah timur, cuba anda terbitkannya dari sebelah barat pula!” (al-Baqarah:258). Kali ini Namrud tidak dapat menjawab, ia kebingungan, terpinga-pinga bercampur marah. Selama ini tiada siapa pun berani berkutik di hadapannya, sekarang ia dibantah dan dicabar secara point-blank. Namrud terjerat dalam kesombongan dan ketololannya sendiri.
MENOLEH SEJARAH MENAFSIR KISAH : Sejarah : Perspektif Agama (Bahagian 1)
Oleh : Siddiq Fadzil
Sejarah : Perspektif Agama
Makalah ini tidak bermaksud untuk memasuki medan falsafah sejarah dengan segala alirannya. Yang akan dibahaskan di sini bukan sejarah dalam erti sekadar cacatan peristiwa; tetapi tafsiran, makna dan iktibar sesuatu peristiwa. Pendekatan ini serasi dengan gaya al-Quran yang apabila membicarakan sesuatu peristiwa, ia tidak memberikan pemerincian tentang tanggal dan saat terjadinya. Yang dipaparkan adalah tafsirannya, termasuk pengajaran dan petunjuk buat khalayaknya. Pendekatan al-Quran umumnya bersifat holistik dalam erti sorotannya tidak terpusat hanya pada gerak adegan lahiriah di pentas sejarah, tetapi menerobos hingga ke pedalaman jiwa dan minda pelaku-pelakunya. Dengan demikian pemeriannya adalah utuh dan menyeluruh, tidak terbatas dan tidak cuma bersifat serpihan.
Sejarah juga bukan peristiwa-peristiwa kebetulan, yang tiadk dapat difahami hujung pangkal sebab dan akibatnya. Sesuatu peristiwa sejarah tidak terjadi secara sewenang-wenang, tetapi berlaku menurut aturan tetap ketuhananm aturan Ilahi yang terjelma dalam hukum sebab-akibat. Itulah yang dinamakan sunnatu ‘Llah, undang-undang Tuhan yang tidak berubah. Apabila segala factor telah berkumpul, maka berlakulah kehendak Allah. Memang perilaku manusia sendiri merupakan faktor utama terjadinya peristiwa sejarah, bagaimanapun penentunya bukanlah faktor-faktor itu sendiri. Penentu yang mutlak adalah kehendak Allah. Kerana itulah apabila al-Quran memaparkan sesuatu peristiwa sejarah yang ditonjolkan adalah kehadiran Allah, kudrat dan iradat-Nya. (rujuk surah al-An’am ayat 6)
Al-Quran adalah sumber petunjuk bagi manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya dengan secara langsung berbentuk perintah dan larangan. Tetapi tidak sedikit pula yang disampaikan secara tidak langsung. Misalnya menerusi kisah dan sejarah. Ini beerti fungsi kisah dan sejarah dalam al-Quran bukan untuk lipur lara atau sekadar untuk diketahui (knowledge for the sake of knowledge), tetapi untuk menyampaikan mesej petunjuk. Al-Quran banyak sekali membawakan ayat-ayat yang mengajak khalayaknya merenung untung nasib umat terdahulu sambil menilai diri dengan keinsafan bahawa nasib yang sama boleh menimpa siapa sahaja yang memiliki ciri dan faktor yang sama.
Kerelevenan al- Quran adalah universal dan abadi. Dengan demikian petunjuk-petunjuk dari kisah dan sejarah dalam al-Quran sentiasa relevan bila-bila dan di mana-mana pun. Memang tabiat manusia tetap sama, tidak berubah di sepanjang zaman. Demikianlah misalnya kedurjanaan dan petualangan manusia apabila merasakan kecukupan , merasa serba mampu kerana memiliki kekayaan dan kekuasaan. ( rujuk al-Alaq:6-7; al-Syura:27).
