Pada pengakhiran penulisan Fariduddin at-Tharr menerusi Mantiq at-Thoyr (terjemahan Musyawarah Burung) menceritakan apabila sampainya 30 ekor margasatwa (kawanan burung) di tempat Sirmugh yang dilihatnya hanya 'cermin'. Di mana apabila burung-burung tersebut melihat 'cermin' yang hanya dilihatnya hanya dirinya sendiri.
'Cermin' telah menembusi qalbu sang burung dalam merentasi lembah keduniaan. Mencari hakikat cinta yang sejati. Mengakhiri kemelut kesengsaraan lara ertinya kebahagiaan dan ketenteraman akhir.
Siapa aku dalam Kau?
Ertikah aku pada Kau?
Mungkinkah aku bersatu dengan Kau?
Cerminan hakikat menyeru aku menyentuh qalbu demi menyentuh Kau
Perbahasan dan perbincangan sesuatu perkara mesti berlandaskan ilmu. Sekiranya seseorang itu cenderung kepada hanya satu pendapat, kebarangkalian dirinya akan menjadi individu yang melihat dunia dari lubang tempurung dan gagal menjadi individu yang melihat dunia dari kaca mata burung.
Qalam kaku berdiri utuh,
beralih zaman masih kukuh.
Qalbu bisa memanifestasi qalam;
menyeru ‘logos’ memandu akal.
Menabur budi, menggenggam tanah;
kisah cinta pemuda al-janapada.
Benci sakti pembobrok janapada;
berkasih cinta dengan penjajah.
Kini pemuda digelar durjana,
sedang pembobrok digelar sang ‘raja’!
Teknologi kian kukuh dan utuh,
menyebar berita sang sebenar,
menyulit ‘raja’ menyorok yang benar.
Pemuda enggak pernah tua,
kerana prinsip, akal, qalbu telah bersatusuara.
Saat rakyat sudah berakal,
usah diminta berpentas seperti tidak berakal.
Rakyat kian mengerti ‘logica’
Membanding ‘raja’ dengan pemuda.
tba
503 pagi.
Semasa membentangkan kertas kerja (separa siap) bertajuk Falsafah Etnomatematik di Inspem (UPM) tempoh hari, saya ada menerangkan tentang perbezaan pendapat dalam definisi. Saya menerangkan definisi tamadun yang dibawa oleh Syed Naquib al-Attas dan Shaharir Mohd Zain.
Naquib al-Attas menerangkan bahawa tamadun hanya wujud selepas kedatangan Islam kerana sesuatu tamadun itu wujud berlandaskan ilmu. Ilmu hanya boleh diterima apabila memenuhi adab. Bermaksud sesuatu ilmu itu mesti membawa makna yang benar dan bertepatan dengan Islam. Contoh, sebelum kedatangan Islam, masyarakat di Alam Melayu (Malayonesia) yang beragama Hindu dianggap tidak bertamadun kerana mereka menyembah Tuhan, tetapi Tuhan yang salah. Mereka memahami Tuhan dalam konteks yang salah.
Berbeza dengan Shaharir Mohd Zain (boleh saya andaikan berdasarkan pembacaan daripada penulisan beliau) menganggap zaman yang mempunyai masyarakat beragama walaupun selain daripada Islam, boleh dianggap bertamadun. Dalam satu makalah yang bertajuk 'Ilmu Malayonesia: Telah, Lani, dan Kelak' (http://www.kesturi.net/?p=577), Shaharir membahagikan Alam Melayu (Malayonesia) kepada tiga tamadun. Pertama tamadun Melayonesia Kuna/Kuno atau Hindu-Buddha (sebelum Islam; abad 2-13), kedua Tamadun Melayonesia Klasik atau Islam (semasa Islam; abad 13-19) dan Tamadun Melayonesia Moden (mulai awal abad 20). Juga dalam buku beliau bertajuk Pembinaan Semula Teori Kepengurusan dan Kepemimpinan Rumpun Melayu, digali semula prasasti untuk diasimilasikan dengan nilai semasa Islam.