Watak-watak dalam al-Quran seperti Namrud, Firaun, Qarun dan lain-lainnya, sebagai individu memang semuanya merupakan watak-watak masa lalu yang sudah ribuan tahun menghilang dari pentas sejarah. Tetapi watak-watak manusia yang mirip atau persis seperti mereka akan sentiasa bermunculan di sepanjang zaman. Dengan ungkapan lain fenomena social-budaya kenamrudan, kekfiraunan dan keqarunan mungkin timbul dari semasa ke semasa.
Buah salak, buah kedondong,
Buah berangan dalam baldi,
Bukan nasib tidak beruntung,
Salah kita tak mengenal diri,
Mengayuh perahu mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian,
Jarang orang menyesal dahulu,
Ramai orang menyesal kemudian.
Saya mulakan penulisan dengan menukirkan pantun ini yang diambil daripada sebuah buku bertajuk; Hakikat Insan oleh Haji Ahmad Laksamana Kota Bharu. Buku ini milik Haji Anuwar bin Alabahas (al-Fatihah) iaitu arwah ayah yang saya hormati dan segani keperibadiannya semasa hidupnya.
Penceritaan pantun di atas mengenai manusia yang tidak mengenal diri sendiri merupakan salah diri sendiri. Dek sebabkan manusia itu terleka dengan mewah keduniaan dan terlupa akan kehidupan selepasnya, apabila tiba pada hari pembalasan barulah mereka menyesal dan itulah yang dikatakan jarang orang menyesal dahulu dan ramai orang menyesal kemudian.
Pepatah Melayu, “Tak kenal maka tak cinta” sinonim dengan pencarian jodoh, tetapi saya ingin gunakan untuk mencari hakikat mengapakah diri kita berada di atas muka bumi ini. Fikirkan, jika manusia tidak mengetahui maqasid (matlamat) hidupnya, bagaimana manusia boleh mentadbir alam dengan tertib, lalu merahmati keseluruhan alam. Dengan erti kata lain jika manusia tidak mengenal dirinya sendiri bagaimana dia mahu memaknai hakikat kehidupan yang dilaluinya selama hampir berpuluh tahun.
Sayyed Hossein Nasr yang merupakan pemikir Islam abad kedua puluh dan dua puluh satu telah menulis sebuah buku yang bertajuk Man and Nature The Spiritual Crisist of Modern Man. Buku ini menceritakan tentang permasalahan pencemaran alam bukanlah disebabkan bahan kimia yang terbebas atau dibebaskan sebagai permasalahan utama tetapi yang menjadi punca utama kepada permasalahan ini adalah akhlak dan ruhani manusia itu sendiri.
Kebobrokan yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini bukanlah dilakukan oleh haiwan, tumbuhan atau makhluk lain kerana mereka sentiasa memuji keagungan Tuhan. Kehancuran yang kian parah tidak lain tidak bukan adalah perbuatan manusia yang telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir alam. Sifat manusia rata-rata yang inginkan kemanisan dunia, sebenarnya tanpa mereka sedari telahpun mereka racuni alam dengan perlahan-lahan.
Di negara kita hari ini, tidak kira di pelosok mana, sibuk berbicara soal siapakah yang bakal diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan negara bagi penggal seterusnya. Pada tanggal 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadilakhir 1434 Hijrah bakal berlangsung pilihan raya umum ke-13 untuk Malaysia. Pada hari itu, seluruh rakyat yang berkelayakkan akan keluar menunaikan kewajipan untuk memilih siapakah yang telah berjaya menambat hati mereka.
Sekadar perkongsian yang boleh dipanjangkan perdebatannya secara ilmiah, ingin saya membawa dua idea yang boleh dipertimbangkan untuk memilih siapakah pemimpin yang wajar dipilih dalam konteks politik negara semasa. Khususnya penulisan ini saya tulis adalah untuk warga Ampangan, Seremban kerana saya berasal daripada DUN dan Parlimen ini. Secara amnya adalah untuk seluruh rakyat Malaysia kerana penulisan ini bukanlah bersifat setempat tetapi fleksibel dalam konteks politik tanah air.