Secara tidak langsung sebenarnya Shaharir telah menganggap bahawa sebelum kedatangan Islam di alam Melayu (Malayonesia) masyarakat di sini sudahpun bertamadun. Manakala, Syed Naquib al-Attas mengatakan masyarakat sebelum kedatangan Islam tidak bertamadun tetapi hanya mempunyai kemahiran tetapi kemahiran tersebut tidak sampai kepada tahap ilmu kerana nilai adab tidak dipenuhi.
Perbezaan definisi sesuatu istilah merupakan sesuatu yang perlu dihormati. Sesuatu pihak biasanya akan cuba berbahas dalam konteks definisi yang mereka cipta. Apabila wujud tafsiran yang lain selain daripada tafsiran mereka, maka pihak yang tidak sependapat akan dilabel dengan pelbagai panggilan. Tidak ada masalah sesuatu pihak ingin berpegang kepada tafsiran mereka kerana lebih banyak tafsiran lebih memperkayakan ilmu tersebut. Cuma permasalahannya apabila mereka cuba mengheret pihak yang tidak sependapat ke dalam definisi mereka dan sekiranya tidak bersetuju maka akan dilabel liberal, sekular dan plural. Secara jujurnya ini berlaku kepada pihak dalam al-Attas.
Dalam buku 'Pembinaan Semula Teori Kepengurusan dan Kepemimpinan Rumpun Melayu', Shaharir telah mengasimilasikan teori Kepemimpinan Cakravantin (Pemimpin Alam). Cakravantin ini dijumpai daripada Batu Bersurat Campa pada tahun 1010 Saka/1088 M. Menceritakan tentang 32 sifat Raja Campa yang bernama Indrawarmadewa/
Menggelapkan sejarah Hindhu-Buddha sebelum kedatangan Islam dan tidak mengiktiraf ilmu mereka adalah satu kesilapan besar. Masyarakat di zaman itu telah berjaya mengira sehingga ribu/riwu, manakala ketika zaman yang sama Eropah masih lagi tidak tahu mengira dan membaca. Satu kesilapan di mana kita telah menghilangkan keintelektualan masyarakat yang pernah wujud satu masa dahulu demi memperjuangkan Islam. Islam tidak pernah mengajar agar menolak unsur-unsur yang baik dalam sesuatu masyarakat. Bahkan terdapat juga budaya yang wujud sejak sebelum kedatangan Islam yang Muhammad tidak mansuhkan dan menerima dengan baik. Rasulullah sendiri pernah mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak Quraisy kerana baginda sangat membutuhkan ketika itu. Nilai yang baik tidak perlu dibuang dan jangan malu untuk mengaku kita pernah berada di zaman Hindhu-Buddha satu masa dahulu.
Dalam menunggu ketibaan Syawal, menjadi satu kepastian dan kegemaran bagi masyarakat Islam di Malaysia mendengar lagu raya. Sedari kecil sehinggalah dewasa tidak terlepas untuk bersama-sama meraikan hari kemenangan melalui bibit-bibit lagu. Seni itulah yang wujud dalam sanubari manusia berjiwa.
Dua lagu yang saya fikir memberikan nilai tinggi dalam kesenian dan kebudayaan tanah air iaitu Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina) dan Satu Hari di Hari Raya (M. Nasir).
Berdasarkan pengkajian etnomuzik kita boleh mendapati bahaya lagu Suasana Hari Raya adalah sebuah lagu yang menggambarkan bagaimana masyarakat Melayu di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Penceritaan tentang anak muda pulang ke desa, keriangan ibu bapa, ziarah menziarahi, adab bertamu, jenis makanan tradisi, perbualan antara sanak saudara, pemberian duit raya seakan-akan telah menggambarkan secara lengkap budaya dan tatacara menyambut Aidilfitri oleh masyarakat di Malaysia.