Pertama adalah siapakah yang wajar dipilih antara calon Pakatan Rakyat dengan calon Barisan Nasional. Kedua pula berkaitan calon Muslim dengan bukan Muslim siapakah yang wajar dijadikan idaman hati dan diterjemahkan di atas kertas undian.
Sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional itu sememangnya hak mutlak individu untuk memilihnya dan saya menghormati hak demokrasi tersebut. Timbul isu siapakah yang wajar dipilih apabila kedua-dua calon tersebut adalah berwibawa. Juga sekiranya calon Barisan Nasional lebih berwibawa daripada calon Pakatan Rakyat. Perbincangan ini timbul seperti di DUN Ampangan dan Parlimen Temerloh. Di Ampangan calon Haji Abu Ubaidah Redza bakal melawan Datuk Kamarul Baharin Abbas dan di Parlimen Temerloh antara Nasrudin Tantawi dengan Datuk Saifuddin Abdullah.
Sebuah filem yang diproduksikan oleh Reginald Rose bertajuk 12 Angry Men (1957) mempunyai falsafah yang tinggi dan wajar dijadikan pengajaran dalam konteks demokrasi negara hari ini. Berkisahkan tentang dua belas orang juri yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk menentukan hidup mati seorang budak lelaki yang dituduh membunuh ayahnya. Dalam kisah tersebut asalnya, sebelas orang juri telah membuat keputusan mengatakan budak lelaki itu bersalah dan hanya seorang sahaja mengatakan tidak tetapi pada akhirnya yang seorang ini tadi mampu mempengaruhi kesebelas-sebelas juri untuk mengatakan budak lelaki itu tidak bersalah berdasarkan bukti dan kaedah mantik yang terperinci.
Inilah kepercayaan dan impian sebilangan rakyat untuk melihat beberapa ahli politik yang masuk ke dalam Barisan Nasional membetulkan parti daripada dalam. Suatu masa dahulu Anwar Ibrahim telah melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Dato’ Saifuddin. Buah yang rosak boleh kita buang dan menunggu giliran berbuah seterusnya tetapi sekiranya akar yang sudah rosak sudah pasti buahnya tidak akan cantik sama sekali.
Dipandang dari sudut politik matang di mana satu pihak akan menjadi timbang tara kepada pihak yang satu lagi ianya nampak realistik kerana terdapat juga calon Barisan Nasional yang berwibawa melebihi kredibiliti calon Pakatan Rakyat. Tetapi ingin saya bawakan sistem pilihanraya di negara ini bukanlah siapa yang paling berkaliber daripada mana-mana parti akan dipilih menjadi menteri atau kabinet melainkan parti yang menang majoriti akan memilih calonnya membentuk kabinet sebagai kerajaan.
Di Malaysia juga, tidak seperti di beberapa negara lain yang berkesudian untuk menjemput calon pihak lawan yang berkelayakkan bersama-sama dalam kabinet untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Saya mengharapkan politik seperti ini berlaku di Malaysia tetapi saya percaya perubahan politik seperti ini masih belum mampu dicapai oleh rakyat di Malaysia dalam tempoh yang terdekat. Maka, di sini rakyat harus bijak memilih parti politik yang bisa memberikan pendidikan politik kepada rakyat secara adil supaya tahap pemikiran rakyat mampu dipertingkatkan sama ada di bandar atau luar bandar.
Setelah 55 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, negara ini masih lagi berada di tahap sibuk membincangkan hak ketuanan (kononnya) dan memburukkan bangsa lain. Satu pencapaian yang menyedihkan kerana setelah 55 tahun mencapai kemerdekaan tahap pemikiran rakyat masih lagi membenci bangsa lain yang setiap hari kamu berurusan dengannya. Sewajarnya setelah 55 tahun, pemikiran rakyat harus merentasi isu ketuanan dan sekarang adalah masa untuk mencari bagaimanakah hendak memberikan keadilan, kesaksamaan dalam menaikkan martabat semua bangsa dari konteks pendidikan, ekonomi, nilai dan keagamaan.
Kedua adalah berkaitan calon Muslim dengan bukan Muslim. Hari ini terdapat golongan yang menggunakan bangsa dan agama sebagai modal politik mereka. Sekali lagi itu adalah hak mereka, saya menghormati tetapi tidak saya bersetuju kerana politik adalah sesuatu yang merentasi isu perkauman dan pemikiran keagamaan yang kolot. Kita wajar melihat konteks yang lebih luas bukan hanya pada bangsa dan agama calon itu sahaja. Politik bukanlah hanya memperjuangkan bangsa dan agama tetapi adalah berkaitan membina sebuah negara yang dirahmati sekalian rakyat di dalamnya.
Di Seremban, calon yang bertanding bakal menemukan lima penjuru di mana terdapat daripada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, Berjasa dan Bebas. Seperti telah saya nyatakan di atas senario politik tanah air yang akan membentuk kerajaan adalah parti politik yang memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Sewajarnya kita mengambil kira secara kesuluruhan manifesto yang dibentangkan di peringkat nasional bukan hanya bersifat setempat. Ini disebabkan yang akan membawa kepada perubahan adalah parti politik yang memenangi pilihan raya bukan individu atau wakil rakyat yang dipilih.
Saya berasa sungguh terkilan apabila terdapat golongan yang menggunakan fahaman agama secara jumud untuk dijadikan modal pilihanraya, saya mengharapkan keterbukaan yang lebih luas supaya boleh dijadikan dakwah kepada mereka yang bukan penganut beragama Islam. Mengapa golongan ini melihat kuasa politik sebagai hak mutlak Islam dengan cubaan menjatuhkan bangsa atau agama lain dengan hujah agama? Mengapa mereka tidak menggunakan konsep keadilan dan kebajikan yang merentasi sempadan bangsa dan agama untuk modal mereka?
Saya yakin ini adalah kerana hasil pemikiran yang mencemburui bangsa dan agama lain kerana tidak yakin dengan keupayaan bangsa dan agama sendiri.
Saya mengharapkan penulisan yang lemah ini bisa membuka minda kita dalam usaha untuk memilih pemimpin yang akan membawa perubahan kepada negara Malaysia tercinta ini. Pada awal penulisan ini saya cuba membawa pembaca mengenal siapakah diri kita yang bergelar manusia dan makhluk Tuhan di muka bumi ini. Di mana kebobrokan yang berlaku di sekeliling kita adalah bermula dengan akhlak manusia itu sendiri. Sebagai seorang manusia yang dipertanggungjawabkan untuk memilih pemimpin hendaklah kita memilih dengan sehabis pertimbangan kerana pemilihan ini bukanlah untuk diri sendiri semata-mata melainkan proses pembinaan sebuah negara yang bakal diwariskan kepada anak cucu kita satu hari nanti.
Ingin saya akhiri penulisan ini dengan satu analogi iaitu seorang lelaki membawa sebungkus gula, sebuah gelas dan sudu pergi ke sebuah tasik. Lelaki tersebut mengambil air daripada tasik tersebut diisikan ke dalam cawan yang dibawanya. Lalu, lelaki itu mengambil tiga sudu gula dan dikacau sehingga larut dalam air tadi. Selepas itu, lelaki tadi minum air yang berisi dalam cawan tadi dan dia merasai air itu sangat manis. Kali ini, lelaki itu cuba memasukkan gula yang selebihnya tadi ke dalam tasik di sebelahnya, dikacaunya air tasik tadi sehingga diyakini larut gula itu dan akhirnya dia meminum air tasik itu. Ternyata kali ini air yang diminumnya tidak dirasai apa-apa melainkan tawar.