Ronasinar Kartunis dalam satu artikelnya bertajuk 'Lagu Raya yang Sempurna' telah menyatakan, "Untuk saya, lagu ‘Suatu Hari di Hari Raya’ ini sama ada versi lama atau sudah disusun semula muziknya dengan tiupan seruling yang mencucuk kalbu paling dalam, adalah lagu raya yang sempurna, lengkap pengertiannya dari sudut zahir dan batin dalam merungkai makna sebenar hari raya itu sendiri".
M Nasir telah melahirkan pengertiannya terhadap Aidilfitri bukan sekadar keriangan berziarah sanak saudara tetapi di sebalik keriangan tersembunyi keriangan hakiki iaitu yang membawa kepada pengertian metafizik.
Dua buah lagu ini merupakan lagu yang memberikan pengertian besar dalam seni tanah air. Jika terdapat kelompok yang sudi melakukan pengkajian etnomuzik pasti dua buah lagu ini merupakah lagu yang pasti dikaji kerana ia adalah khazanah Melayu Islam di Malaysia.
Rujukan :
1) http://liriklagump3.blogspot.com/2009/08/lirik-suasana-hari-raya-anuar-zain.html
2) http://jalantelawi.com/2013/07/lagu-raya-yang-sempurna/
Prof. Dr. Hamka telah menulis pendapatnya yang sedikit berbeza perihal penulisan tentang seseorang tokoh yang masih hidup.
Walaupun Prof. Dr. Shaharir berpendapat bahawa penulisan tentang seseorang tokoh sewajarnya selepas kematiannya tetapi beliau tetap melakukan sebaliknya iaitu menulis pemikiran tentang insan yang masih bernafas di muka bumi ini. Satu buku penulisan beliau yang bertajuk 'Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman' yang mana beliau telah menggunakan beberapa teori kepemimpinan (al-Ghazali, Chakravantin, Kirkeby, Bukhary al-Jawhari) dibandingkan dengan aksiom kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz.
Dalam penulisan pemikiran atau keperibadian seseorang tokoh, saya melihat terdapat kesamaan antara Prof. Dr. Shaharir dengan Prof. Dr. Hamka, di mana ketelusan dan keikhlasan dalam menulis sejarah. Sebagai seorang manusia, sebesar atau sehebat manapun tokoh tersebut, kita perlu sedar bahawa dia juga bisa melakukan kesilapan. Prof. Dr. Shaharir telah mengkritik beberapa kriteria yang ada pada Tok Guru Nik Aziz semasa mengemudi Kerajaan Negeri Kelantan. Begitu juga Prof. Dr. Hamka yang menulis perihal ayahnya (Haji Abdul Karim Amrullah) dalam 'Kenang-Kenangan Hidup Hamka' telah mengkritik beberapa sifat yang ada pada ayahnya.
Penulisan seperti ini lebih bersifat adil dalam membuat pertimbangan atau melihat sudut pandang pemikiran seseorang tokoh. Bukan sahaja mengemukakan kehebatan dan kemahsyuran pemikir tersebut tetapi pada masa yang sama menyelitkan juga beberapa kelemahannya. Ini menyedarkan kita bahawa manusia itu bukanlah dewa atau malaikat sifatnya melainkan hamba jua yang mendambakan keredhaan Sang Pemeriksa. Penulisan seperti ini mampu untuk menghakis perasaan taksub dan takliq membabi buta terhadap seseorang tokoh. Juga sebagai menjadi pedoman buat budiman yang hidup semasa dan selepas zaman penulis.
Memulakan penulisan dengan mengharapkan akan lahir penulis selepasnya adalah nilai yang dikongsi oleh Prof. Dr. Shaharir dan Prof. Dr. Hamka. Penelitian terhadap penulisan aksiom kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz salah satunya, Prof. Dr. Saharir menyarankan kepada pembaca agar terus melakukan pengkajian dan penulisan terhadap aksiom tersebut agar mampu menjadi teorem. Begitu juga Prof. Dr. Hamka dalam Falsafah Hidup turut menyarankan agar terdapat budiman yang mampu melengkapkan penulisannya tentang seseorang tokoh sekiranya beliau telah berangkat meninggalkan dunia ini.
Dalam penulisan saya percaya ramai yang mahu menjaga kelemahan tokoh yang disajunginya atau mungkin hanya melihat kelebihan dengan menidakkan kelemahan, juga mungkin ketakutan kerana terdapat hadith Rasulullah; "man satara musliman, satarallahu fid dunya wal akhirah" yang menyuruh menjaga aib seseorang nescaya Allah akan menjaga aib kamu di dunia dan akhirat. Pada hemah saya dalam konteks keilmuan dan dalam melahirkan masyarakat yang bertamadun kita perlu didedahkan kedua-duanya. Juga pendedahan ini bukanlah untuk menjatuhkan atau memalukan sesiapa tetapi agar kita tidak menjadi golongan yang taksub kepada satu tokoh dan tidak menjadi golongan yang tidak mahu menerima atau menghormati kepelbagaian pandangan.
![]() |
| Sesak jiwa kerantaian gila |
Pernah sejernih zam-zam bercahaya,
mengalir tenang semurni semesta.
Hari berganti hari,
tahun berganti tahun,
masa terus berlalu pergi.
Kini jernihnya semakin keruh,
kini cahaya semakin pudar,
Bicara akal terus terseksa
lantara qalbu sesat binasa.
Dalam kedinginan malam hamba dihimpit gelora!
Gelisah jiwa mencari jalan pencinta.
Bicara dan tingkah tidak lagi sekata,
bicara terus berhemah,
tingkah terus bersepah!
Hamba mencari pintu penawar,
menawar racun membisa jiwa.
Sesat lantera keenakan dunia,
Sedang jiwa gila meronta;
Aina anta ya nur?
Aina anta ya nur?
Mengapa dibiar hamba dibelenggu dunia;
seksanya terasa rohani melarat jasmani.
Akal terus bertingkah,
mulut terus membisu,
dek ketakutan yang amat jitu!
Aina anta ya nur?
Aina anta ya nur?
953am - 19/7/2013 (10/9/1434H)
Seorang ilmuwan telah menulis tentang cinta dua insan budiman yang saling mengasihi. Namun, cinta terhalang kerana dua sebab. Yang pertama kerana beza darjatnya seperti ‘emas dengan loyang’ dan keduanya perjanjian orang tua yang berkehendakkan menjaga harta dan nama.
Penulisannya bisa membuat air mata menitis murni, kapan apa menyebabkan terjadi begini. Menyentuh jiwa setiap pembaca dan penontonnya. Sepertinya jika dilihat daripada luaran tampaknya orang itu sudah mabuk kepayang kata orang-orang Melayu dahulu. Kisah ini terlalu besar jika ingin penulis bicarakan dengan hati yang penuh kekotoran, apatahlagi sifat kebinatangan yang empuk dalam hati.
Suatu ketika saat beliau diduga cinta itu dengan dugaan Hamid berbicara;
"Untuk melewati badai, kita harus terus berjalan, bukan terus berhenti. Dua hal yang perlu kita bawa; keyakinan dan cinta."
Soal bicara tentang cinta, penuh di dada nafsu buat wanita. Soal bicara tentang cinta sudah pasti sudah hampir dengan duka. Soal bicara tentang cinta sudah pasti akan melakukan apa sahaja.
Seketika, Hamid telah melalui saat-saat getir dalam hidupnya apabila difitnah dan diusir daripada kampungnya sendiri apabila menyelamatkan gadis yang dicintanya. Kerana cara perbuatan yang moden kurang diketahui oleh masyarakat. Berlakulah penuduhan dan dizilimi insan budiman yang tidak bersalah. Lalu, bertanya salah seorang tetua daripada kerabat orang kampung yang dianggap baik-baik;
“Apakah kau mencintai Zainab?”, kata Engku.
Khali (Hamid berdiam diri).