Fahamlah lelaki itu bahawa sekiranya dia ingin menjadikan seluruh tasik itu manis airnya dia memerlukan jumlah bungkusan gula yang realisitik dengan isipadu air tasik tersebut. Tidak boleh hanya menggunakan sebungkus gula untuk mengubah keseluruhan rasa air tasik itu. Begitu jugalah situasi politik tanah air kita, walaupun majoriti bukanlah sesuatu yang mutlak tetapi idealistik itu perlu diikuti keupayaan untuk diterjemahkan dalam erti kata lain adalah realisitik. Semoga pemilihan yang dilakukan kita pada kali ini tidak kita sesali di kemudian hari kerana kita tidah mahu menjadi manusia yang sudah terhantuk baru tergadah.
Ini adalah adegan Soujiro Seta melawan Kenshin Himura (Algojo Battohsai) dalam siri Satria Pedang (komik) atau Samurai X (siri televisyen). Semasa perlawanan berlangsung; Soujiro berkata kepada Khensin, "If you are strong you live, and if you are weak you die".
Kata-kata ini adalah ungkapan daripada Makoto Shisio kepada Soujiro Seta sewaktu beliau masih lagi kecil, di mana ketika itu beliau duduk bersama dengan keluarga angkatnya dan didera, dipukul dan diperhambakan. Sewaktu itu beliau bertemu dengan Shisio yang menyelamatkannya daripada dibunuh.
"Yang kuat akan terus menang dan yang lemah akan terus kalah". Ini adalah ungkapan; 'Kapitalis' yang dijadikan falsafah oleh golongan kapitalisme. Sesiapa yang kaya akan terus menjadi kaya dan sesiapa yang miskin akan terus menjadi miskin. Merelakan diri diperhambakan oleh Kapitalis menyebabkan anda berlakon seolah-oleh merasakan kebahagian.
Siri cerita komik sebenarnya memberikan kritikan sinis kepada kehidupan seharian yang berlaku di sekeliling manusia. Cengkaman kapitalis terhadap manusia bukan hanya dalam konteks ekonomi semata-mata tetapi lebih daripada itu. Mereka memasukkan unsur ke dalam jiwa nurani manusia supaya rela diperhambakan.
Mengangkat golongan yang kuat untuk menzalimi golongan yang lemah adalah sesuatu tindakan biasa dalam kapitalisme. Saya menyarankan kepada kaki komik atau anime, "Apabila membaca komik, angkatlah kepala dan jenguk-jenguk masyarakat sekeliling kita, kerana dalam komik terdapat nilai yang menunjukkan keadaan apabila falsafah telah terpesong daripada jalan sebenarnya".
Sifat inilah yang menghancurkan umat masyarakat kerana ia membezakan lagi jurang antara si miskin dengan si kaya. Mereka membunuh sifat belas kasihan yang ada dalam diri manusia. Kerasukan, laba menjiwai dan menjadi pemandu dalam hidup manusia. Ini menyebabkan manusia tidak mahu menjadi lemah, melainkan berlumba-lumba menjadi yang kuat dan berlakulah pembunuhan, penindasan, penipuan, kebobrokan dan perkara yang berlawanan dengan fitrah manusia.
Lemah dalam erti kata mereka tidak lagi mahu menerima takdir yang ditentukan oleh Tuhan, tetapi menyalahkan Tuhan kerana nasib yang menimpa mereka. Yang duduk di atas mereka tidak lagi meninjau di bawah tetapi memijak-mijak kepala yang berada di bawah. Yang berada di bawah hanya menerima dengan kepedihan dan tidakkerelaan dalam penindasan ini.
Sifat kebinatangan manusia menjalar dalam segenap aliran darah mereka, kerana; "Yang kuat akan terus hidup dan yang lemah hanya layak mati". Masing-masing mencari kehidupan ibarat dua orang yang lemas, seorang akan membenam yang seorang lagi ke dalam air supaya dia boleh menghirup udara untuk bernafas. Pemikiran ini membentuk sosial budaya yang membeza-bezakan darjat bangsa dan kasta.