“Engkau tidak bisa menjawab pertanyaan Engku?”
“Saya hanya bisa mengatakan bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar dibandingkan dengan kesedihan ketika saya difitnah dan diusir daripada kampung ini”
Cinta apa sehingga kau sanggup sakit, berduka, berlara? Untuk apa dimanisfetasikan itu? Dapat apa kau lakukan begitu?
Majnun tidak pernah lelah menapis pasir di gurun demi mencari Laila-nya. Dengan hanya melihat rumahnya Majnun sudah kekenyangan mengisi rindu dan cinta pada Laila-nya.
Ringkas aku simpulkan; “Saat kita berbahagia, mungkin wujud yang berduka. Juga wujud berduka kerana kebahagiaan kita. Cinta Ilahi, Dia-lah sumber kecintaan Hamid dan Majnun. Bicara hati turunnya ke hati."
Moga penulis berjumpa dengan ilmuwan itu. Mahu terbang bersayap bersama berbicara soal cinta dan jiwa.
Hachiko adalah seekor anjing yang taat dan setia kepada tuannya. Sifatnya yang manja dan penyanyang kepada tuannya telah mengangkat martabatnya sebaris dengan manusia.
Dilahirkan pada tahun 10 November 1923 dan mati pada 8 Mac 1935. Setiap hari Hachiko akan menghantar tuannya pergi kerja dan menunggu di stesen keretapi pada sebelah petangnya untuk pulang ke rumah bersama. Sehingga pada suatu hari tuannya mati di tempat kerja tanpa pengetahuannya. Seperti biasa pada sebelah petangnya Hachiko masih menunggu tuannya di hadapan stesen keretapi namun tuannya tidak muncul.
Selama setahun rutin yang sama dilakukan oleh Hachiko menunggu kepulangan tuannya. Sehingga ke akhir hayatnya di mana Hachiko dijumpai mati di Stesen Keretapi Shibuya. Kesetiaannya melebihi diriku dan juga ramai manusia yang lain. Semasa hari pengebumiannya Hachiko dikerandakan dan dikebumikan seperti mana manusia dikebumikan di Jepun.
Alangkah taat dan murni cinta-Hachiko kepada tuannya. Hamka ada menceritakan perihal Hachiko dalam Tafsir al-Azhar iaitu surah al-Fatihah ayat ketiga berkaitan dengan Engkau Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Hamka menerangkan bagaiman Maha Penyanyangnya Tuhan, kasih sayang itu terjalin bukan hanya pada manusia sesama manusia tetapi mampu juga manusia sesama haiwan.
Hachiko adalah seekor anjing yang setia dan berjiwa murni. Benar aku sendiri kalah kepadanya. Hachiko dek sebab sifatnya tadi sehingga hari ini namanya disanjung dan diagung setara nama manusia, diuruskan 'jenazah'nya seperti manusia. Alangkah hebatnya manusia yang memiliki jiwa ini, pasti sifatnya itu dikenang selepas matinya. Dan sekiranya manusia itu kosong jiwanya, sudah pasti martabatnya lebih rendah daripada haiwan kerana manusia itu haiwan berakal.
"Bisa manusia punya mata burung yang bebas terbang tinggi melayang melihat alam. Tetapi tidak punya akal secerdik dan semurni Hud-Hud."
"Unta berkeringat kala panas terik, hanya berjalan di bentangan pasir berdengung. Tetapi manusia yang pilih akal cerdik dan hati murninya pasti miliki jiwa semurni Hud-Hud."
# Manusia boleh saja kembara ke serata dunia menaiki kapal terbang, kapal mewah, atau helikopter kerana kemewahannya tetapi tidak mampu mempunyai akal semurni Hud-Hud iaitu burung yang menjadi penunjuk arah kepada Nabi Sulaiman (Solomon) iaitu dalam erti kata gagal menjadi pemudahcara untuk rakyat. Mereka hanya bermewah dalam kehidupannya tanpa memikirkan kesusahan rakyat dan masyarakat.
Mereka mampu berhelai tawa dan memakan kambing bakar dalam kapal mewah tetapi mereka tidak mampu membebaskan pemikiran mereka yang tertutup dek temburung. Hati angkuh menyubur dalam jiwa, enggan melihat dunia didurjana sekalian manusia.
# Afala yan zuru na ilal ibli kaifakhuliqad - Apakah mereka tidak memandang kepada unta, bagaimana dia telah dijadikan? Walaupun unta hanya hidup di atas padang pasir tetapi dia bisa menyenangkan manusia. Dia bisa mengangkat berat barangan untuk dibawa kembara. Unta di kala kehabisan air masih boleh berjalan selama enam hari berbanding kereta yang habis petrol sudah tidak mampu dihidupkan apatah berjalan.
Miliki pemikiran dan jiwa murni unta adalah orang yang hidupnya kembara di tanah gersang tetapi ingin saja memudahkan orang lain. Di kala ribut pasir, unta tempat manusia berselindung. Murni sudah sebati dalam sanubari. Lihat indah tingkahtanduk mencerminkan pemikirannya. Tidak perlu miliki sayap untuk terbang tetapi cukup miliki sanubari ikhlas untuk menjadi manusia yang hidupnya adalah jauh daripada egoistik.
![]() |
| Burung Hud-Hud |
Tajuk : Sesyahdu Bakkah
Tersergam syahdu tertumpu kutub iman semesta,
hembusan angin ehsan segumpal tanah roh dan jiwa.
Kekembara serata dunia menengadah bersujud suci
sehasrat tangisi luka nanah membusuki murni.
Bakkah sinar cerminan taat semesta alam;
(as-syams, al-qamar, al-ardh, an-nujum) ingkar tidak.
Sedetik-sesaat tidak, bahkan sesekali tidak!
Apa yang disuruh kau turuti, apa yang dicemuh kau luhuri.
Kau celupkan mewarna alam setulus demi
mereka yang sehanifnya mencintai yang ummi.
Mencuci sesuci jiwa mencium wanginya aswad
buat menjadi saksi sakti Hari Pasti.
Gegak gempita penzikir langit dek-di bumi
yang memaknasedari lembaran cinta hakiki.
Bisa saja roboh langit membebani kami
namun belas kasih cinta murni menghalangi.
Diri ini si pembobrok yang ingin berbudi,
seputih fitrah cahaya berseri aku kembali.
Tajuk : Albab kembara
Bergetar leluhur jiwa bertentang mata,
sorak gempita majlis cinta kita,
pesta sujud memuji nan dimanja,
bersiar berpimpinan taman bumi syurga.
Sehanifnya tulus erti cinta kita menyala;
seakrab kupu-kupu memeluk sumbu bara,
sekukuh cinta Majnun kasihnya Laila,
setabah Bilal luka-lara berkata; "Esa".
Kini masanya tiba memenuhi fitrah dunia;
berpasangan insan budiman dicipta,
bersilang malam berganti siang semesta,
dan yang ketemu akan berpisah jua.
Kucupan mesra menghiba gembira jiwa,
berpeluk tubuh bersentuh kiri dada.
Tangan melambai bisik qalbu dimanja,
semarak cinta musafir albab kembara.
Syahdu kasih cinta membuak gelora,
menyuci jiwa albab kembara.
1405 pm: 29/5/2013 (Rabu) hingga 0544 am: 30/5/2013 (Khamis).
Oleh : Siddiq Fadzil
Kejatuhan Melaka
Dalam sejarah kita sendiri, tidak sedikit ilmuwan pujangga yang mencatatkan keprihatinannya terhadap gejala penguasa bernafsu besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keserakahannya. Dalam karya agung Sulalat al-Salatin (sejarah Melayu) Tun Sri Lanang mengisahkan tentang Sultan Mahmud, yang telah kematian isteri, berhasrat meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak mahu beristerikan raja biasa kerana ia beerti sama dengan raja-raja lain. Baginda ingin tampil lain dari yang lain. Katanya “….yang kita kehendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyruuh meminang Puteri Gunung Ledang;...” (A. Samad Ahmad, 1984:213).