Bersama mencari erti kebebasan, memaknai falsafah keadilan, menjiwai kerendahan jiwa, membunuh bermegah-megahan, lalu bertasbih menerima kemenangan dalam ketenangan. Masyarakat bermakna diri sendiri, maka tanggungjawab bersama membina masyarakat berpikiran dan bersifat budiman. Membersihkan hati dari segelumak kehitaman, dibajai dengan zikrullah dan disirami dengan kejujuran.
Si kaya dengan si lemah wajib berkasih sayang, memberi dan menerima dalam senegap bentuk.
#PRU13 semakin hampir, laksanakan tanggungjawab membina masyarakat.
Sekalung aspresiasi malam ini,
Ku jambakan buat mereka yang berani,
Buat mereka yang berfikir,
Kerinduan mendalam mencari tokoh,
Sukar ditemui di bumi UPM,
Kegelisahan dunia yang dikhuatiri,
Hingga menghempap jiwa murni,
Ketinggian jiwa dihenyak ke kaki,
Oleh kerakusan politik kaum,
Kerana kepentingan sesuatu bangsa,
Kini sinar kegelapan mulai benderang,
Kuucap selamat dalam berjuang.
29/03/2013
610 pm
Khas buat MTM Kolej Muhammad Rashid, UPM.
sombong tidak, angkuh pun tidak,
aku menjiwai, berasimilasi, dikau bulan,
lirik lagu P. Ramlee; kau laksana bulan,
Kini aku sedar, sememangnya aku bulan.
Bulan dilihat cantik dipagari bintang,
Purnamanya dirindukan alam,
Sedang purnamanya bersinar cahaya,
tika yang sama kelihatan kawahnya.
Kini aku sedar bulan seperti aku,
Lahiriahnya cantik, batinnya hanya Sang Pencipta yang tahu.
28/3/2013 (Khamis)
7.50 pm
Isu pembangunan di kelantan.
Manusia A : Di Kelantan tiada pembangunan. Kelantan merupakan negeri yang tidak membangun.
Manusia B : Mengapa?
Manusia A : Sebab tengok orang Kelantan ada di merata-rata tempat. Semua pindah keluar berniaga keluar daripada Kelantan.
Manusia B : Kau orang mana? Belajar di mana?
Manusia A : Orang n9, belajar di Bangi.
Manusia B : Maka n9 juga negeri yang tidak membangun kerana kau pergi ke negeri lain untuk belajar.
Manusia A : rrrrrrr....
Isu kalimah Allah.
Manusia A : Pas ni dah sesat sebab bagi orang bukan Islam guna kalimah Allah. Al-kitab (injil) akan memurtadkan orang Islam.
Manusia B : Ada seorang lelaki hendak mengorat seorang wanita. Dia upah orang supaya rogol perempuan itu tetapi dia akan datang menyelamatkan perempuan itu. Orang itu baik ke jahat?
Manusia A : Jahat. Sebab dia upah orang lain tapi pura-pura jadi penyelamat. Bahkan bapak jahat.
Manusia B : KDN yang bagi penerbitan al-kitab dalam bahasa Melayu. KDN yang pegang kelulusan dan lesen penerbitan. Tetapi Pas pula yang disalahkan. Pas bukan ada kuasa. Tapi dia datang jadi hero pertahankan akidah Islam.
Manusia A : aiyak....
Situasi rakyat yang merelakan rasuah.
Manusia A : Apa lagi yang tidak kena di Malaysia ini. Kan semuanya sudah dapat. Jika hendak pergi kedai mamak yang rumah tidak sampai 1km pun boleh naik kereta. Tidak perlu jalan kaki.
Manusia B : Terlalu banyak korupsi.
Manusia A : Biasalah tu, mana-mana orang pun yang jadi kerajaan akan jadi camtu juga. Sikit-sikit tu tidak mengapalah asalkan kita tidak jadi seperti 13 Mei. Boleh naik motor senang dan tidak berperang.
Manusia B : Kau ada sebuah kereta Mercedes. Sewaktu malam kau parking kereta depan rumah. Esok paginya kau tengok kereta sudah tidak ada, tetapi yang ada hanyalah duit RM1,000, pencuri itu tinggalkan. Kau marah tak?
Manusia A : Mestilah marah, kereta aku harga RM200,000 kot. Dia bagi RM1,000 je. Mana boleh.
Manusia B : Eh, xpelah. Kan dia dah bagi RM1,000 kat kau. Kau ni xreti bersyukur betul. Kan kau xde pape. Kereta je hilang, nyawa ada lagi. Kau boleh hidup dan makan lagi.
Manusia A : Gila ke. RM200,000 mana sama dengan RM1,000. Kau ingat aku beli dengan pasir ke apa?!
Manusia B : Habis, duit rakyat xpe plak. Kan sama situasinya. Kau ni putar belit la..
Manusia A : ...............
*kadang-kadang manusia ini terlalu suka mencari alasan untuk membenarkan kebenaran. Seorang manusia yang jujur dengan ilmu dia akan bercakap atas kebenaran. Pernah ada suatu kisah.
Seorang lelaki bertanya kepada seorang ulama tentang hukum merokok.
Lelaki : Apakah hukum merokok?
Ulama : Haram, kerana memudaratkan diri perokoknya.
Lelaki : Habis mengapa syeikh merokok?
Ulama : Soal merokok itu antara aku dengan Allah. Aku masih belum mampu mengubah diri aku supaya meninggalkan rokok. Tetapi hukum itu soal ilmu. Ilmu adalah milik Allah dan aku perlu jujur dalam menjaga amanah ini.
Sukar untuk menjadi jujur dalam kala kita cuba menegakkan kesalahan. Kebenaran tidak akan dipadamkan oleh beribu tan batu menghimpapnya, tidak akan terhakis dek dihempas ombak laut berjuta tahun, dan tidak akan hilang dikikis sepanjang zaman. Melainkan kebenaran itu akan tetap memadamkan kebatilan.
Boleh tolong huraikan tentang syura dan demokrasi? Ada yang kata,"Siapa jamin keputusan syura orang mana-mana entah yang dibuat lebih baik dari suara majoriti rakyat?" Mohon penjelasan, fikiran sangat bercelaru.
Terakhir sekali saya percaya suara rakyat sangat berguna apabila majlis syura (parlimen) tidak lagi didiami oleh orang yang tidak berilmu dan berkepentingan sendiri! Maka, tika ini janganlah anda berdiam diri dan taat patuh membuta tuli melainkan berjuang untuk menegakkan keadilan dan hak rakyat.
Sangkakala berderu jiwaku tergetar,
hancur luruh dimamah lava,
merah pekat membara mengarangi alam.
kala Israfil mengaluni lunak siulan.
Masa; memandang ke belakang,
saat manusia mula berbondong ke dataran,
memori dilayar di hadapan mata,
Sesaat-pun tidak terkurang atau terlebih.
kiri menghulur disorok, dibebel,
kanan menghulur dicanang, diwarta.
Dihempapkan gunung buat yang;
angkuh, ingkar, dan loba kepada kehidupan pertama.
Sinar kurnia bercahaya buat yang;
luhur, zuhud, dan cintakan kehidupan kedua.
Silang kehidupan dacing pembalasan.
Tersentak; lamunan, angan, dan khayalanku;
bicara hati (monolog) insan seorang lelaki,
jujur, luhur lalu berbisik manja, jiwa dan akalnya;
kiri, kanan, gunung dan cahaya?
Tatkala berdiri menghadap dacing pembalasan.
Mudarristarmizi
20/1/2013
4.11 am.