Dalam jawapannya terhadap peminangan tersebut Puteri Gunung Ledang meletakkan syarat-syarat yang sangat berat. Katanya, “Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka dating Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu” (A. Samad Ahmad:215).
Soal status kesejarahan peristiwa tersebut tidak menjadi persoalannya. Yang perlu direnung adalah mesej pengarangnya yang merupakan sindiran simbolik tentang nafsu besar sang penguasa yang inign menjadi orang unik dan terunggul sehingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk memeras rakyat dan emmunggah khazanah negara. Penguasa yang sudah bertuhankan nafsu, sanggup mengorbankan apa sahaja, berapa sahaja dan siapa sahaja kecuali satu: kepentingan anak-pinaknya. Itulah sebenarnya yang tersirat di sebalik jawapan Sultan Mahmud, “Semua kehendaknya itu, dapat kita adakan; mengeluarkan darah anak kita itu juga apatah daya; kerana tidak sampai hati kita” (A. Samad Ahmad:215). Selain darah anak sendiri, segala syarat lain disanggupinya walaupun implikasinya adalah derita rakyat dan pembaziran wang negara membiayai projek mega jambatan kembar emas-perak dari Melaka ke puncak Gunung Ledang yang beerti jambatan terpanjang, tertinggi dan termahal di dunia. Mengenai kisah ini Hamka menyimpulkan, “Meskipun Tun Sri Lanang mencantumkan kisah ini dalam sejarah Melayu sebagai suatu dongeng yang disangsikan kebenarannya namun dongeng ini adalah kias yang dalam tentang laku perangai Sultan” (Hamka, 1981:167)
Hamka adalah ilmuwan Melayu yang cukup gigih menekuni bidang persejarahan. Dalam catatannya tentang kejatuhan Melaka pada abad ke-16, beliau menyebut tentang budaya fitnah yang membawa kepada tragedy nasional pembunuhan Bendahara Sri Maharaja. Menjelang saat kejatuhannya Melaka dirajai oleh Sultan yang telah kehilangan wibawa terutama kerana kebejatan perilakunya. Namun demikian Melaka masih bernasib baik kerana “…mempunyai orang kedua yang sangat disegani orang, baik di dalam negeri Melaka sendiri, atau oleh orang luar ngeri, iaitu Bendahara Sri Maharaja” (Hamka:167). Kebijaksanaannya digambarkan oleh Hamka dengan ungkapan, “Tidak ada kusut yang tidak selesai, tiada ada keruh yang tidak jernih bila tangan beliau yang memegang” (Hamka: 167).
Gerakan anti Bendahara itu akhirnya memuncak dengan fitnah kononnya Bendahara mahu merampas kuasa, menumbangkan Sultan dan mengambil alih tempatnya. Fitnah tersebut dapat meyakinkan Sultan lalu baginda bertindak menitahkan agar bendahara dibunuh. Demikianlah Sri Maharaja dibunuh dengan tusukan keris istana. Tragedi ini digambarkan oleh Hamka dengan kata-kata, “Muramlah berkorban kian lama kian hilang dan habis. Yang ada hanyalah buih-buih yang merapung seketika ombak besar! Yang ada hanyalah orang-orang yang menyembah ‘Ampun Tuanku! Segala titah patik jujungi!” (Hamka:168).
Ketika Hamka menulis catatan tersebut pada tahun 1956, beliau ditanya oleh anaknya, apa gunanya sejarah kejatuhan Melaka itu diungkapkan semula. “Apakah ayah percaya akan teori sejarah mengulangi dirinya?”. Hamka menjawab, “Tidak nak! Sejarah tidaklah mengulangi dirinya. Tetapi perangai manusia di segala zaman, baik dalam nama feudalism, atau demokrasi, atau diktaktor adalah sama saja…” (Hamka:169).




